Belasungkawa Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail



KUALA LUMPUR 23 Dis. – Jenazah bekas Panglima Angkatan Tentera; Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail dikebumikan pada kira-kira pukul 5 petang di Makam Pahlawan di sini dengan penuh penghormatan negara. Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dibalut dengan Jalur Gemilang dibawa dari kediamannya di Villa Sang Suria, Jalan Mesra Off Jalan Damai di sini ke Masjid Negara dan ditempatkan di Dewan Syarahan Utama pada pukul 3 petang bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir. Lebih 300 sanak saudara, kenalan dan kenamaan hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham di Masjid Negara.

Antara dif kehormat ialah Perdana Menteri; YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Dalam Negeri; YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Timbalan Menteri Pertahanan; YB Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan mantan Perdana Menteri; Y.A.Bhg. Tun Abdullah Ahmad Badawi. Hadir sama Panglima Angkatan Tentera; Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin, Ketua Polis Negara; Tan Sri Ismail Omar serta beberapa orang bekas menteri Kabinet.

Jenazah Allahyarham kemudian diusung perlahan-lahan oleh anggota tentera dari ketiga-tiga cabang Laut, Udara dan Darat ke Dewan Solat Utama sejurus sebelum solat Asar untuk upacara solat jenazah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara; Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad. Setelah selesai, jenazah diusung perlahan-lahan ke Makam Pahlawan untuk upacara pengkebumian. Turut menyaksikan upacara pengkebumian ialah Najib; isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Abdullah serta isteri Allahyarham, Toh Puan Zakiah Ahmad, 78, serta anak-anaknya.

Allahyarham mempunyai empat anak berusia 52 hingga 60 tahun, 13 cucu dan empat cicit. Suasana pilu menyelubungi Makam Pahlawan ketika bacaan talkin disempurnakan oleh Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat); Brigedier Jeneral Kamarudin Mamat. Ibrahim, 88, yang dirawat di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju kerana sakit tua sejak tiga bulan lalu meninggal dunia kira-kira pukul 4.40 pagi hari ini. Anak kelahiran Johor Baharu ini yang asalnya merupakan Pegawai Kadet dalam pasukan Askar Timbalan Setia Johor merupakan Panglima Angkatan Tentera yang kelima bermula 1970.

Sumber: Masjid Negara Portal.

0 comments