الحمد لله القائل:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى
بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي
بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
(١)
أشهد أن لا إله إلا الله
وحده لا شريك له، وأشهد أن محمدا عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على سيدنا محمد وعلى
آله وأصحابه أجمعين.
أما بعد، فيا عباد الله،
اتقوا الله، أوصيكم وإياي بتقوى الله، فقد فاز المتقون.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah
kita sama-sama mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT dengan
bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya.
Mudah-mudahan dengan keimanan dan ketakwaan, kita beroleh rahmat dan keredhaan
hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membincangkan tajuk
khutbah mengenai “ Kebenaran dalam Isra’ Mikraj ” .
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Kita
kini berada di bulan Rejab. Bulan yang telah berlaku suatu peristiwa penting
iaitu Isra’ dan Mikraj pada tahun kesebelas selepas kenabian Rasulullah SAW.
Peristiwa ini merupakan satu bukti
tentang kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT dalam menjalankan diri
Rasulullah SAW dari Masjidil Haram Mekah ke Masjidil Aqsa Baitul Maqdis di Palestin dan seterusnya Nabi
SAW diangkat ke langit untuk bertemu dengan Allah SWT dan menjadi tetamu-Nya pada malam yang sangat
bersejarah itu. Firman Allah SWT dalam surah al-Israa’ ayat 1:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى
بِعَبْدِهِ لَيْلا مِنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأقْصَى الَّذِي
بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّه هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
(١)
Ertinya:
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari
dari Masjid Al-Haram (di Mekah) ke
Masjid al-Aqsa (di Palastin), yang kami berkati sekelilingnya, untuk
memperlihatkan tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah
jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. ”
Peristiwa
ini menguji tentang keimanan dan keyakinan umat Islam terhadap kekuasaan Allah
SWT serta bukti kebenaran kenabian Nabi Muhammad SAW, kerana bagi pandangan
orang-orang yang tidak beriman atau tipis imannya mereka menyatakan bahawa
peristiwa Isra’ dan Mikraj tidak mungkin akan berlaku dan tidak mempercayainya.
Tetapi bagi orang-orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan Rasul-Nya,
mereka tetap percaya dengan penuh keimanan dan keyakinan serta memperakukan
kebenaran peristiwa tersebut seperti yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar
as-Siddiq dalam mempercayai Allah dan Rasul-Nya sehingga beliau digelar
“as-Siddiq” yang membawa maksud orang yang benar.
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Sepanjang
perjalanan Isra’ dan Mikraj yang ditemani oleh Jibril, Baginda telah
menyaksikan beberapa gambaran perilaku umat manusia sama ada yang telah berlaku
dan yang akan berlaku. Ada gambaran yang mengembirakan dan ada yang menakutkan.
Ini merupakan suatu mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Baginda. Antara
gambaran perilaku tersebut ialah Rasulullah SAW diperlihat satu kaum lelaki dan
perempuan yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada
disisi mereka. Kata Jibril itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina
sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri dan suami.
Persoalan besar timbul di sini siapakah sebenarnya golongan ini?. Mengikut
pandangan ulama golongan ini ialah mereka yang tidak menjaga kemaluan dengan
cara yang halal dan mereka ini tergolong dikalangan yang dicela serta tidak
berjaya samada dalam kehidupan dan cita-citanya. Firman Allah SWT dalam surah
al-Mukminun ayat 1-6:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ
(١) الَّذِينَ هُمْ فِي صَلاتِهِمْ
خَاشِعُونَ (٢) وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ (٣) وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ (٤) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (٥) إِلا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ
مَلُومِينَ (٦)
Ertinya:
“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman Iaitu mereka yang khusyuk dalam
sembahyangnya,dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang
sia-sia. Mereka yang berusaha membersihkan hartanya dengan menunaikan zakat
harta itu. Mereka yang menjaga kehormatannya kecuali kepada isterinya atau
hamba sahayanya, maka sesungguhnya mereka tidak tercela. ”
Sidang
Jumaat Yang Dirahmati Allah
Budaya
hidup berzina terus menjadi isu panas di negara ini kerana sering dikaitkan
dengan kes-kes pelacuran, pengguguran kandungan, pembuangan bayi, rasuah seks
dan pembunuhan. Walaupun budaya keji ini
dibenci oleh semua agama tetapi hanya Islam sahaja yang mengenakan hukuman yang
paling berat kepada penzina. Hukuman keras ini amat waras kerana perbuatan
berzina adalah perbuatan yang menjatuhkan harga diri, maruah dan moral manusia
serta melahirkan status nasab atau keturunan hina yang berpanjangan.
Rasulullah SAW berpesan bahawa antara
tanda-tanda akhir zaman ialah ramai orang yang jahil terhadap agama serta arak
dan zina bermaharajalela. Mereka tahu tentang hukum haramnya namun masih tetap
melakukan, kes-kes zina pada asalnya dilakukan secara tersembunyi, namun di
akhir zaman nanti perzinaan dilakukan secara terang-terangan. Sabda Rasulullah
SAW yang di riwayatkan oleh al-Tabarani yang bermaksud: Tidak akan berlaku kiamat
itu sehingga orang berzina di jalanan sebagaimana keldai, Aku bertanya,
Sesungguhnya itu akan terjadi? Jawab Baginda: Ya, nescaya akan terjadi. Di
Padang Mashyar nanti golongan ini akan berjalan dengan kepala di bawah dan kaki
ke atas langgit, mereka terasing daripada manusia, badannya sangat busuk serta
darah dan nanah sentiasa mengalir dari kemaluannya kerana semasa hidup di dunia
mereka ini berbuat zina, suka menyembunyikan maksiat kerana takutkan manusia
bukannya takut kepada Allah SWT. Kita perlu ingat bahawa orang yang berzina
akan menerima azab siksa yang sangat pedih di neraka Jahanam. Kepanasan api
neraka adalah 70 kali ganda kepanasan api yang ada di atas dunia ini.
