TAWAF adalah satu daripada rukun haji dan juga umrah. Tawaf adalah penting dan sebagai asas bagi meneruskan rukun-rukun haji dan umrah yang seterusnya, sekiranya tawaf tidak sah maka rukun-rukun yang lain akan terkesan. Tawaf pada bahasa bererti mengelilingi. Tawaf menurut syarak adalah mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh pusingan dengan niat tawaf dan menurut syarat-syaratnya.
Dalil terhadap kewajipan tawaf adalah firman Allah yang bermaksud:
وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ (٢٩)
Ertinya: Dan hendaklah mereka melakukan tawaf sekeliling rumah yang tua ini (Baitullah). (al Haj: 29)
Demikian juga hadis daripada Ibn Umar yang bermaksud: Sesungguhnya Nabi SAW jika melakukan tawaf di Baitullah sebagai tawaf pertama dalam haji dan umrah, maka baginda berlari-lari kecil pada tiga pusingan dan tawaf mengelilingi Kaabah dan berjalan biasa pada empat pusingan kemudian bersaie antara Safa dan Marwah. (riwayat Muslim)
Adalah penting setiap jemaah haji mempelajari, memahami dan mengingati satu persatu syarat sah tawaf. Ia bagi membantu jemaah haji lebih yakin dan tenang menjalankan ibadat tawaf ini.
Adakalanya jemaah haji telah pelajari tetapi tidak faham dan tidak ingat apakah syarat sah tawaf. Ini sedikit sebanyak memberi kesan di mana terdapat jemaah yang tawaf dalam keadaan tidak betul dan ada juga jemaah yang hanya sibuk memberi tumpuan kepada perkara-perkara sunat tawaf sedangkan syarat sah tawaf diabaikan.
Syarat sah tawaf:
1- Menutup aurat
2- Suci daripada hadas besar dan kecil
3- Suci badan, pakaian dan tempat tawaf daripada najis
4- Bermula dan berakhir di sudut Hajarul Aswad
5- Menjadikan Kaabah di sebelah kiri dan berjalan ke hadapan
6- Dilakukan dalam Masjidil Haram dan luar binaan Kaabah, Hijr Ismail dan Syazarwan
7- Mengekalkan niat tawaf
8- Cukup tujuh pusingan dengan yakin.
Jemaah bolehlah mulakan tawaf dengan tenang dan pastikan syarat-syarat ini dipatuhi, insya-Allah moga dimudahkan Allah. Jemaah sering diperingatkan agar pastikan cukup tujuh pusingan dengan yakin. Sekiranya tidak yakin bilangan tawaf yang telah dibuat, maka hendaklah ditambah pusingan tawaf supaya benar-benar yakin cukup tujuh pusingan.
Ibadat tawaf adalah asas menyempurnakan rukun yang lain, sekiranya tawaf tidak sah maka ibadat saie dan bercukur atau bergunting juga tidak sah dan perlu diulang. Bagaimana pula dengan bacaan doa, idtiba’ dan amalan lain lain seperti isyarat tangan semasa tawaf? Itu semua adalah amalan sunat semasa tawaf. Jika dibuat akan menambahkan kualiti dan fadilat tawaf, namun jika tidak dapat dilakukan tawaf masih sah dan diterima Allah.
Antara perkara-perkara sunat semasa dalam tawaf adalah:
1- Berjalan kaki
2- Beridtiba’ (memakai ihram dalam keadaan bahu kanan dinampakkan) sunat bagi lelaki pada tawaf yang diiringi dengan saie.
3- Mengucup Hajarul Aswad ketika permulaan tawaf
4- Istilam Hajarul Aswad atau melakukan isyarat tangan tapak tangan ke arah Hajarul Aswad
5- Istilam Rukun Yamani
6- Melakukan ramal (berlari-lari anak)
7- Berturut-turut mengelilingi Kaabah sehingga tujuh pusingan
8- Tawaf dengan tawaduk dan khusyuk
9- Melakukan solat sunat tawaf dua rakaat setelah selesai tawaf
10- Berdoa atau berzikir semasa tawaf
Sumber: Utusan Malaysia. Khamis. 4/11/2010.
0 comments