MAKKAH: Lembaga Tabung Haji (TH) meningkatkan perkhidmatan kaunseling dan ceramah bagi memantapkan lagi persediaan jemaah haji menjelang hari wukuf yang dijadual pada Ahad, 14 November bersamaan 9 Zulhijjah.
Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia (Kebajikan) TH, Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman, berkata sehubungan itu jemaah haji dinasihatkan agar sentiasa menjaga kesihatan kerana cuaca panas sebagai antara persediaan mereka menjelang hari wukuf di Arafah.
Sementara itu, katanya, TH sudah bersedia untuk menyambut ketibaan rombongan pertama lebih 1,000 orang jemaah haji Malaysia yang dijangka tiba di Kota Makkah awal pagi esok.
Katanya, jemaah berkenaan menaiki KT1, KT2 dan KT3 dibawa dengan bas ke Kota Makkah tengah hari ini setelah berada selama lapan hari di Madinah sejak 9 Oktober lalu.
Katanya, mereka dijangka tiba di tempat penginapan di Hotel Al Janadiriah yang juga ibu pejabat dan pejabat operasi TH di Makkah kira-kira 1 pagi Isnin waktu tempatan (6 pagi waktu Malaysia).
“Mereka akan berhenti di Bir Ali (tempat berniat) di pinggir bandar Madinah untuk bersolat sunat dan berniat ihram sebelum meneruskan perjalanan lebih 400 kilometer selama enam jam ke Makkah.
“Setelah tiba di sini dan selesai saja urusan penginapan mereka akan terus mengerjakan tawaf dan saie umrah,” katanya kepada pasukan media TH yang membuat liputan haji musim ini selepas meninjau empat hotel tempat penginapan jemaah Malaysia hari ini.
Hotel terbabit ialah Sevilla Barakat yang boleh menampung 3,800 jemaah, Elaf Alsud (1,800 jemaah), Al Haram 2 (1,000 jemaah) dan Al Janadiriah (lebih 6,000 jemaah).
Syed Saleh berkata, Hotel Sevilla menempatkan maktab (kem) 76 dan 77, Elaf Alsud (maktab 66 dan sebahagian maktab 80), Al Haram 2 (maktab 80) manakala Al Janadiriah (maktab 72, 73 dan 74).
Beliau yang juga Pengurus Besar Kanan (Jabatan Kewangan Korporat & Perkhidmatan TH) berkata, tinjauan bertujuan melihat dan mempastikan persiapan yang dibuat lancar sebelum ketibaan semua 26,000 jemaah Malaysia.
“Jemaah dipecahkan kepada 16 maktab dan sembilan daripadanya dikendalikan Muasasah.
“Konsep perkhidmatan TH adalah standard. Modul ceramah, kaunter khidmat pelanggan, penyaluran maklumat, kemudahan rawatan dan pengeluaran wang di semua tempat penginapan diseragamkan,” katanya. - BERNAMA
Sumber: Berita Harian. Ahad. 17/10/2010.
0 comments