Katak Misteri Sembuhkan Luka Di Arafah


{Seperti yang diceritakan oleh Hajah Noraini Haji Zahari, kepada wartawan Mastika, Hanaffi Ibrahim.}

CUACA di Padang Arafah sangat panas pada tengah hari itu. Maklumlah di sana pokok-pokok pun susah nak tumbuh. Mungkin saya tidak biasa dengan cuaca yang panas terik macam itu.

Pada masa yang sama saya membentangkan tikar yang dibekalkan oleh Telekom Malaysia kepada semua jemaah haji di bawah sebatang pokok agak rendang.

Saya turut menggunakan kipas kecil menggunakan dua biji bateri alkali untuk sejukkan badan. Cuaca di Padang Arafah panas terik. Suhu lebih kurang 40 Celsius.

Saya berbaring atas tikar tadi sambil berzikir dan tangan kiri membilang tasbih. Tiba-tiba, saya ternampak seekor belalang berada di atas pokok tempat saya berteduh.

Hati saya berkata: Tak boleh bunuh binatang, kalau tak nanti saya kena dam (denda). Sedang asyik berzikir tiba-tiba...

Paaaaapppp...


Allahuakbar! Saya melatah, sebab amat terkejut dan geli-geleman. Rupa-rupanya ada seekor katak yang entah datang dari mana, betul-betul terjatuh dekat pergelangan tangan saya yang luka akibat baru sahaja buat pembedahan sebelum ke Arafah. Lendirnya melekat pada luka di tangan saya.

Saya tercengang, terpaku seketika. Mungkin pada masa itu saya terkejut dengan kehadiran katak yang secara tiba-tiba jatuh di atas pergelangan tangan saya.

Dalam sekelip mata katak itu terus lesap dari pandangan. Saya hairan, kenapa katak itu terjatuh betul-betul di tempat saya sakit, mengapa tidak jatuh dekat orang lain, di tangan kin, atas kepala, tapi betul-betul di tangan kanan, tempat saya sakit baru dibedah.

Saya mula berfikir di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang ini ada ke katak yang tinggal di sini, bukankah habitat katak hanya di tempat lembap saja?

Dari mana datangnya katak di tengah-tengah Padang Arafah yang panas terik ini? Itulah yang menjadi persoaaIan dalam fikiran saya sampai ke hari ini.

Sebelum katak terjatuh tadi, saya dikejutkan oleh seekor belalang. Mungkin belalang itu melarikan diri dari dikejar katak tersebut. Sebab selepas belalang, barulah muncul katak berkenaan.

Mungkin juga Allah mendatangkan katak untuk membantu saya dalam kesusahan dan kesakitan akibat baru dibedah di tangan. Itu semua bagi saya pertolongan dari Allah kerana saya ke Mekah untuk menyempurnakan niat ibu saya yang tidak kesampaian untuk menjejak kaki ke Tanah Suci.

Saya bersusah payah menyimpan duit hampir enam tahun barulah cukup untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima itu.

Sebenarnya, sebelum berangkat ke Tanah Suci, tangan kanan saya terhantuk bucu meja. Bukan kuat mana pun, sekadar tersenggol saja. Mula-mula saya beranggapan, alah sekadar kena bucu meja, kalau bengkak, sapu minyak panas surutlah.

Tapi, lama-kelamaan bengkak itu makin membesar seakan-akan bisul berbenjol di tengah-tengahnya. Saya tak endah pun bengkak itu, langsung tak terfikir hendak pergi jumpa doktor ataupun berubat. Yalah sangkaan saya sehari dua, sembuhlah.

Berbekalkan tangan yang luka dan berbenjol itu saya berangkat ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji. Setibanya di Mekah pada 13 November 2011 menunaikan ibadah seperti biasa tanpa mempedulikan tangan yang bengkak.

Setelah dua hari berada di Tanah Suci, selepas menunaikan solat Isyak di surau Maktab 88, bisul itu pecah lalu mengalirkan darah dan nanah.

Sambil lap dengan kain, hati saya berkata: Ya Allah! tumpah juga darah aku di Tanah Haram ini. Semasa mengelap darah dan nanah itu saya tidaklah terasa sakit sangat, cuma pedih sedikit saja. Tapi, apabila malam, terasa sakit yang amat sangat, berdenyut-denyut.

Akibat tidak tertahan sakit, selesai menunaikan solat Subuh, saya mengajak suami saya Haji Razali Haji Juda, 60, pergi berjumpa dengan doktor.

“Saya tak boleh buat di sini kerana kurang kelengkapan,” kata Dr. Nizam yang bertugas di Maktab 88 tempat saya menginap. Katanya luka di tangan saya perlu dibedah dengan segera.

Saya hairan, takkan kena bedah, serius sangat ke luka saya ini? Padahal benjol sikit saja pun. Kata Dr. Nizam, pembedahan itu sebenarnya untuk menyucikan dan mengeluarkan baki-baki nanah dan darah kotor yang masih terdapat di dalam benjolan itu.

Akibat kekurangan alatan bedah, Dr. Nizam terpaksa membawa saya ke Klinik Shisha tidak jauh dari Arafah menaiki ambulans. Sampai di klinik berkenaan, benjolan di tangan saya terus dibedah.

Pembedahan kecil itu sekejap saja, lebih kurang seminit sudah siap. Alangkah terkejutnya benjolan yang dulunya bengkak membonjol, rupa-rupanya sudah berlubang seperti kawah gunung berapi sebesar duit dua puluh sen.

Hampir seminggu luka akibat pembedahan itu masih belum sembuh-sembuh, berair dan mengeluarkan nanah. Setiap hari terpaksalah saya membalutnya dengan bandage.

Kalau hendak ambil air sembahyang saya terpaksa membuka balutan, pada masa itu susah sangat rasanya, nak buka tutup bandage setiap kali ambil air sembahyang. Kalau tak balut, nanti kena habuk pula. Agak sukar juga untuk saya beribadah.

Tiba pada hari kesembilan ketika berehat sambil berzikir di Padang Arafah itulah saya diketemukan dengan seekor katak misteri yang datang membantu menyembuhkan luka di tangan saya.

Sebenarnya, katak itu sangat cantik, bukan seperti katak yang kita selalu lihat berbintik-bintik menjijikkan dan menggelikan. Tapi, katak yang membawa penawar kepada saya ini berwarna kuning kehijauan dan ada bintik-bintik hitam menghiasi badannya.

Alhamdulillah, selepas terkena lendir katak itu benjolan akibat pembedahan yang sering berair dan keluar nanah, sembuh serta-merta.

Rupa-rupanya katak itu membawa penawar paling mujarab untuk menyembuhkan luka di tangan saya yang mulanya hanya berpunca dari benjolan akibat terhantuk bucu meja.

Alhamdulillah, dapatlah saya menyempurnakan ibadah haji dengan khusyuk dan tawaduk. Saya tidak menyangka, saya dapat ke Tanah Suci dengan tangan bengkak, kemudian buat pembedahan dan akhirnya disembuhkan oleh seekor katak dengan izin Allah.

Sepanjang berada di Tanah Suci, saya sangat gembira walaupun orang lain gelisah mengadu kepanasan dan rimas, tetapi saya tetap bersyukur kerana impian saya mengerjakan haji dimakbulkan Allah.

è Mastika. April 2012.

0 comments