Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَبْتَغُوا فَضْلا مِنْ رَبِّكُمْ فَإِذَا أَفَضْتُمْ مِنْ عَرَفَاتٍ فَاذْكُرُوا اللَّهَ عِنْدَ الْمَشْعَرِ الْحَرَامِ وَاذْكُرُوهُ كَمَا هَدَاكُمْ وَإِنْ كُنْتُمْ مِنْ قَبْلِهِ لَمِنَ الضَّالِّينَ (١٩٨) ثُمَّ أَفِيضُوا مِنْ حَيْثُ أَفَاضَ النَّاسُ وَاسْتَغْفِرُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ (١٩٩)
FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: “Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia daripada Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan haji). Kemudian apabila kamu bertolak turun dari padang Arafah (menuju ke Muzdalifah), maka sebutlah nama Allah (dengan doa, talbiah dan tasbih) di tempat Masy’ar Al-Haraam (di Muzdalifah) dan ingatlah kepada Allah dengan menyebutnya seperti Ia memberikan petunjuk hidayah kepadamu; dan sesungguhnya kamu sebelum itu adalah golongan orang yang salah jalan ibadatnya. Selain itu hendaklah kamu bertolak turun dari (Arafah) tempat bertolaknya orang ramai dan beristighfarlah kamu kepada Allah (dengan memohon ampun), sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Baqarah, ayat 198-199)
Matlamat utama disyariatkan ibadat haji supaya umat Islam menjana bekalan takwa menuju keredaan Ilahi, namun mereka tidak dilarang melakukan urusan perniagaan sepanjang berada di Makkah.
Riwayat Abu Saleh Maula Umar (diriwayatkan oleh Ibnu Jabir) katanya: “Aku berkata (kepada Umar): Wahai Amirul Mukminin! Adakah anda sekalian berniaga pada musim haji? Jawab Umar: Bukankah mereka tidak mencari kehidupan mereka selain pada musim haji?”
Ibu Abbas berkata, pada musim haji ramai orang enggan berniaga dan berjual beli seperti kebiasaan mereka. Malah, sesetengahnya berkata, musim haji adalah musim berzikir pada Allah. Maka, turunlah ayat terbabit.
Sesetengah ulama berpendapat, perniagaan ini jika dilakukan sehingga mengurangkan amalan ibadat hajinya, maka hukumnya adalah tidak dibenarkan. Tetapi jika tidak mengurangkan, hukumnya dibenarkan. Namun demikian, lebih utama hendaklah ibadat haji dipisahkan daripada kerja lain kerana ia afdal dan lebih sempurna.
Amalan wukuf di padang Arafah ialah perhimpunan besar manusia dari seluruh pelosok dunia ke padang yang satu di bawah terik mentari, tiada daya dan upaya melainkan mereka semuanya mengharapkan keredaan Ilahi.
Perhimpunan jutaan manusia itu melambangkan perhimpunan besar yang dihadapi setiap manusia bagi dihisab segala amalan diri di padang Mahsyar kelak. Oleh itu, kita perlu menghisab diri dan bertaubat sebelum Allah pamerkan amalan di depan jutaan manusia di padang Mahsyar.
Ada pendapat mengatakan perkataan Arafah berasal daripada pertemuan kembali Nabi Adam dan isterinya, Siti Hawa yang diturunkan ke bumi secara berasingan dan mereka bertemu di lembah dikenali padang Arafah.
Ada juga ulama menyatakan ia berasal dari peristiwa pertemuan Nabi Ibrahim dengan isterinya, Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail yang sudah lama berpisah sementara sebahagian ulama berpendapat Arafah hasil pemahaman Nabi Ibrahim menghayati perintah Allah yang tersirat dalam mimpinya menyembelih puteranya Nabi Ismail.
Arafah adalah tempat wukuf. Waktunya daripada tergelincir matahari 9 Zulhijjah hingga terbit fajar sadiq pada hari raya korban. Wukuf adalah salah satu rukun haji. Siapa yang luput daripada masanya, tidak sah hajinya.
Daripada Abdul Rahman Ya'mur, katanya: “Bahawa Rasulullah SAW bersabda: Haji itu ialah Arafah. Barang siapa datang pada malam tanggal 10, sebelum terbit fajar, bererti dia sudah mendapatkan Arafah.” (Hadis riwayat Ahmad)
Al-Masy’aril Haram pula ialah Muzdalifah, di sini al-Quran menyuruh berzikir selepas bertolak dari Arafah. Kemudian ia mengingatkan kaum muslimin bahawa berzikir adalah hidayah Allah kepada mereka dan pernyataan bersyukur atas hidayah itu.
Seterusnya, umat Islam diwajibkan bermalam di Muzdalifah, tempat persinggahan Rasulullah dalam perjalanannya dari Arafah ke Mina. Menurut riwayat, Rasulullah bersolat sunat dua rakaat lewat tengah malam di Muzdalifah.
Sumber: Berita Harian. Khamis. 28/10/2010.
0 comments