Dalam
satu hadith disebutkan di akhirat kelak, Allah SWT tidak menegur orang yang
berzina, tidak menyapanya dan tidak memandangnya. Sabda Rasulullah SAW yang
bermaksud: “Ada tujuh golongan manusia yang Allah tidak akan melihat mereka
pada hari kiamat dan tidak membersihkan mereka dari dosa bahkan Allah berfirman
kepada mereka: Masuklah kamu ke dalam neraka bersama orang-orang yang
dimasukkan ke dalamnya. Tujuh golongan tersebut ialah: mereka yang melakukan
homoseks, mereka yang melakukan kahwin tangan (onani), mereka yang melakukan
hubungan seks dengan binatang, mereka yang melakukan hubungan seks melalui
dubur (liwat). mereka yang berkahwin antara ibu dan anak. mereka yang berzina
dengan isteri jirannya dan mereka yang mengganggu jirannya.”(Riwayat
al-Tabrani).
Ketika
perbuatan berzina berleluasa dan pintu-pintu menuju perzinaan juga terbuka luas
yang kelihatan sukar disekat, maka ketahuilah bahawa musibah bersiap sedia
datang menerpa kita. Seberapa dekat kita dengan pintu-pintu menuju perzinaan,
sedekat itu pulalah musibah yang akan diturunkan oleh Allah SWT. Musibah
mungkin tidak menimpa diri kita tetapi akan menimpa anak cucu kita misalnya
turut terjebak dengan amalan perzinaan.
Mimbar
ingin mengingatkan bahawa nafsu seks adalah fitrah anugerah Allah SWT kepada
manusia untuk mewujudkan kasih sayang dan mendapatkan ketenangan dalam
kehidupan. Bagaimana pun perlepasan dan pembebasan hawa nafsu hendaklah
dilakukan secara halal iaitu melalui pasangan yang sah yang diikat dengan
perkahwinan. Ketahuilah bahawa seorang lelaki yang mendekati wanita yang tidak
sah pada dasarnya ia telah mendekati pintu perzinaan. Seorang lelaki yang
memberi tumpuan penuh pandangan kepada wanita bererti ia telah mendekati
perzinaan. Begitu pula dengan mereka yang senang melayari gambar-gambar porno
di internet, menonton video lucah adalah mendorong kepada perzinaan. Firman
Allah dalam surah al-Israa’ ayat 32:
وَلا تَقْرَبُوا الزِّنَا
إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلا (٣٢)
Ertinya:
“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu
perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.”
Sidang Jumaat Yang dirahmati Allah,
Serangan gejala sosial dan keruntuhan moral
dalam pelbagai bentuk di negara ini
menyebabkan kita kadang-kala hilang pedoman untuk mengatasinya. Mimbar
amat yakin sebagai umat Islam sekiranya peristiwa dan kebenaran dalam Isra’
Mikraj ini ditauladani dan dipelajari serta dihayati sebaik mungkin, insyaallah
kita mampu mengelakkan diri daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan dan
kemungkaran serta terjerumus dengan gaya hidup berdosa. Adalah lebih penting
untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa ini bagi meneladani
perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Isra’ dan
Mikraj merupakan satu ujian dalam proses pemisahan antara orang yang
benar-benar beriman atau mereka yang tipis imannya dan yang kufur ingkar
terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya.
Bersempena
memperingati peristiwa Isra’ Mikraj sebagai mukjizat yang besar ini, maka
mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita
melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT dan menjauhi segala
larangan-Nya. Bagi mereka yang terjebak dengan lembah kemaksiatan, sedar dan
insaflah serta kembalilah ke jalan yang benar. Bertaubatlah dengan
sebenar-benar taubat, mudah-mudahan dengan cara ini kehidupan kita yang
mendatang akan diberkati oleh Allah SWT. Mimbar juga menyeru marilah sama-sama
kita mendidik dan membangunkan anak-anak serta keluarga kita menjadi insan yang
soleh selari dengan kebenaran Isra’ dan Mikraj. Mimbar mengambil kesempatan
pada khutbah minggu ini untuk menyeru seluruh umat Islam sekalian agar
bersama-sama menjaga keamanan dan ketenteraman yang kita nikmati pada masa ini.
Mimbar juga mengajak umat Islam sekalian agar mengelak diri dari terlibat
dengan perkara yang boleh mencetuskan huru-hara seperti perhimpunan haram dan
sebagainya. Mengakhiri khutbah pada minggu
ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat
60:
وَإِذْ قُلْنَا لَكَ إِنَّ
رَبَّكَ أَحَاطَ بِالنَّاسِ وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلا فِتْنَةً
لِلنَّاسِ وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآنِ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ
إِلا طُغْيَانًا كَبِيرًا (٦٠)
Ertinya: “Dan tiadalah kami menjadikan (pada malam
Mikraj) yang telah kami perlihatkan kepadamu melainkan sebagai suatu ujian bagi
manusia; dan (demikian juga kami jadikan) pokok yang dilaknat didalam al-Quran;
dan kami beri mereka takut (dengan berbagai-bagai amaran) maka semua itu tidak
manambahkan keimanan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau. ”
بارك
الله لي ولكم في القرآن العظيم ونفعني وإياكم بما فيه من الأيات والذكر الحكيم
وتقبل مني ومنكم تلاوته إنه هو السميع العليم، أقول قولي هذا وأستغفر الله العظيم
لي ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤمنات، فاستغفروه فيا فوز
المستغفرين ويا نجاة التائبين.
Sumber:
Khutbah JAKIM.