SAYA ingin mengetahui apakah yang perlu dilakukan oleh jemaah haji pada hari melontar Jamrah, sekiranya dia mengalami keuzuran pada waktu itu? Bolehkah dia mewakilkan ibadat berkenaan kepada orang lain?
Jawapan:
Kalangan ulama sudah bersepakat mengatakan bahawa melontar Jamrah adalah salah satu wajib haji. Pada prinsipnya, wajib haji, apabila diabaikan oleh calon haji dikenakan dam atau fidyah, sesuai dengan jenis wajib dan kadar yang diabaikan.
Dalam Fiqhus Sunnah, Sayid Sabiq menyatakan: Sesiapa yang ada halangan hingga tidak dapat melakukan lontaran, misalnya kerana sakit dan sebagainya, maka ia boleh mencari pengganti untuk melontar atas namanya.
Sebuah hadis riwayat Ibnu Majah daripada Jabir (yang bermaksud): Kami melakukan haji bersama Rasulullah SAW. Turut bersama kami adalah wanita dan kanak-kanak. Maka kami membacakan talbiyah untuk kanak-kanak itu, juga melontar buat mereka.
Rasulullah SAW pernah memberi izin untuk menunda lontaran Jamrah kepada pengembala dan mereka yang membahagikan air kepada Jamrah haji (as-Suqat).
Bagi jemaah yang mempunyai halangan atau mengalami keuzuran ketika itu, dia boleh mewakilkan orang lain untuk melontar atas namanya.
Cara meminta orang yang mewakili jemaah uzur itu perlu melakukan ibadat melontar dulu untuk dirinya, kemudian melontarkan pula untuk jemaah yang diwakilinya. Orang yang mewakili tidak harus menyelesaikan lontarannya pada ketiga-tiga Jamrah dan baru melontarkan untuk yang diwakilinya.
Dianjurkan juga agar orang yang mewakilkan menyerahkan sendiri kepada orang yang mewakilinya batu yang akan digunakan untuk melontar.
Menurut pandangan Imam Syafie, orang yang menggabung lontaran kerana penundaan di atas dan yang diwakili kerana uzur, tidak terkena dam atau fidyah. Bagaimanapun, ini berbeza dengan pandangan Imam Malik yang mewajibkan dam. Wallahualam.
Sumber: Berita Harian. Ahad. 14/11/2011.
0 comments