Oleh
DR. MOHD. ASMADI YAKOB
BULAN
Ramadan datang kembali menemui kita. Kedatangannya pada tahun ini seperti juga
kedatangannya pada tahun-tahun lepas dengan membawa rahmat, keberkatan dan
pengampunan daripada Allah SWT.
Kedatangan
Ramadan juga tidak dapat lari daripada membawa pelbagai jenis makanan dan
buah-buahan kepada kita.
Antara
buah yang paling sinonim dengan Ramadan ialah buah kurma. Hakikatnya, kurma
adalah sejenis buah yang sering diulang-ulang dalam al-Quran.
Setakat
yang diketahui, perkataan yang memberi maksud pohon kurma atau buah kurma
disebut lebih 20 kali di dalam al-Quran. Ia menggunakan beberapa lafaz iaitu
al-Nakhl (النخل), al-Nakhlah (النخلة),
al-Nakhil (النخيل), Rutab (رطب)
dan Linah (لينة).
Berbanding
kalimah lain, kalimah al-Nakhl (النخل)
paling banyak disebut dalam al-Quran iaitu 11 kali, perkataan al-Nakhil (النخيل)
pula diulang sebanyak tujuh kali, manakala perkataan Rutab (رطب)
dan Liinah (لينة) pula masing-masing disebut sekali.
Secara
umumnya, perkataan al-Nakhl (النخل)
memberi maksud pohon kurma. Perkataan al-Nakhlah (النخلة)
digunakan untuk maksud sepohon kurma manakala al-Nakhil (النخيل)
pula untuk memberi maksud pohon kurma yang banyak.
Perkataan
Rutab (رطب) pula memberi erti buah kurma yang masak,
manakala perkataan Liinah (لينة)
pula mempunyai pelbagai tafsiran, antaranya pohon kurma yang tidak mengeluarkan
‘ajwah (عجوة) atau kurma nabi dan ia adalah kurma yang
paling bermutu.
Ada
yang menafsirkan Liinah sebagai pohon kurma yang masih kecil dan sebahagian
ulama mengatakan Nakhlah dan Liinah adalah dua nama yang mempunyai maksud yang
sama.
Dalam
al-Quran, Allah sering mengingatkan manusia bahawa pohon kurma yang tumbuh di
bumi ini merupakan salah satu daripada tanda-tanda kekuasaan-Nya.
Oleh
itu manusia hendaklah memerhatikan kekuasaan Allah itu dan mengakui
keagungan-Nya. Contohnya, firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang
menurunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan dengan air itu segala
macam tumbuh-tumbuhan. Maka Kami keluarkan dari tumbuh-tumbuhan itu tanaman
yang menghijau. Kami keluarkan dari tanaman yang menghijau itu biji yang
banyak; dan dari mayang kurma mengurai tangkai-tangkai yang menjulai, dan
kebun-kebun anggur, dan (Kami keluarkan pula) zaitun dan delima yang serupa dan
yang tidak serupa. Perhatikanlah buahnya di waktu pohonnya berbuah dan
(perhatikan pulalah) kematangannya. Sesungguhnya pada yang demikian itu ada
tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang beriman. (al-An’am: 99)
وَهُوَ
الَّذِي أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ نَبَاتَ كُلِّ شَيْءٍ فَأَخْرَجْنَا
مِنْهُ خَضِرًا نُخْرِجُ مِنْهُ حَبًّا مُتَرَاكِبًا وَمِنَ النَّخْلِ مِنْ طَلْعِهَا
قِنْوَانٌ دَانِيَةٌ وَجَنَّاتٍ مِنْ أَعْنَابٍ وَالزَّيْتُونَ وَالرُّمَّانَ مُشْتَبِهًا
وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ انْظُرُوا إِلَى ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَيَنْعِهِ إِنَّ فِي
ذَلِكُمْ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ (٩٩)
Ayat
di atas jelas menunjukkan kekuasaan Allah di dunia ini dengan menumbuhkan
pelbagai jenis tanaman dan tumbuhan. Antaranya kurma, anggur, zaitun dan
tumbuhan lain. Semua kejadian itu menunjukkan tanda-tanda kekuasaan Allah SWT
bagi orang-orang yang beriman.
