Eh! Ini Lorong Haji Taib!


{Seperti diceritakan oleh Ustaz Azlan Suhaimi, 45, guru agama, pembimbing haji dan umrah, Gemilang Travel & Tour (017-3520779/ 03-42564133) kepada wartawan Mastika, Kairul Anwar Yusop.}

Ketua Rombongan Haji, Syarikat Gemilang, menghubungi saya. Ketika itu, Haji Ayub dan jemaah di bawah seliaannya baru tiba di Lapangan Terbang Jeddah.

“Ustaz. Standby. Ada seorang jemaah wanita buat hal. Fikirannya macam tak sempurna,” beritahu Haji Ayub yang meminta saya bersiap sedia di Madinah. Saya yang sudah beberapa hari di Madinah bersiap sedia. Tiga jam kemudian, rombongan tadi tiba di Madinah dan ditempatkan di Hotel Wasin. Saya terus bergegas ke sana. Sebaik tiba, saya diberitahu seorang jemaah wanita menghadapi masalah. Saya difahamkan, ketika di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA), jemaah Itu berkeadaan baik saja.

Tetapi sebaik mendarat di Jeddah, sikapnya mula berubah. Jemaah wanita berusia 68 tahun itu mula meracau-racau dan bercakap seorang diri. Lebih merisaukan, jemaah wanita ini datang seorang tanpa ditemani anak-anak atau saudara-mara. Setelah selesai urusan menempatkan jemaah lain di hotel sehingga lewat malarn, saya buat keputusan rnenghantar jemaah tadi ke Hotel al-Haram, tidak jauh dari Hotel Wasin. Sebabnya di Hotel al-Haram ada seorang ustazah yang boleh menjaga jemaah terbabit.

Pukul 2.00 pagi, jemaah tadi saya serahkan kepada seorang ustazah di Hotel al-Haram. Tapi baru setengah jam meninggalkan mereka, ustazah tadi menghubungi saya kembali. “Ustaz datang ambil balik. Saya dah tak boleh kawal. Dia ugut nak bunuh diri. Lepas tu meracau-racau,” beritahu ustazah pada saya. Saya bergegas kembali ke hotel tersebut. Sebaik tiba keadaan jadi kecoh. Ada jemaah yang cuba membantu dengan melaungkan azan, juga ada jemaah yang cuba memujuknya. Tapi semuanya tak berjaya. Mak cik tadi tetap meracau-racau macam orang gila. Saya cuba merawat makcik tersebut dengan ayat-ayat suci al-Quran tetapi tetap tidak membuahkan basil.

“Engkau jangan kacau aku. Aku nak ke Mekah ni,” kata mak cik itu bila kami cuba menenangkannya. “Makcik dah sampai pun. Makcik kat Madinah sekarang ni,” beritahu saya. Tapi makcik tadi berulang kali mengatakan dia masih belum sampai di Madinah. Dia masih di Malaysia. Selepas puas memujuk, barulah makcik itu tenang. Kepala saya pula ligat mencari cara menyelesaikan masalah tersebut. “Jom kita bawa dia ke Masjid Nabi,” saya mengajak seorang rakan, Haji Jaafar dan dua orang jemaah lain menemani saya membawa makcik tadi ke Masjid Nabi. Saya berharap bila mak cik ini tengok Masjid Nabi nanti, ingatannya kembali pulih. Dari hotel kami berjalan kaki melalui lorong-lorong ke Masjid Nabawi yang terletak tidak jauh dari hotel. Sedang berjalan, tiba-tiba makcik ini menjerit, “STOP!!!”

Kami semua berhenti. “Kenapa mak cik?” soal saya kehairanan. “Aku tahu tempat ni. Aku selalu datang sini. Lorong-lorong ni semua aku tahu,” kata mak cik itu. Kami semua hanya tersenyum. “Mak cik tahu? Kita kat mana sekarang ni?” soal saya. Saya berharap ingatannya sudah pulih dan dia tahu bahawa dia sudah berada di Madinah.

“Ni Lorong Haji Taib. Betullah Lorong Haji Taib. Aku selalu datang sini. Semua lorong kat situ aku masuk,” kata makcik tadi serius. Mendengarnya kami semua tercengang. “Ah... sudah. Biar betul makcik ni,” kata saya dalam hati. Waktu itu, pelbagai perkara kurang elok menyerbu fikiran saya. Setahu saya, Lorong Haji Taib di Kuala Lumpur itu terkenal sebagai kawasan maksiat. Syurga dunia. Segala jenis benda tak elok ada di situ. Pelacuran, mak nyah, pengedaran dadah, penagih, judi dan macam-macam lagi. Betulkah mak cik ini nampak Lorong Haji Taib?

