Mabrur bermaksud maqbul (مقبول). Jadi haji mabrur bermaksud haji yang diterima oleh Allah. Haji mabrur adalah ganjaran bagi orang yang benar-benar ikhlas terhadap Allah, sembah harap, mohon doa hanya kepada Allah.
منْ حَجَّ لله فلمْ يَرْفُثْ ولم يَفْسُقْ رجع كيومِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ.
[رواه البخاري]
Sesiapa mengerjakan haji semata-mata kerana Allah, sedang ia tidak melakukan kerosakan dan kefasikan, maka bersihlah dirinya dari dosa sepertimana hari dia dilahirkan ibunya.
Dalam Hadith yang lain:
العُمْرَةُ إلى العُمْرَةِ كَفاَّرَةٌ لِماَ بَيْنَهُماَ والحَجُّ المَبْرُورُ ليس له جَزاَءٌ إلا الجَنَّةَ.
[رواه البخاري ومسلم]
Mengerjakan umrah kepada satu umrah yang lain adalah menghapuskan dosa yang berlaku di antara tempoh keduanya dan haji yang mabrur tidak ada balasannya melainkan syurga.
Diantara panduan untuk mendapatkan haji mabrur ialah:
- Hendaklah benar-benar memahami dan menyedari bahawa ibadat haji itu adalah suatu kewajipan yang mesti ditunaikan oleh umat Islam yang mencukupi syarat-syarat bagi menyempurnakan rukun Islam.
- Hendaklah mempastikan setiap perbelanjaan dan perbekalan berhubung dengan ibadat haji itu adalah dari pendapatan yang bersih, halal lagi diredhai oleh Allah.
- Hendaklah lebih dahulu mempelajari dan memahami dengan sedalam-dalamnya tentang urusan mengerjakan ibadat haji dan segala masalah yang ada kaitan dengannya serta memahami tujuan dan hikmat-hikmatnya.
- Hendaklah lebih dahulu membuat pembersihan diri dari segala dosa dan maksiat yang dilakukan sebelum ini dengan cara beristigfar dan bertaubat di dalam erti kata taubat nasuha. Disamping itu memohon kemaafan daripada saudara-saudaranya jika terdapat kesalahan terhadapnya.
- Sepanjang ibadat haji dikerjakan, jangan sekali-kali melakukan perkara yang dilarang oleh Islam disamping banyak bersabar di dalam menghadapi sebarang dugaan dan ujian.
- Hendaklah sentiasa mengingati Allah dengan mengerjakan amalan ketaatan disamping berdoa agar Allah menerima ibadatnya sebagai haji mabrur.
- Hendaklah berniat untuk mengerjakan ibadat haji kerana menyahut seruan Allah semata-mata tanpa sedikit pun terlintas di hati kecilnya akan sesuatu selainnya. Keikhlasan niat dalam sesuatu ibadat adalah menjadi suatu perkara pokok dalam menentukan ibadat itu samada diterima atau tidak.
Rujukan:
Us Ishak Din & Dr. Haron Din. Soal Jawab Kemusykilan Agama. 1996. Darul Nu’man: Kuala Lumpur.
0 comments