Masalah rakan sebilik suka dengan aircond, rakan yang lain pula tak tahan dengan sejuk sampai batuk-batuk, demam. Masalah sebegini seringkali berlaku, walaupun nampak kecil tapi ia memberi impak besar kepada orang yang bermasalah.
Bila kesihatan terjejas, emosi rakan sebilik pun dah jadi high, asyik nak marah jer. Ibadat haji dan umrah tidak selesa dikerjakan kerana masalah kesihatan. Saban tahun masalah ini acap kali berlaku. Saya hairan bin pelik kenapalah orang sebegini masih wujud atas muka bumi ini? Dalam ceramah haji dan umrah di tanah air, para ustaz dah selalu mengingatkan mesti bertolak ansur, jaga hati kawan, jangan cari masalah dengan rakan sebilik. Aleh-aleh masih berlaku juga.
Sebagai tetamu Allah dan ingin mengapai haji mabrur, cubalah melihat sekeliling kita, bertolak ansurlah. Mekah adalah tempat mengecilkan ego bukan tempat menunjukkan kemewahan cara hidup kita di Malaysia. Yer benar anda di Malaysia selalu duduk dalam aircond, tapi di Mekah, anda bergaul dengan semua lapisan, ada miskin kaya. Allah mahu menguji kita, eh bukan senang nak dapat haji mabrur. Haji malboro, haji ego senang jer nak dapat title sebegitu.
Kalau anda kata selalu duduk dalam aircond di Malaysia, itu menunjukkan taraf hidup anda tinggi. Orang yang punya taraf hidup tinggi selalunya berfikiran jauh dan bijak menilai. Takkan orang hebat-hebat serendah begitu akhlaknya bila berada di Mekah? Alangkah malunya anda yang berada di Mekah tapi melayan para tetamu Allah lain dengan akhlak buruk. Seolah-olahnya Allah menjemput anda ke Mekah sebagai satu bentuk penghinaan tersirat di balik egois anda. Tidakkah anda dengar bahawa berapa ramai orang mengaji al-Quran tapi al-Quran melaknat mereka kerana mengendahkan hukum Allah, mereka membaca al-Quran tidak lebih dari halkum mereka. Nah maksudnya juga sama, berapa ramai orang datang ke Mekah tapi yang dapat adalah laknat dari Allah dan para malaikat.
Kerana egois, anda mula bercerita kehebatan diri di tanah air, anda menunjukkan kuasa membeli, membeli belah semahunya.
Kuasa ibadat anda di mana?
Kuasa tawadhu’ anda di mana?
Kuasa kasih sayang anda di mana?
سَأَصْرِفُ عَنْ آيَاتِيَ الَّذِينَ يَتَكَبَّرُونَ فِي الأرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ وَإِنْ يَرَوْا كُلَّ آيَةٍ لا يُؤْمِنُوا بِهَا وَإِنْ يَرَوْا سَبِيلَ الرُّشْدِ لا يَتَّخِذُوهُ سَبِيلا وَإِنْ يَرَوْا سَبِيلَ الْغَيِّ يَتَّخِذُوهُ سَبِيلا ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا وَكَانُوا عَنْهَا غَافِلِينَ (١٤٦) سورة الأعراف
Ertinya: Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayat petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
Dalam ayat ini menjelaskan bahawa orang-orang yang sombong alias egoisme akan Allah palingkan mereka dari mendapat hidayat. Memang benar, orang sombong memang tak makan nasihat. Perhatikanlah ayat ini semoga terbuka hati nurani anda. Pohonlah ampun pada Allah, waktunya masih sempat lagi.
Kalau anda kata ayat ini ditujukan kepada orang kafir, dalam ilmu ulūm al-Qur’ān ia dipanggil [العبرة بعموم اللفظ لا بخصوص السبب]. Ertinya, pengajaran dari intipati ayat adalah bersifat umum bukan bersandarkan kepada asbab nuzul.
Ada pantun melayu yang saya rasa sungguh indah kalau diamati maknanya;
Kalau kuncup sudah mengembang,
Banyaklah kumbang datang menyeri,
Kalau hidup berkasih sayang,
Tuahnya merata di seluruh negeri.
0 comments