RM1.8 Juta Biayai Tunai Haji





Oleh KHADIJAH IBRAHIM

JOHOR BAHRU 5 Okt. - Johor memperuntukkan RM1.8 juta untuk membiayai tambang penerbangan kakitangan perkhidmatan awam kerajaan negeri menunaikan fardu haji ke tanah suci Mekah pada tahun ini.

Ia membabitkan lebih 370 orang pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, peruntukan tersebut disediakan setiap tahun untuk memberi kesempatan kepada kakitangan kerajaan negeri menunaikan haji.

“Sudah menjadi tradisi kerajaan negeri sejak 10 tahun lalu menaja mereka yang layak untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perjumpaan dengan bakal-bakal haji di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Persada Johor di sini.

Katanya, program tradisi itu adalah pemberian berbentuk tambang percuma untuk kakitangan awam negeri suami isteri.

Ia adalah sebagai menghargai perkhidmatan yang diberikan mereka kepada kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Abdul Ghani berharap mereka sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal bagi memudahkan mereka menjalani dan menyempurnakan ibadah haji .

Beliau juga meminta mereka mendoakan agar umat Islam negara ini amnya dan negeri Johor khasnya sentiasa dalam keadaan selamat dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Sumber: Utusan Malaysia. Rabu. 6/10/2010.

0 comments