Oleh Ibrahim Abdullah
FIRMAN Allah bermaksud: “Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadah haji nescaya mereka akan datang kepada (Rumah binaanmu) dengan berjalan kaki, dan berkenderaan jenis unta yang kurus, yang datangnya dari pelbagai jalan (corak rantau) yang jauh, supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan berbagai faedah bagi mereka serta menyebut nama Allah pada hari tertentu kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan haiwan ternak untuk dijadikan korban.
Dengan demikian makanlah kamu dari (daging) korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, dan yang fakir miskin.” Surah al-Hajj, ayat 27-29.
Ibadah haji mempunyai hikmah dan rahsia tertentu bagi memenuhi dua tuntutan iaitu dari segi rohani dan jasmani, dunia dan akhirat. Ia juga banyak mengandungi hikmah dan pengajaran yang tersirat di sebalik ibadah berkenaan.
Ibadah haji tidak diwajibkan hanya berzikir kepada Allah SWT, menziarahi tempat suci dan menjejaki kesan para nabi, tetapi tujuannya lebih besar iaitu menyatukan umat yang berpecah-belah, berunding dan berbincang, supaya masing-masing kembali ke tanah air membawa azam yang mulia agar menjadi umat yang baik dan bersepadu.
Allah memilih tempat berkat yang pernah menerima rahmat sejak nabi Adam dan Ibrahim AS serta anak cucu mereka yang juga penutup segala nabi untuk mengajar manusia betapa pentingnya kesatuan dan perpaduan di antara mereka. Jalan yang dilalui oleh mereka itu hanya satu jalan saja iaitu jalan nabi, siddiqin, syuhada, dan salihin.
Ibadah haji yang dilaksanakan dengan pakaian ihram tidak berjahit, tawaf mengelilingi Baitullah, saie di antara Safa dan Marwah, wukuf di Arafah, melontar Jamrah, menyembelih haiwan dan dam semuanya mengandungi erti simbolik dan menjadi tujuan utama daripada penunaian ibadah haji.
Ihram yang menjadi nasak ibadah haji pertama dilakukan, membawa erti pembebasan diri daripada keinginan hawa nafsu dan daya tarikan daripada pengaruh luar selain Allah.
Ihram melambangkan penumpuan sepenuhnya kepada kebesaran dan keindahan zat dan sifat Allah. Membebaskan ikatan kedudukan dan pangkat, darah, keturunan, harta, miskin, kaya yang sering memisahkan seseorang daripada saudara seagama dan kemanusiaan.
Tawaf di Baitullah al-Haram diperlukan mengelilingi sebanyak tujuh keliling walaupun bersesak keadaannya dalam mencari ketaatan kepada Allah. Saie antara Safa dan Marwah dilakukan selepas tawaf, membayangkan erti mengejar rahmat dan pengampunan Allah.
Wukuf di Arafah pula, mengertikan pengorbanan perasaan takutkan Allah. Dengan doa restu yang dimohon dan harapan tinggi dipanjatkan kepada Allah. Di sinilah kemuncak ibadah haji, tempat pertemuan Adam dan Hawa selepas lama mereka berpisah sejak diturunkan dari syurga.
Melontar Jamrah adalah simbol kutukan kepada unsur kejahatan yang sering membinasakan manusia. Melontar juga membayangkan keazaman dan tekad untuk tidak lagi melakukan amalan yang mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan masyarakat.
Penyembelihan haiwan untuk membayar dam mengertikan kesucian kerana darah yang ditumpahkan itu seolah-olah darah kotor, dan membayangkan pengorbanan kerana menuntut keredaan Allah.
Antara implikasi yang sangat berfaedah diperoleh daripada pelaksanaan ibadah haji, menurut Dr Yusuf Qaradawi ialah:
- Mengisi bekalan kerohanian bagi hati dan jiwa manusia dengan iman dan takwa. Dengan keazaman dan semangat meningkatkan ketaatan kepada Allah, kecintaan kepada rasul-Nya, kesedaran tanggungjawab terhadap sesama Islam pada keseluruhannya.
