Oleh JAMLIAH ABDULLAH
ALOR SETAR 24 April – Kecekapan Malaysia menguruskan operasi haji di tanah suci mendapat kepujian daripada kerajaan Arab Saudi sekali gus menjadi penanda aras kepada negara lain. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, turut mendapat pujian disiplin jemaah Malaysia ketika mengerjakan haji yang disifatkan paling tertib di dunia.
“Sehubungan itu, dalam usaha mengekalkan prestasi tersebut semua pihak termasuk pengendali haji dan jemaah perlu mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan kelak.
“Tabung Haji sendiri amat serius dalam setiap teguran yang dikemukakan oleh Arab Saudi berhubung dengan peraturan dan syarat di tanah suci,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kedah ke-34 di Holiday Villa, di sini hari ini.
Menurut Jamil Khir, satu mesyuarat antara semua menteri berkenaan dari seluruh negara akan berlangsung di Jeddah bermula 1 Mei ini.
“Saya akan menghadiri mesyuarat ini untuk mengenal pasti sebarang teguran jika ada dan kemudian pulang untuk berbincang dengan semua pihak di Tabung Haji dan pengendali haji di Malaysia untuk memperbaiki teguran tersebut,” katanya.
Tambah beliau, mesyuarat tersebut juga akan membincangkan tentang beberapa peraturan ketika menunaikan ibadah haji di Mekah bagi musim ini.
“Antara peraturan baru yang ditetapkan melibatkan pembesaran bilik penginapan jemaah daripada 3.5 meter persegi kepada 4.0 meter persegi.
“Ketetapan lain akan bermula pada tahun ini adalah kereta-kereta kecil tidak lagi dibenarkan masuk ke Arafah kecuali bas sahaja yang akan ditempatkan di zon ditetapkan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia. Isnin. 25/4/2011.
0 comments