Operasi Tabung Haji Di Madinah Lancar




MADINAH: Operasi Lembaga Tabung Haji (TH) di Madinah berjalan lancar menjelang kemasukan jemaah haji ke Kota Makkah Ahad ini, kata Pengarah Operasi TH Madinah, Shahrunnajmi Basharuddin.

Katanya, kerjasama baik dan komitmen Muasasah yang mengendalikan jemaah haji Malaysia dengan TH membolehkan sistem yang dirancang agensi itu berjalan baik dan berkesan.

“Pujian harus diberikan kepada kerajaan Arab Saudi kerana membuat penambahbaikan perkhidmatan. Kepantasan pemeriksaan di pusat imigresen dan kastam di lapangan terbang telah memendekkan masa pergerakan jemaah.

“Sanjungan tinggi Arab Saudi terhadap TH kerana agensi itu berjaya menguruskan jemaah dengan baik dan tersusun adalah satu pengiktirafan,” katanya yang juga Naib Konsul Haji Malaysia di Jeddah kepada pasukan media TH yang membuat liputan haji musim ini.

Di Madinah, jemaah ditempatkan di Hotel Al Haram dan Anwar Al Madinah Movenpick yang bertaraf lima bintang dan boleh menampung hampir 10,000 orang.

Beliau berkata, Kumpulan Manazeli yang mengendalikan jemaah Malaysia juga telah bersiap sedia menguruskan keperluan dan penempatan mereka di Kota Mekah.

“Pasukan TH di Madinah berazam memberi perkhidmatan terbaik. Syukur alhamdulillah tiada masalah besar berlaku. Kaunter perkhidmatan pelanggan juga dibuka untuk menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Timbalan ketua Rombongan Haji (Perubatan), Dr Roniyuzam Abdul Malek, berkata sehingga hari ini tiada kes jemaah menghadapi masalah kritikal.

Hampir 6,000 jemaah haji telah tiba di Madinah dan kumpulan pertama yang telah cukup lapan hari tinggal di Madinah atau bersamaan 40 waktu solat akan memasuki Kota Mekah Ahad ini.

Sementara itu cuaca di Madinah pada 34 hingga 35 darjah Celsius berbanding dua tiga hari lepas mencecah 44 darjah Celsius.

Sumber: Berita Harian. Rabu. 13/10/2010.

0 comments