Nationwide Express Tawar Khidmat Urus Bagasi Jemaah Haji





BERSLOGANKAN Tenang Ibadah, Segalanya dipermudahkan, Insya-Allah, syarikat Nationwide Express menawarkan perkhidmatan penghantaran pulang bagasi lebihan kepada jemaah haji terus ke muka pintu.

Nationwide Express mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan penghantaran pulang bagasi kepada jemaah haji dan syarikat perkhidmatan penghantaran milik Bumiputera itu diberi kepercayaan untuk menyediakan perkhidmatan itu sejak tujuh tahun lalu.

Selain jemaah haji Malaysia, perkhidmatan itu turut disediakan buat jemaah dari Brunei dan Singapura. Pengerusi Nationwide Express, Rozilawati Basir, berkata Nationwide Express adalah Sahabat Korporat Tabung Haji 2010 dan dilantik untuk menyediakan perkhidmatan penghantaran pulang bagasi kepada jemaah haji. Jemaah hanya dibenarkan untuk membawa bagasi tidak melebihi 25 kilogram dan jika lebih, mereka akan dikenakan caj. Bagi mengatasi masalah ini, jemaah haji tidak perlu risau kerana mereka boleh menghantar barangan mereka seperti air zam-zam dengan menggunakan perkhidmatan yang kami sediakan.

Dengan menggunakan perkhidmatan ini, jemaah haji mendapat ketenangan fikiran untuk menunaikan ibadah kerana kami menguruskan semuanya hingga sampai ke pintu rumah mereka. Perkhidmatan yang kami berikan cekap dan menjanjikan barangan yang dihantar diterima dengan selamat dalam masa tujuh hari bekerja, katanya. Katanya, syarikatnya mengambil berat dengan pandangan pengguna berhubung cara pengendalian barangan seperti air zam-zam, buku agama, kitab dan al-Quran yang memerlukan pengendalian secara tertib dan tidak boleh dilangkah.

Untuk itu pengguna tidak perlu risau kerana kebanyakan kakitangannya beragama Islam dan mereka sudah diberi panduan untuk mengendalikan barangan berkenaan. Bagi memastikan penyelenggaraan penghantaran bagasi dapat berjalan lancar, Nationwide Express menggunakan sistem teknologi terkini dengan kos yang berpatutan. Dengan menggunakan sistem track and trace yang disediakan di laman web juga memungkinkan status barangan mereka dijejaki, di samping penggunaan PDA untuk mengoptimumkan perjalanan operasi.

Kotak pelbagai saiz juga disediakan di semua kaunter Nationwide Express dan konsultasi juga diberikan secara percuma buat pelanggan. Harga yang ditawarkan untuk penghantaran bagasi ialah 15 Saudi Riyal sekilogram bagi Semenanjung dan 20 Saudi Riyal untuk Sabah dan Sarawak. Bagi penghantaran pulang air zam-zam, caj pengurusan termasuk pembungkusan dan penghantaran ialah 120 Saudi Riyal untuk Semenanjung dan 140 Saudi Riyal bagi sebotol air seberat 10 liter.

Kaunter perkhidmatan penghantaran pulang bagasi terletak di hotel terpilih di Makkah dan Madinah. Kaunter dibuka 24 jam sehari dan beroperasi sejak Oktober hingga berakhirnya musim haji. Kami memberi pilihan buat pelanggan untuk menghantar barangan mengikut mana-mana alamat yang mereka mahukan. Pelanggan juga boleh membuat pilihan untuk mengambil barangan mereka di tempat kami sebaik mereka pulang dari mengerjakan haji, katanya. Untuk kemudahan pelanggan, Nationwide Express berada di 180 lokasi membabitkan cawangan dan pusat penghantaran di seluruh negara.

Sumber: Berita Harian. Rabu. 24/11/2010.

0 comments