Tabungan Awal Langkah Hadapi Kenaikan Kos Haji


MEMBACA kisah jemaah haji yang mengambil masa bertahun-tahun menyimpan wang untuk memenuhi impian menjadi tetamu Allah sewajarnya memberi kesedaran kepada yang belum lagi menabung bagi tujuan itu. Bagi yang berkemampuan, mungkin tidak menghadapi masalah menyediakan wang dalam jumlah banyak untuk menunaikan haji apabila tiba giliran mereka tetapi yang tidak, menyimpan secara berdikit-dikit adalah kaedah terbaik merealisasikan impian menyahut lambaian Kaabah.

Perkembangan pembangunan dari semasa ke semasa dilakukan kerajaan Arab Saudi untuk memberi keselesaan serta kemudahan kepada jemaah haji menunaikan ibadat sedikit sebanyak turut memberi kesan kepada kos haji. Contohnya, pembesaran Masjidil Haram sehingga memaksa bangunan terutama rumah penginapan dan hotel berdekatan diroboh serta dibina semula di kawasan agak jauh sedikit menjadikan nilai hartanah di sana meningkat. Ini menjadikan pajakan atau sewaan dikenakan kepada pihak pengurusan jemaah haji turut meningkat dan menyebabkan kenaikan kos menunaikan haji yang turut sama dipikul jemaah haji negara kita.

Berdasarkan penjelasan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), kenaikan kos menunaikan haji tahun ini meningkat RM1,007 kepada RM9,980 berikutan kerja pembesaran dalam lingkungan 800 meter di persekitaran Masjidil Haram yang dimulakan Kerajaan Arab Saudi pada 2007. Oleh itu, kadar bayaran RM8,973 sebelum ini tidak dapat dipertahankan lagi kerana anggaran kos haji bagi setiap jemaah untuk musim ini adalah RM12,600 dan ini bermakna Tabung Haji menanggung subsidi RM2,620 bagi setiap jemaah. Pada masa sama, Tabung Haji akan terus menanggung kos berkaitan penyediaan jemaah untuk menunaikan haji, seperti bayaran kursus haji bersiri, intensif dan perdana, selain penyediaan buku panduan serta kos penghantaran petugas haji.

Pakej menunaikan haji sejak awal 90-an, jemaah di Semenanjung membayar RM5,500 dan RM6,000 (Sabah dan Sarawak). Kemudian, ada kenaikan sikit pada kos iaitu pada harga antara RM6,000 hingga RM6,310. Kali terakhir Tabung Haji menaikkan bayaran haji ialah pada 2002 daripada RM8,585 kepada RM9,445 tetapi pada 2004 bayaran dikurangkan lima peratus menjadi RM8,973.

Justeru, mahu tidak mahu, umat Islam perlu menerima hakikat perbelanjaan untuk menunaikan rukun Islam kelima tidak akan kekal pada kadar sama sepanjang masa. Umat Islam hendaklah bersedia menghadapi kemungkinan kenaikan kos menunaikan haji pada masa depan dan bagi tujuan itu, perlu dimulakan usaha menyimpan serta membuat tabungan khusus bagi melengkapkan rukun Islam. Selain membuka akaun di Tabung Haji, banyak produk memudahkan penyimpanan serta menawarkan perkhidmatan untuk mereka yang berhajat menunaikan haji dipasarkan.

Mulakan langkah yang perlu sekarang supaya niat menjadi tetamu Allah SWT apabila tiba rezeki nanti tidak terbantut atau berhadapan masalah kerana sudah bersedia dengan perancangan awal termasuk menghadapi kemungkinan peningkatan kos menunaikan haji di masa akan datang. Nantikan maklumat lanjut mengenai ibadah haji dan kaedah menabung untuknya minggu depan.

Sumber: Berita Harian. Sabtu. 6/11/2010.

0 comments