Lapangan Terbang Sultan Mahmud Hab Penerbangan Umrah Dan Haji


Satu lagi pengiktirafan diterima Kerajaan Negeri apabila Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LSTM), Kuala Terengganu, yang dikenali sebagai hab penerbangan terus ke Mekah bagi mengerjakan haji, bakal menyediakan kemudahan untuk umat Islam mengerjakan umrah pula pada tahun depan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Said, berkata penerbangan pertama rombongan 450 jemaah umrah dari Pantai Timur ke Jeddah dijangka pada 18 Mac tahun depan, sebelum penerbangan pulang dijadualkan pada 27 Mac depan.

Katanya, penerbangan sulung membawa jemaah umrah itu adalah ‘hadiah’ daripada Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) sebagai menghargai komitmen kerajaan negeri yang memberi kerjasama padu dalam menguruskan kelancaran operasi Haji, sehingga diiktiraf oleh Audit Tabung Haji sebagai stesen pelepasan haji terbaik di Malaysia.

Buat permulaan MAS membuka peluang mengerjakan umrah kepada petugas haji sebelum dibuka kepada pihak luar dengan menawarkan diskaun kepada jemaah yang menyebabkan kos adalah lebih murah daripada biasa.

“Kerajaan negeri melihat usaha ini sesuatu yang sangat baik kerana melalui pengiktirafan LSTM sebagai lapangan terbang antarabangsa, peluang sebegini membolehkan kita mencari pasaran lebih luas lagi.

“Ini juga akan menjadikan Terengganu lapangan terbang pertama di luar Kuala Lumpur mengendalikan penerbangan umrah ke Jeddah. Kita akan tengok macam mana kekerapan jadual penerbangan yang akan disusun nanti, mungkin dua kali sebulan,” katanya selepas bertemu jemaah haji di LSTM, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Beliau berkata, kelebihan LSTM  mengendalikan penerbangan terus haji dan umrah diharap dapat menarik jemaah dari Thailand.

Selain itu, penerbangan terus umrah dari LSTM ke Jeddah akan memberi banyak kemudahan kepada jemaah kerana masa perjalanan lebih pendek dan pengurangan pelbagai kos terutama pengakutan.

Jika lazimnya jemaah perlu melalui masa perjalanan kira-kira 20 jam apabila perlu bertukar penerbangan, perjalanan dan kos ke Kuala Lumpur, tetapi melalui LSTM perjalanan mungkin hanya 10 jam, sekaligus dapat menarik umat Islam di Selatan Thailand seperti Narathiwat dan Pattani menggunakan kemudahan di LSTM.

Seramai 2,335 bakal haji dari Terengganu, Pahang dan Kelantan mula berlepas ke Mekah mulai 16 Oktober lalu secara berperingkat-peringkat menerusi tujuh penerbangan di LSTM.

Sumber: Akhbar TeganuKita. Bil 31. 25/10/2010.

0 comments