Nikmat
Yang Wajib Disyukuri
Kebun
kurma adalah satu nikmat yang dikurniakan Allah kepada manusia yang semestinya
disyukuri. Cara bersyukur adalah dengan cara menyedekahkan atau mengeluarkan
zakat sebahagian daripada hasil buah kurma tersebut kepada fakir miskin.
Ini
dijelaskan oleh Allah SWT yang bermaksud: Dan Dialah yang menjadikan
kebun-kebun yang berjunjung dan yang tidak berjunjung, pohon kurma,
tanam-tanaman yang bermacam-macam buahnya, zaitun dan delima yang serupa
(bentuk dan warnanya) dan tidak sama (rasanya). Makanlah dari buahnya (yang
bermacam-macam itu) bila dia berbuah, dan tunaikanlah haknya di hari memetik
hasilnya (dengan disedekahkan kepada fakir miskin); dan janganlah kamu
berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.
(al-An’am: 141)
وَهُوَ
الَّذِي أَنْشَأَ جَنَّاتٍ مَعْرُوشَاتٍ وَغَيْرَ مَعْرُوشَاتٍ وَالنَّخْلَ وَالزَّرْعَ مُخْتَلِفًا أُكُلُهُ وَالزَّيْتُونَ
وَالرُّمَّانَ مُتَشَابِهًا وَغَيْرَ مُتَشَابِهٍ كُلُوا مِنْ ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ
وَآتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ وَلا تُسْرِفُوا إِنَّهُ لا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ
(١٤١)
Dalam
al-Quran, Allah SWT memberi perumpamaan terhadap pohon kurma dalam dua ayat
iaitu surah al-Qamar ayat 20 dan surah al-Haqqah ayat 7.
تَنْزِعُ
النَّاسَ كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ مُنْقَعِرٍ
(٢٠)
Ertinya:
Yang menumbangkan manusia gugur bergelimpangan, seolah-olah mereka
batang-batang pohon kurma Yang terbongkar.
سَخَّرَهَا
عَلَيْهِمْ سَبْعَ لَيَالٍ وَثَمَانِيَةَ أَيَّامٍ حُسُومًا فَتَرَى الْقَوْمَ فِيهَا
صَرْعَى كَأَنَّهُمْ أَعْجَازُ نَخْلٍ خَاوِيَةٍ
(٧)
Ertinya:
Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus;
(Kalaulah Engkau menyaksikannya) maka Engkau akan melihat kaum itu
bergelimpangan mati, seolah-olah mereka: batang-batang pohon kurma Yang
(tumbang dan) lompang.
Kedua-dua
ayat itu menceritakan kisah kaum ‘Ad (عاد)
yang dimusnahkan Allah kerana keingkaran dan kekufuran mereka dengan ribut yang
sangat kuat.
Keadaan
kemusnahan mereka itu diumpamakan seperti pohon-pohon kurma yang telah tumbang
(Nakhlin mun’aqir - نَخْلٍ
مُنْقَعِرٍ) dan pohon-pohon kurma yang sudah usang
(Nakhlin Khawiyah - نَخْلٍ
خَاوِيَةٍ).
Dalam
surah al-Baqarah ayat 266 pula Allah SWT memberi satu perumpamaan terhadap
orang-orang yang menafkahkan hartanya dengan riak dan membangga-banggakan
tentang pemberiannya kepada orang lain (tidak ikhlas), seperti seorang pemilik
kebun kurma dan anggur yang luas namun ketika itu dia sudah tua, dia tidak
dapat menjaga kebunnya dengan baik, sedangkan ketika itu juga anak-anaknya
masih kecil.
Kemudian
kebunnya itu musnah kerana terkena angin yang kencang dan terbakar oleh api
marak. Maksudnya di sini adalah orang yang bersedekah tanpa keikhlasan tidak
akan mendapatkan pahala di akhirat nanti seperti kebun kurma tersebut, meskipun
luas dan subur tetapi kemudian terbiar, musnah dan terbakar.
