Tabung Haji Sedia Urus Penerbangan Jemaah Pantai Timur







KUALA TERENGGANU 1 Ogos - Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) negeri Terengganu kini bersiap sedia bagi menguruskan penerbangan jemaah haji dari pantai timur ke Tanah Suci Mekah bermula 9 Oktober ini.

Pengarah Tabung Haji Negeri Terengganu, Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, sehingga kini Tabung Haji telah mengadakan beberapa kali mesyuarat dengan jabatan-jabatan terlibat bagi mengemaskan lagi segala urusan berkaitan menunaikan fardu haji tahun ini.

“Pada pertengahan Ogos ini semua kursus haji yang diadakan di peringkat daerah-daerah akan selesai dan kita akan mengadakan kursus Haji Perdana pada 24 dan 25 Sept bertempat di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Gong Badak di sini,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis sumbangan kepada fakir miskin oleh Kumpulan Puan Sri Datin Rajmin dengan kerjasama Tabung Haji di sini hari ini.

Mohammad Mokhzani berkata, jumlah jemaah haji dari pantai timur yang akan berlepas melalui Lapangan Terbang Sultan Mahmud masih lagi belum diputuskan.

Bagaimanapun jemaah dari negeri Terengganu setakat ini berjumlah kira-kira 2,200 orang. - Bernama

Sumber: Utusan Malaysia, Ahad, 1/8/2010.

0 comments