Tambang Haji Musim Depan Dijangka Naik: Jamil Khir




YAN: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan melakukan satu kajian menyeluruh mengenai kos pengangkutan dan penginapan di Makkah, pada masa terdekat ini sebelum menaikkan tambang baru yang bakal dikenakan ke atas bakal jemaah haji.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata, ini penting bagi memastikan kenaikan itu relevan dan tidak membebankan bakal haji berkenaan.

“Tambang menunaikan haji bagi musim depan dijangka naik berikutan peningkatan kos perbelanjaan termasuk penginapan dan pengangkutan di Makkah.

“Sehubungan itu, kajian itu akan dilakukan sebelum melakukan penstrukturan semula kadar tambang berkenaan. Namun, saya ingin tegaskan bahawa kos tambang haji jemaah Malaysia paling rendah berbanding Thailand, Brunei, dan Filipina.

“Kita perlu mengambil kira semua kos berkenaan kerana semua hotel berdekatan dengan Masjidil Haram sudah diruntuhkan Kerajaan Arab Saudi bagi membangunkan kawasan baru yang boleh menampung lebih tiga juta jemaah,” katanya selepas Majlis Aidilfitri dan Penyampaian Sumbangan kepada Golongan Asnaf di daerah Yan, di sini, semalam.

Jamil Khir berkata, Tabung Haji akan melihat kenaikan itu secara positif bagi mengimbangkan kepentingan jemaah haji dan pendeposit Tabung Haji.

“Jika harga lama dikekalkan, Tabung Haji terpaksa memberi subsidi sebanyak RM3,060 bagi setiap jemaah...saya berpendapat jika berlaku kenaikan sekali pun, pasti bakal jemaah dapat memahaminya,” katanya.

Sumber: Berita Harian. Ahad. 3/10/2010.

0 comments