“Eh, ni bukan Lorong Haji Taib. Kita di Madinah. Sekarang kita nak ke Masjid Nabi. Tu dah nampak kubahnya,” kata saya sambil menunjukkan kubah melalui celah-celah bangunan. “Tak! Ni Lorong Haji Taib. Engkau tengok tu. Aku kenal semua lorong ni,” jawab jemaah tadi sambil menunjuk-nunjuk lorong kiri kanan. Jemaah lain dan Haji Jaafar hanya diam membisu. Saya cuba mengajak makcik tadi meneruskan perjalanan ke Masjid Nabi tetapi di-tolaknya. “Aku tak nak pergi. Aku nak jalan-jalan kat Lorong Haji Taib dulu,” katanya marah-marah katni memaksa. “Mak cik buat apa selalu pergi sana?” saya cuba mengorek. “Alah aku pergi jalan-jalan. Kadang-kadang beli buah,” jawab mak cik tadi kemudian terus merayau-rayau di lorong tersebut. Kami pula terpaksa mengikut ke mana saja dia pergi hampir 40 minit. Bila mak cik tadi tak mahu pergi ke Masjid Nabi, kami buat keputusan bawa dia balik saja ke hotel. Esoknya, kami bawa mak cik tersebut berjumpa dengan kaunselor di Madinah. Tapi keadaannya tetap sama. Selepas itu, kami bawa pula ke Hospital Tabung Haji di bangunan Alauddin, Madinah. Mak cik tersebut terpaksa ditahan di wad. Sehari di hospital, keadaan mak cik itu tetap sama. Mulutnya asyik kata: “Aku kat Malaysia, baru nak pergi Mekah buat haji!” Bila tengok keadaannya begitu, saya cuba bertanya beberapa soalan. Saya nak pastikan adakah ingatannya betul-betul hilang. “Mak cik boleh mengucap!” soal saya. Peliknya, makcik tadi boleh mengucap dengan sempurna. Saya suruh dia berselawat pula. Lancar lafaz selawatnya. Malah, mak cik tersebut mampu membaca surah Yasin dan beberapa surah dalam al-Quran dengan sempurna.

Saya termenung. Kalau gila atau hilang ingatan, pasti makcik ni tak mampu baca apa yang saya suruh. Tapi ini tidak, semuanya Iancar dan tanpa salah. Bila saya tanya berulang kali untuk dapat kepastian jawapannya tetap sama. Memang sah makcik ni tak tahu dia sudah sampai di Madinah dan akan melakukan ibadah haji. Malah semasa berbual, berulang kali makcik tersebut beritahu dia nak balik ke rumahnya di Keramat sebab nak ambil barang yang tertinggal sebelum ke Mekah. Esoknya malam hari ketiga, dia dibenarkan keluar dari hospital. Bila kami bawa balik ke hotel, makcik tersebut meracau-racau dan menjerit semula. Mak cik tu kata, “Saya nak balik, kenapa buat saya macam ni. Saya nak pergi haji,” rungut makcik tadi. Bila kami pujuk makcik tu cuba hendak membunuh diri dengan terjun ke dalam satu lubang tapak projek di hadapan hotel. Waktu itu, suasana cemas. Tanpa berlengah saya terpaksa memeluknya supaya dia tak terjun ke dalam lubang yang dalamnya hampir tiga tingkat bangunan. Masa bergelut nak selamatkan makcik tadi, datang seorang pak Arab marahkan saya. “Tak boleh, haram, haram,” katanya dalam bahasa Arab bila tengok saya memeluk makcik tadi. Masa tu berlaku pertengkaran mulut antara kami pula. Puas saya jelaskan, tapi pak Arab tetap mengatakan tindakan saya itu salah sehingga mahu menyaman saya. Selepas beberapa ketika, barulah pak Arab itu beredar. Saya pula memeluk makcik tadi seperti seorang anak memeluk ibu. Kepala makcik tersebut saya usap sambil menasihatinya jangan membunuh dirin. Ketika itu, tiba-tiba rakan saya iaitu Haji Jaafar menangis.

“Kenapa, haji?” soal saya hairan. “Aku sedih tengok mak cik ni. Macam mana kalau jadi pada keluarga kita. Jadi pada mak saya sendiri,” katanya sambil menangis. Air matanya masih menitis laju. Saya juga turut sedih memikirkan musibah yang menimpa makcik tersebut. Bayangkan sebelum datang makcik ini normal saja, tetapi sebaik tiba di Tanah Suci ingatannya jadi tak waras. Esoknya kami terpaksa hantar makcik tadi ke hospital semula dan dia ditahan di wad sekali lagi. Di hospital pun, mulutnya asyik kata, dia baru bersiap-siap hendak ke Mekah. Dia belum bertolak lagi. Selama lapan hari di Madinah, keadaan makcik itu tetap sama dan masanya hanya dihabiskan di hospital saja. Bila semua rombongan termasuk makcik tersebut bertolak ke Mekah keadaannya masih sama. Makcik tersebut langsung tak tahu dia sudah sampai di Mekah.

