SAAT ini para jemaah haji persis menduduki peperiksaan apabila membuat semakan-semakan akhir sebelum menjejakkan kaki mereka ke Tanah Suci. Namun tidak bermakna mengerjakan ibadat haji itu mempunyai tekanan seperti para pelajar yang hendak menjawab kertas soalan peperiksaan. Ia bukan satu ibadat untuk menguji ingatan dan pemahaman yang rigid, namun memang ada persiapan perlu dilakukan.
Ia supaya para jemaah dapat membuang segala taburan halangan dan kerumitan yang berada di sepanjang jalan mereka menuju ke destinasi haji yang mabrur. Untuk itu mereka perlu menjalani kursus yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada pihak Tabung Haji Malaysia (TH) sehinggalah belajar daripada mereka yang berpengalaman luas mengerjakan ibadat haji.
Namun faktor rujukan melalui buku tidak kurang pentingnya. Kini terdapat begitu banyak buku di pasaran yang bertujuan memberi panduan kepada para jemaah melakukan haji. Lebih banyak buku seperti itu adalah lebih baik. Bahkan menjadikan para jemaah lebih bersemangat dan tidak sabar-sabar menanti detik-detik menyambut lambaian Kaabah yang memanggil-manggil itu.
Malah mereka yang mendakwa tidak mendapat seruan haji lagi tetapi apabila meluangkan masa membaca buku-buku mengenai ibadat haji, belum sempat buku habis dibaca semacam tersentap hati dan perasaan untuk segera melakukan haji jika tidak pun umrah, tanpa dapat ditunggu-tunggu lagi.
Lalu buku karangan pendakwah terkemuka Zahazan Mohamed yang bergabung tenaga dan idea dengan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohamad Nizam Abdul Kadir dengan tajuk yang menarik ini, pastinya menjadi buku yang wajib dimiliki oleh para jemaah haji Malaysia. Walaupun pelbagai buku telah dirujuk namun memiliki buku ini akan menjawab lebih banyak persoalan tentang haji sebagaimana tajuknya.
Walaupun dianggap remeh-temeh atau tidak masuk akal namun tidak mustahil perkara-perkara tersebut boleh berlaku ketika sedang mengerjakan ibadat haji. Mungkin apa yang dibaca melalui buku ini akan menjadi pelampung penyelamat dan panduan. Ditulis dalam bentuk soal jawab, iaitu sebanyak 283 soalan (remeh mahupun tidak), namun ia mencakupi akan segala aspek ibadah haji, iaitu sebanyak 19 tajuk bagi membincangkan setiap inci persoalan.
Bermula daripada pengertian haji dan umrah, sehinggalah kepada pelbagai perkara terutamanya syarat-syarat rukun dan wajib haji, ihram, larangan-larangan semasa ihram, wukuf, saie, bercukur dan bergunting, bermalam di Mudzalifah, melontar jamrah, bermalam di Mina, dam dan kesalahan-kesalahan haji, jenis-jenis haji dan masalah wanita. Pelbagai persoalan ‘remeh’ itu dikemukakan dalam buku ini. Ini termasuklah bolehkah para jemaah memakai jam tangan atau cincin? Andai jatuh hati terhadap berlainan pasangan, bolehkah berlaku peminangan dalam tempoh ihram?
Benarkah yang paling afdal para jemaah perlu berlari-lari semasa mengerjakan tawaf? Selain disunatkan untuk mencium hajar aswad, benarkah para jemaah juga disunatkan untuk memegang Kaabah atau mencium setiap penjuru Rumah Allah itu? Adakah sah ibadat haji akibat terlalu sesak untuk melontar (jamrah), menyebabkan tidak sempat untuk melontar? Ibadat haji manakah yang lebih afdal, ifrad, tamattuk atau qiran? Pelbagai persoalan lagi yang ditulis dalam bahasa harian bagi memudahkan para jemaah lebih memahami suasana ibadat haji dan boleh menjadi panduan ketika mereka beribadat kelak. Buku ini sangat sesuai untuk jemaah haji Malaysia apabila segala jawapan dan keterangan adalah mengikut hukum mazhab Syafie, mazhab yang menjadi ikutan dan amalan kita selama ini.
Namun di tanah suci kelak akan berlaku pelbagai jenis lagi pertembungan dan perbezaan mengikut pelbagai mazhab dan aliran termasuk Sunni dan Syiah dengan setiap satunya mempunyai kelebihan masing-masing. Justeru para jemaah dinasihatkan jangan berhenti untuk bertanya kepada yang lebih arif supaya tidak berlaku sebarang kejutan budaya! Antara matlamat lain buku tentu sahaja untuk dibeli dan dihadiahkan oleh seorang anak kepada ayah dan ibunya yang hendak mengerjakan haji!
Jangan dikirakan soal pahala mahupun ganjaran yang menanti tetapi tidak lebih satu penghargaan dan penghormatan yang tinggi kepada yang bakal bergelar haji dan hajah supaya memberikan mereka lebih semangat dan inspirasi sebelum berangkat ke tanah suci. Tentu sahaja debaran untuk mengerjakan haji begitu memenuhi dada kerana hari-hari terakhir sebelum berangkat pergi adalah hari yang penuh emosi.
Namun dengan adanya buku ini debaran dapat dikurangkan, emosi dapat dikawal dan menaikkan semangat. Selain mengiringkan mereka dengan doa, pemberian buku seperti ini sewajarnya menjadi satu amalan dan tradisi bagi mengeratkan lagi ikatan silaturrahim sesama ummah!
Sumber: Utusan Malaysia. Jumaat. 22/10/2010.
0 comments