Ternakan Jinak Di Pasar Kaa’kia




SETIAP tahun pada musim haji, jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia mengerjakan ibadah haji iaitu rukun Islam kelima di tanah suci Mekah.

Salah satu daripada tuntutan dalam ibadah haji bagi jemaah yang berkemampuan adalah melakukan korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti kambing, lembu atau unta sebagai tanda kesyukuran.

Pada masa yang sama, jemaah haji yang mengerjakan haji tamattuk (mengerjakan umrah dahulu sebelum haji) diwajibkan membayar dam dengan menyembelih haiwan ternakan, atau berpuasa, atau memberi makan kepada fakir miskin mengikut syarat-syaratnya.

Dalam menunaikan tuntutan tersebut, para jemaah yang berkemampuan lazimnya akan pergi ke beberapa pasar haiwan ternakan di pinggir kota suci itu untuk membeli haiwan korban.

Salah satu daripada pasar tersebut adalah pasar haiwan Kaa’kia yang menawarkan binatang sekecil kambing sehingga sebesar unta. Jemaah haji boleh melihat dan memilih sendiri haiwan itu mengikut kehendak mereka sama ada untuk membayar dam atau korban sempena Aidiladha.

Terletak kira-kira 20 minit memandu dari tengah Kota Mekah, pasar seluas lebih 500 meter persegi itu boleh menampung beratus-ratus ekor kambing, lembu dan unta dalam petak-petak kandang.

Saiz petak bergantung kepada jenis haiwan - petak kecil untuk kambing kecil sementara petak lebih besar untuk unta atau lembu. Pasar Kaa’kia juga dilengkapi pusat penyembelihan.

Pekerja dan penyembelih

Perniagaan tertebut lazimnya dimiliki oleh warga Arab Saudi tetapi diuruskan oleh pekerja rakyat asing yang pelbagai bangsa.

Penulis semasa membuat liputan Musim Haji 1431 Hijrah ini bersama pasukan media Lembaga Tabung Haji (TH) Malaysia berkesempatan melawat dan melihat sendiri perniagaan haiwan di situ.

Haiwan yang dibeli perlu disembelih oleh penyembelih berpakaian seragam berwarna merah yang siap menunggu dengan pisau menyembelih masing-masing.

Mujur masalah komunikasi yang membataskan perhubungan pasukan media dengan mereka diatasi oleh pemandu Coaster TH, Muhammad Abdul Mutalib yang bertindak sebagai penterjemah.

Uniknya haiwan di pasar Kaa’kia itu, semua haiwan ternakan jinak-jinak belaka. Kambing-kambing tidak dikurung di dalam kandang dan cuma dijaga oleh penggembalanya supaya tidak keluar daripada kumpulannya.

Haiwan tersebut dibawa dari pelbagai tempat, diberi makan rumput dan air di kawasan kandang atau tempat ia berkumpul di kawasan pasar.

Pembeli yang datang pasti akan kagum melihat cara penggembala-penggembala itu mengendalikan ternakan seolah-olah haiwan tersebut memahami arahan mereka.

Harga jualan

Harga binatang pasar itu ditetapkan mengikut saiz dan jenis. Pembeli kebanyakannya terdiri daripada penduduk dari negara Asia.

Ahmad Tahir Babikin, 53, seorang rakyat Arab Saudi, yang menjalankan perniagaan di pasar itu sejak dua dekad lalu berkata, beliau menjual kira-kira 3,000 ekor kambing berharga SR250 hingga SR700 (RM200 - RM600) seekor pada musim haji sahaja.

Di luar musim haji, jualan tidak menentu, katanya tanpa menyatakan jumlahnya.

Sementara itu, Abdul Wahab Abdul Kadir, 33, pula berkata, beliau menjual lapan jenis kambing berharga di antara SR200 dan SR400 (RM160 - RM330) seekor .

Bagi pedagang unta, Jaafar Abdul Rashid, 50, musim haji merupakan waktu paling sibuk dan masa untuk menikmati rezeki yang melimpah ruah.

“Dalam masa dua bulan ini saya jangka dapat menjual kira-kira 1,000 ekor unta berharga SR3,000 hingga SR3,300 (RM2,500-RM2,750) seekor berbanding purata 60 ekor sebulan di luar musim haji,” katanya yang telah 22 tahun berkecimpung dalam perniagaan itu.

Ali Hashim, 55, pula berkata, permintaan terhadap lembu sekitar SR2,800 seekor pada musim haji sangat menggalakkan dan kebanyakan pelanggan beliau adalah dari Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Pemandangan, riuh rendah bunyi haiwan ternakan dan bau haiwan ternakan di pasar haiwan Kaa’Kia sememangnya membawa pengalaman baru yang sukar dilupakan oleh penulis serta rakan-rakan pasukan media TH.

Sumber: Kosmo Online

0 comments