Semasa di Mekah saya tanya adakah dia tahu cara-cara hendak menunaikan umrah. Tapi dia geleng kepala tanda tidak tahu. Jadi kami terpaksa ajar dia, kemudian upah pekerja Tabung Haji untuk membantunya. Rukun-rukun umrah dilakukannya dengan tunjuk ajar pekerja Tabung Haji tadi. Entah dia sedar atau tidak apa dilakukannya itu, kami sendiri tak tahu. Sebabnya semasa di sana pun mulutnya asyik kata, dia belum sampai di Mekah. Disebabkan keadaannya masih begitu, dengan bantuan pihak Tabung Haji, makcik terpaksa dihantar pulang awal ke Malaysia. Dia bersama kami selama 30 hari saja berbanding jemaah lain lebih dari 40 hari. Tapi peliknya sebaik tiba di Malaysia, saya diberitahu, ingatan makcik tersebut kembali pulih. Fikirannya kembali normal. Dia tahu di mana dia berada. Makcik tersebut juga tak meracau-racau lagi sebagaimana di Mekah dan Madinah dulu. Saya tidak tahu apa kaitan makcik ini dengan Lorong Haji Taib. Saya pun tidak mahu mengorek rahsianya berhubung Lorong Haji Taib itu. Apa yang pasti semasa di Madinah, mak cik ini tidak dapat pergi dan beribadah di Masjid Nabawi. Nasihat saya sebelum ke Tanah Suci bertaubatlah, insaflah supaya tidak terjadi perkara yang tidak diingini di sana!

Mengesot Ketika Bertawaf

SELAIN kisah makcik itu, ada satu lagi kisah yang menimpa jemaah lelaki. Semasa di Malaysia, saya tengok jemaah ini dalam keadaan elok saja. Tapi sesuatu yang pelik berlaku ketika dia hendak melakukan tawaf. Waktu itu, saya pelik bila tengok jemaah ini bertawaf dalam keadaan mengesot macam orang hilang upaya. Saya sendiri hairan. Setahu saya dia bukan orang cacat. Sebelum ini keadaannya baik saja. Tubuh badannya sihat. Saya yang pelik melihat kelakuaannya, menghampiri jemaah tersebut. Bila sampai, saya tengok dia sedang menangis.

“Kenapa ni,” soal saya. Tapi jemaah ini diam membisu. Selepas dipaksa, barulah jemaah ini membuka mulut. Katanya semasa di Malaysia, memang tubuh badannya sihat saja. Ketika sampai di Jeddah pun sama. Tetapi sebaik masuk berdiri di hadapan Kaabah hendak melakukan tawaf, tiba-tiba dia tak boleh berdiri. Kedua-dua belah kakinya sakit macam tak berfungsi langsung. Akhirnya dia terpaksa bertawaf dalam keadaan mengesot macam orang cacat. Disebabkan pelik dengan penyakitnya, ditambah pengalaman menguruskan jemaah sebelum ini, saya pun menyelidiki latar belakangnya. Saya beritahu, niat saya sekadar ingin membantu. Saya minta dia ceritakan perkara sebenar dan beritahu jika ada mengamalkan apa-apa ilmu yang salah. Setelah diselidiki rupa-rupanya tekaan saya memang tepat.

Jemaah ini sebenarnya ada mengamalkan satu jenis ilmu. Dia mengaku mengamalkan ilmu pelaris untuk perniagaan restoran yang diusahakannya. Caranya, dia membela seekor ular. Ular yang hidup itu kemudiannya dimasukkan ke dalam sebuah tempayan berisi air. Air bersama ular dalam tempayan tadi, kemudiannya digunakan untuk memasak makanan di restorannya. Masak nasi, lauk atau minuman semua menggunakan air tersebut. Hasilnya, perniagaan jemaah tadi semakin maju.

Bila dengar ceritanya, saya sendiri terkejut. Sampai begitu sekali. Jadi saya pasti disebabkan ilmu reptilia itulah, tidak mustahil ketika tawaf dia mengesot macam ular. Selepas itu, saya nasihatkan jemaah ini agar segera bertaubat sebenar-benarnya. Mohonlah keampunan kepada Allah. Segala ilmu yang dipakainya perlulah dibuang. Sebab cara itu sebenarnya salah di sisi agama. Alhamdulillah jemaah ini mendengar nasihat saya. Selepas bertaubat, jemaah tadi dapat berjalan seperti biasa semula. Segala perjalanan ibadah di Tanah Suci juga berjalan sempurna. Jadi saya berpesan sebelum ke Tanah Suci, bersihkan din dari segala dosa dan perbuatan syirik. Bertaubatlah dari dosa-dosa yang dilakukan. Lagi satu bersedialah dengan ilmu agama sebelum ke sana. Dengan itu, mudah-mudahan segala perjalanan ibadah dipermudahkan dan diterima Allah s.w.t.

è Majalah Mastika. Jun 2011.

0 comments