Golongan
Yang Ingkar
Dalam
surah al-Israk ayat 91, Allah menceritakan kisah orang-orang kafir Mekah yang
tidak mampu menandingi al-Quran, meskipun mereka adalah sasterawan yang hebat.
Oleh kerana tidak mahu beriman, maka mereka mencari pelbagai alasan lain untuk
menolak dakwah Nabi SAW.
Mereka
turut mencabar agar nabi menunjukkan kemukjizatan-kemukjizatan baginda. Antara
permintaannya adalah nabi membuat kebun kurma dan anggur yang mengalir di
tengahnya sungai-sungai.
Dalam
surah Taha ayat 71 pula diceritakan kemarahan Firaun kepada tukang-tukang
sihirnya, selepas mereka beriman kepada Nabi Musa.
Firaun
mengancam bahawa dia akan memotong tangan dan kaki tukang-tukang sihirnya yang
beriman secara bersilang, dan dia akan menyalib mereka pada pangkal pohon kurma
supaya orang ramai melihat keadaan mereka.
Dalam
surah al-Kahfi ayat 32 pula Allah SWT menceritakan kisah dua orang lelaki yang
seorangnya mukmin dan seorangnya kafir. Lelaki yang kafir ini mendapat nikmat
yang banyak daripada Allah dengan dianugerahi kebun anggur dan kurma yang luas.
Yang tidak mahu bersyukur dan tidak meyakini hari kiamat, kebunnya kurmanya di
dimusnahkan Allah SWT sebagai hukuman di atas kesombongannya.
Kisah
Maryam
Ayat
ke 23 hingga 25 dalam surah Maryam menceritakan keadaan Maryam semasa hendak
melahirkan Nabi Isa. Ketika itu Maryam merasa amat sakit sehingga dia bersandar
pada pangkal sebatang pohon kurma. Semasa sakit tersebut dia mengadu kepada
Allah dengan mengatakan alangkah baiknya sekiranya dia mati sebelum ini.
Namun
Allah memberi khabar gembira kepadanya melalui malaikat Jibril agar jangan
bersedih kerana Allah telah menciptakan aliran air di bawahnya dan
memerintahkannya untuk menggoyangkan pangkal pohon kurma yang berada
berhampirannya dan pohon itu akan menggugurkan buah kurma yang masak kepadanya.
Dia
kemudiannya meminum air dan memakan buah kurma yang jatuh tersebut untuk
mengembalikan kekuatan tubuhnya.
Sungguhpun
prinsip umum dalam peperangan mengikut etika Islam ialah larangan daripada
memusnahkan tanaman termasuklah kurma. Namun semasa memerangi orang kafir,
tentera Islam diharuskan menebangkan pohon kurma sekiranya ada maslahat dan
keperluan untuk melakukannya.
Hal
ini dirakamkan oleh firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat lima.
Kurma
sama ada pohon dan buahnya sering diulang-ulang oleh Allah SWT dalam al-Quran
lebih daripada 20 kali.
Ini
memberi gambaran bahawa pohon ini amat dekat di hati masyarakat ketika itu
apatah lagi ia mempunyai nilai khasiat yang besar kepada kesihatan manusia.
Nabi SAW sendiri menjelaskan kelebihan buah kurma dalam beberapa hadis baginda
malahan perkara ini turut diakui oleh kajian sains moden.
Kelebihan-kelebihan
kerana kandungan gizinya menjadikan ia salah satu juadah yang sangat sederhana
namun sangat berkhasiat baik semasa berbuka maupun ketika sahur.
Jika
kita memilih untuk berbuka dan bersahur dengan kurma maka semaikan pengajaran
bagi diri dan seluruh kaum keluarga kita bahwa bahawa kurma itu sesungguhnya
adalah sebahagian daripada tanda-tanda kekuasaan Allah SWT jua.
Sumber: Utusan Malaysia. Khamis. 28/7/2011.