Sirah Rasul SAW (1)


1. Bila dan dimana Rasul SAW dilahirkan?

Hari Isnin, 12 Rabiul Awwal [ربيع الأول] di Mekah pada tahun Gajah [عام الفيل]. Kalau mengikut calendar Masihi ialah pada 23 April 571M.

Dari Abi Qatadah r.a [أبي قتادة] berkata bahawa Rasulullah SAW ditanya kenapa berpuasa pada hari Isnin. Maka jawab baginda, “Hari itu aku dilahirkan”. [HR Muslim]

عن أبي قتادة أن رسول الله سئل عن صوم يوم الإثنين، فقال: ذَاكَ يَوْمٌ وُلِدْتُ فِيهِ.
 [رواه مسلم] 

2. Sebutkan nasab Rasulullah SAW?

Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib bin Hasyim bin Abdu Manaf bin Qusay bin Kilab bin Murrah:

محمد بن عبد الله بن عبد المطلب بن هاشم بن عبد مناف بن قصي بن كلاب بن مرة

3. Apakah hikmah dari kemuliaan nasab Rasulullah SAW?

Sebagai pematah hujah pihak musuh Islam untuk mencela risalah dakwah. Kerana jikalau rasul itu datang dari keluarga penipu sudah tentulah kredibiliti seorang rasul boleh dipertikaikan.

4. Siapa nama ayah Rasulullah SAW dan bilakah beliau mati?

Abdullah bin Abdul Mutalib [عبد الله بن عبد المطلب], mati dipangkuan bapa saudaranya Bani Adi bin Najjar [بني عدي بن النجار] ketika pulang dari berniaga di Madinah dan dikuburkan disana. Ketika itu Rasulullah SAW masih dalam kandungan perut ibunya. Firman Allah dalam Surah al-Dhuha ayat 6:

أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَى (٦)

Ertinya: Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?

5. Sebutkan sebahagian nama-nama bagi Rasulullah SAW?

Yang paling masyhur ialah Ahmad [أحمد] dan Muhammad [محمد]. Kata Ibnu Hajar antara keduanya nama Muhammad lebih popular. Selain itu nama Mustafa [مصطفى], al-Aqib [العاقب], al-Mahi [الماحي], al-Hasyir [الحاشر], Taha [طه] dan Yasin [يس].

0 comments