Melaksanakan ibadat haji dan pada masa sama membeli cenderahati untuk orang tersayang adalah lumrah bagi setiap jemaah haji, waima yang dibawa pulang itu sekadar air zamzam dan kurma.
Yang pentingnya, urusan membeli-belah itu bukanlah menjadi keutamaan sehingga terganggu amal ibadat yang diakui dan diketahui besar ganjarannya itu.
Ditambah pula, perjalanan ibadah itu dilalui sekali seumur hidup. Maka seharusnya, misi dan matlamat perlaksanaan rukun Islam kelima ini mestilah untuk memperoleh haji yang mabrur.
Kebelakangan ini, jemaah haji tidak perlu lagi bersusah payah menguruskan bagasi dari Tanah Suci ke tanah air.
Ini kerana disediakan perkhidmatan kiriman barangan di setiap maktab dan penempatan jemaah haji dari Malaysia.
Tidak ketinggalan menyediakan perkhidmatan bagasi haji dan logistik ialah sebuah syarikat bumiputera yang telah dilantik oleh Tabung Haji Travel & Services untuk mengendali dan menguruskan perkhidmatan menghantar pulang barangan jemaah haji dengan murah, mudah, selamat terus ke depan pintu pengirim.
Perkhidmatan itu, selain memudahkan para jemaah, ia juga membantu para jemaah menumpukan sepenuh masa, tenaga dan fikiran untuk beribadat. Apatah lagi, kesemua urusan penghantaran dikenakan bayaran yang berpatutan.
Ketua Pegawai Operasi Aramal Services Sdn. Bhd., Mohamad Yusoff Abd. Ghani berkata, untuk haji tahun ini, pihak syarikat telah membuat perjanjian pengangkutan dengan KTM Distribution Sdn. Bhd. (KTMD) bagi melancarkan kiriman barangan jemaah haji negara ini.
Majlis penyerahan dokumen perjanjian pada petang 14 Oktober lalu telah berlangsung di ibu pejabat Korporat KTM Berhad.
Presiden Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Dr. Aminuddin Adnan hadir menyaksikan majlis antara Mohamad Yusoff mewakili Aramal Services Sdn. Bhd. dengan KTMD yang diwakili Ketua Pegawai Operasinya, Zaky Othman.
Menurut Zaky, perjanjian tersebut bertujuan memberi kemudahan kepada jemaah haji untuk menguruskan penghantaran bagasi mereka dari Mekah ke rumah masing-masing.
“Pihak KTMD akan menguruskan pengangkutan barangan jemaah haji dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sehingga ke kediaman jemaah haji sepanjang bulan haji tahun ini.
“Sementara Aramal Services Sdn. Bhd. pula akan menguruskan pengangkutan barangan jemaah haji di Tanah Suci Mekah nanti untuk dibawa pulang ke tanah air,” katanya.
Sementara itu, kata Mohamad Yusoff, pada musim haji sebelum ini memang telah ada kerjasama dengan KTMD namun pada tahun ini, khidmat penghantaran atau pengangkutan barangan jemaah haji dijangka melibatkan pengendalian sejumlah kira-kira 150 tan.
Katanya lagi, penyediaan kemudahan ini bukanlah bermatlamat mencari keuntungan semata-mata tetapi ia lebih kepada satu tanggungjawab sosial kepada jemaah haji negara ini
“Caranya cukup mudah. Para jemaah hanya perlu menuliskan nama, alamat dan nombor telefon pada borang yang disediakan. Ini kerana kami menyedari ada di kalangan jemaah yang sudah berusia serta agak terbatas penggunaan pancaindera mereka.
“Jadi dengan hanya menulis tiga butiran ini, proses penghantaran mampu dilakukan dengan selamat dan sempurna. Kaedah ini diyakini memudahkan jemaah membuat penghantaran, mempercepatkan proses di kaunter serta selamat sampai ke destinasi yang dialamatkan.
“Malah sekiranya berlaku kehilangan, pihak kami memberi jaminan akan membayar pampasan kerana setiap barangan jemaah itu mempunyai insurans iaitu 1 kilogram akan dibayar balik RM20,” jelas Mohamad Yusoff pada majlis meterai perjanjian pengangkutan barangan jemaah haji Malaysia 2010 di KTMB Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Pun begitu maklumnya, pihaknya hanya akan menerima penghantaran barangan seperti sejadah, kurma, cenderahati. Barangan seperti barang kemas tidak diterima kerana dikhuatiri hilang.
“Bagi jemaah yang berhasrat membawa pulang air zamzam, memang tidak ada had. Jelas beliau, caj perkhidmatan adalah mengikut berat barangan yang dihantar. Caj bagi setiap satu kilogram (kg) bersamaan RM15 bagi serahan di Semenanjung Malaysia dan sedikit perbezaaan bagi serahan di Sabah dan Sarawak.
“Jemaah juga boleh mendapatkan air zamzam. Air ini tidaklah dijual cuma kami mengenakan caj pengurusan termasuk pembungkusan dan penghantaran antara harga RM120 (Semenanjung Malaysia) dan RM140 ke Sabah dan Sarawak bagi botol seberat 10 liter,” kata Mohamad Yusoff Aramal menyediakan 11 kakitangan bagi melancarkan penghantaran sepanjang di Mekah dan Madinah.
Sumber: Utusan Malaysia. Khamis. 28/10/2010.
0 comments