Tanah suci dan tempat yang dilawatinya meninggalkan kesan mendalam pada hati seseorang Muslim, dan bila pulang ke tanah air dengan hati yang bersih, berakhlak mulia dan semangat menentang segala bentuk kemungkaran. Jika haji dikerjakan itu mabrur dan ikhlas, kesannya lebih positif berfungsi melahirkan manusia berwawasan seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Siapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan kekotoran dosa dan kefasikan, nescaya bersih daripada dosanya seperti pada hari ia dilahirkan ibunya.”
- Ibadah haji berfungsi meluaskan ufuk pemikiran seorang Muslim, menghubungkan dirinya dengan alam sekitar, dengan mening-galkan keluarga, tanah air, berkorban harta benda dan jiwa, bertujuan melatih manusia supaya bersedia menanggung kepayahan.
- Dari aspek kebendaan, ibadah haji membuka peluang mengadakan pertukaran barang perniagaan di kalangan umat Islam. Firman Allah bermaksud: “Tiada apa-apa kesalahan bagi kamu untuk mencari kelebihan rezeki daripada Tuhan kamu.” Surah al-Baqarah, ayat 198. Perlu diingat urusan perniagaan tidak menjejaskan ibadah haji seseorang.
- Menyemarakkan semangat perpaduan, melatih insan menghidupkan prinsip kemanusiaan yang tinggi dan mulia yang dibawa Islam. Perpaduan dan dasar kesatuan ummah sejagat. Pada masa jahiliah orang Arab mengambil kesempatan pada musim haji untuk menunjukkan kemegahan masing-masing, dengan keturunan dan pangkat. Lalu Rasulullah SAW menyampaikan ucapan yang sangat penting untuk mengajar mereka ajaran Islam yang bersifat antarabangsa.
Antara kandungan ucapan Baginda ialah: “Wahai manusia, Tuhan kamu satu, bapa kamu juga satu, ingatlah tiada keistimewaan orang Arab atas orang bukan Arab, tiada keistimewaan kulit putih atas kulit hitam, tiada keistimewaan kulit hitam atas kulit putih, kecuali kerana takwa.”
- Mewujudkan rantau aman dan sejahtera dalam tempoh ibadah haji. Tetamu Allah di Tanah Suci mengadakan perjalanan yang aman menuju bumi dijamin Allah, bumi yang dibangun padanya Baitul Haram (Rumah yang dikawal).
Kawasan aman dikenali sebagai Tanah Suci, bukan hanya menjamin kepada manusia, tetapi meliputi burung di udara dan di daratan, pokok dan rumput rampai semuanya wajib diberi perlindungan, tidak boleh dibunuh haiwan dan dipotong pokok. Inilah keamanan yang tidak pernah dirasai mana-mana kawasan dunia lainnya yang dianugerahkan Allah Taala.
- Muktamar dan perhimpunan agung sedunia ada dalam ibadah haji. Mereka menghadiri muktamar ini tidak diundang mana-mana pihak selain Allah. Allah mewajibkan hamba-Nya menunaikan ibadah ini setiap tahun.
Dalam muktamar tahunan ini, semua golongan masyarakat hadir menemui saudaranya seluruh dunia, pemimpin, tokoh politik, ulama dan sebagainya berbincang mencari persefahaman untuk mewujudkan suatu jalan yang lebih baik bagi mencapai cita dan wawasan umat Islam sejagat.
Rasulullah SAW mengingatkan umatnya betapa pentingnya muktamar ini, yang mana Baginda menaiki mimbar dan berucap yang menyentuh kepentingan seluruh umat Islam pada musim haji wadak, iaitu hubungan antarabangsa dibincang bersama dalam kesempatan berkenaan.
Sumber: Beritah Harian. Isnin. 11/10/2010.
0 comments