Soalan 11

Soalan:

Apakah hukum perempuan yang didatangi haid melakukan tawaf?

Jawapan:

Imam-imam empat mazhab berpendapat bahawa perempuan yang didatangi haid dilarang melakukan tawaf berdasarkan Hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Aisyah r.a ketika beliau kedatangan haid:


افْعَلِي مَا يَفْعَلُهُ الْحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوْفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِيْ

Maksudnya: Lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh orang yang menunaikan haji, namun jangan melakukan tawaf di Baitullah melainkan setelah kamu suci.
(HR al-Bukhari, no. 290 dan Muslim, no. 1211)

Jika perempuan haid itu mengingkari lalu melakukan tawaf, maka tawafnya tidak sah dan dia hendaklah membayar dam. Ulama Mazhab Hanafi mengatakan bahawa tawafnya sah dan dia dikenakan seekor unta. Begitu juga perempuan yang bernifas dan orang yang berjunub, kedua-duanya dikenakan seekor unta.

Al-Mughirah (المغيرة) menyatakan: “Tidak disyaratkan bersuci untuk tawaf malah ia sunat sahaja. Jika dia tawaf dalam keadaan berhadas maka dia dikenakan bayaran seekor kambing dan jika dalam keadaan berjunub maka dia dikenakan bayaran seekor unta.”

Sumber:
Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. Q & A Bersama Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri. PSN Publication. 2012.

0 comments