Tafsir Ayat: Usah Biar Kesulitan Jemaah Bantutkan Niat Ke Tanah Suci





Bersama Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

ALLAH SWT berfirman bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan barang siapa yang kufur (ingkar kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajat kepada sesuatu apapun) dari sekalian makhluk.” (Surah Ali Imran, ayat 97)

Musim haji menjelang kembali. Ketika ini, jemaah pasti sibuk membuat persediaan terakhir sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Ibadat haji adalah satu daripada Rukun Islam yang lima, wajib dilaksanakan Muslim berkemampuan sekali seumur hidup.

Menyedari kewajipan ibadat haji yang terpikul pada bahu setiap Muslim di samping kemampuan yang melayakkannya untuk menyahut seruan Ilahi ke Tanah Suci, sewajibnya setiap Muslim berkemampuan tidak melengahkan rukun Islam kelima ini.

Rasulullah SAW berpesan kepada umatnya supaya segera menunaikan haji apabila memenuhi syarat sebelum berlaku sesuatu ke atas dirinya, keluarga dan harta benda yang boleh membantut niat dan azam ke Tanah Suci.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Hendaklah kamu segera menunaikan ibadat haji iaitu haji fardu kerana sesungguhnya seseorang tidak mengetahui apakah rintangan yang akan menghalang kamu (pada masa akan datang jika dilewatkan).” (Hadis riwayat Ahmad)

Rasulullah SAW memberi peringatan keras berkaitan kesudahan dan akibat diterima orang yang sengaja melengahkan ibadat haji biarpun sudah memenuhi segala syaratnya.

Oleh itu, setiap Muslim berkemampuan dinasihatkan supaya tidak melengahkan masa membuat persiapan haji seperti menyimpan wang secukupnya, mendaftar dengan Lembaga Tabung Haji, menghadiri kursus bersiri haji dan menyelesaikan segala masalah berkaitan semasa ketiadaannya kelak.
Amat mendukacitakan apabila ada umat Islam sengaja melewatkan pemergian ke Tanah Suci dengan pelbagai alasan tidak munasabah, kononnya belum sampai seru, sibuk bekerja atau bimbang tiada siapa menjaga anak.

Walaupun alasan dikemukakan mendatangkan keuntungan besar di dunia, perlu diinsafi keuntungan itu kecil berbanding ganjaran pahala yang diperoleh melalui haji mabrur.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Haji yang mabrur itu tidak ada ganjarannya melainkan syurga penuh kenikmatan.” (Hadis riwayat Bukhari)

Selain itu, terdapat juga kebimbangan sebahagian umat Islam terhadap pelbagai kesusahan dan kesulitan yang akan mereka dihadapi sepanjang berada di Tanah Suci, terutama apabila mendengar pengalaman dan rungutan daripada jemaah yang menunaikan ibadat haji. Mereka terpengaruh dengan cerita itu sehingga membantutkan azam menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

Perlu ditegaskan, ibadat haji menyingkap pelbagai hikmah pengajaran yang wajib difahami serta dihayati setiap Muslim. Oleh itu, setiap Muslim harus memahami dan bersedia menghadapi kemungkinan yang akan menimpa.

Kesabaran seseorang akan menjadi neraca piawaian sama ada dia memperoleh haji mabrur ataupun sebaliknya. Ibadat haji sebagai ibadat ditegakkan atas landasan kesabaran, maka wajar setiap jemaah haji membuat persediaan awal supaya tidak terjebak perangkap mudah marah, tidak sabar, perilaku maksiat dan dosa atau segala perbuatan dilarang Allah.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom.

Sumber: Berita Harian. Khamis. 7/10/2010.

0 comments