PADA setiap
tahun umat Islam berbondong-bondong menuju ke Madinah al Munawwarah. Ada yang
pergi atas dasar menziarahi negeri Hijrah Rasulullah, ada pula untuk ke Masjid
Nabawi bagi mendapat kelebihan pahala menunaikan solat di dalamnya.
Walau apapun
lafaz yang digunakan, pemergian mereka ke Madinah pada hakikatnya adalah untuk
menziarahi Rasulullah SAW. Kerana tanpa Rasulullah SAW, Madinah tidak akan
menjadi negeri yang dicintai dan dirindui oleh umat Islam.
Tanpa baginda,
solat di masjid tersebut juga tidak memberikan perbezaan jumlah pahala
berbanding masjid-masjid yang lain.
Tanpa jasad
Rasulullah SAW di masjid tersebut juga, ia tidak memberi ingatan dan
keistimewaan yang hebat di hati dan fikiran umat Islam hingga mengajak mereka
menziarahi Madinah al Munawwarah.
Hari ini juga
kita mendapati ramai di kalangan umat Islam melakukan kesilapan dalam memahami
sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak boleh bermusafir melainkan ke tiga
buah masjid Masjid al Haram, masjid saya ini dan Masjid al Aqsa.”
Mereka
menjadikan hadis ini sebagai dalil pengharaman bermusafir untuk menziarahi
kubur Rasulullah SAW dengan menganggapnya suatu kemaksiatan.
Penggunaan dalil
ini bagi tujuan tersebut adalah tertolak dan tidak diterima, kerana ia dibina
atas kefahaman yang salah. Hadis ini pada hakikatnya membincangkan maksud yang
lain dan tiada kaitan dengan permasalahan kubur.
Sesungguhnya
hadis: “Tidak boleh bermusafir melainkan ke tiga buah masjid” adalah yang
dilafazkan dengan satu gaya bahasa yang dikenali sebagai gaya bahasa
pengecualian (Uslub al Istisna’). Makna yang lengkap pada hakikatnya ia membawa
maksud seperti berikut: "Tidak boleh bermusafir ke ... melainkan ke tiga
buah masjid.”
Ahli tatabahasa
Arab menyatakan bahawa ayat seumpama ini perlu ditetapkan perkataan yang sesuai
di tempat kosong tersebut yang bertepatan dengan makna ayat bagi memberikan
kefahaman yang jelas.
Oleh kerana itu,
kekosongan itu perlu diandaikan seperti mana yang telah disepakati oleh para
pakar tatabahasa Arab untuk mencari keserasiannya.
Pengandaiannya
hanya terbatas kepada tiga andaian sahaja:
PERTAMA:
Sesetengah
golongan menyatakan bahawa hadis ini merupakan larangan bagi menziarahi kubur
Nabi SAW. Jika benar dakwaan mereka, kita andaikan kekosongan itu diisi dengan
perkataan kubur, lalu ia menjadi seperti berikut: “Tidak boleh bermusafir ke
kubur melainkan ke tiga buah masjid.”
Kita dapat
melihat sendiri bahawa pengandaian ini adalah suatu yang aneh untuk diterima
dan tidak mungkin seseorang yang waras boleh menerimanya.
Bentuk hadis
yang sebegini secara zahirnya menunjukkan tiadanya kesinambungan dan keserasian
serta ini tidak selayaknya dinisbahkan kepada kefasihan dan keindahan bahasa
Rasulullah SAW.
KEDUA:
Diandaikan apa
yang kekosongan lafaz dalam hadis ini dengan satu perkataan yang umum iaitu
lafaz mana-mana tempat. Maka ia menjadi seperti berikut: “Tidak boleh
bermusafir ke mana-mana tempat melainkan ke tiga buah masjid.”
Ia juga tidak
boleh diterima akal kerana ia membawa maksud tidak boleh seseorang bermusafir untuk
urusan perniagaan, mencari ilmu, ziarah-menziarahi dan lain-lain lagi. Maka ini
adalah satu bentuk kebingungan yang amat jelas.
KETIGA:
Diandaikan apa
pula kekosongan lafaz dalam hadis ini dengan lafaz masjid, maka ia menjadi
seperti ini: “Tidak boleh bermusafir ke masjid melainkan ke tiga buah masjid.”
Kita dapat
melihat bahawa kata-kata ini ada kesinambungan dan keserasiannya. Ia juga
berada dalam gaya bahasa yang fasih. Dengan ini, semakin tenggelamlah
kecelaruan yang jelas pada dua andaian yang terawal serta kefasihan andaian
ketiga ini sesuai untuk dinisbahkan kepada Rasulullah SAW .
Mereka yang
berkecimpung dalam bidang hadis juga telah mendapati beberapa riwayat yang
diterima dan menjelaskan tentang apakah sebenarnya perkataan (kekosongan lafaz)
dari hadis pertama tadi. Antaranya, hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam
Ahmad daripada riwayat Syahr ibnu Hausyab, dia berkata: Saya mendengar Abu Sa’id
berkata ketika disebut kepadanya tentang solat di atas bukit al Tur, maka
katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sepatutnya bagi orang yang menunggang
binatang tunggangan itu bermusafir ke masjid untuk menunaikan solat melainkan
Masjid al Haram, Masjid al Aqsa dan masjid saya.”
Antaranya juga,
hadis riwayat Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: “Saya adalah
penutup segala Nabi, dan masjid saya adalah penutup semua masjid para Nabi,
masjid-masjid yang paling berhak untuk diziarahi dan menjadi tujuan
permusafiran ialah Masjid al Haram dan masjid saya, satu solat yang ditunaikan
di dalam masjid saya lebih baik daripada seribu solat yang ditunaikan di
mana-mana masjid melainkan Masjid al Haram.”
Sabda Rasulullah
SAW ini menerangkan kepada umat bahawa masjid yang selain daripada ketiga-tiga
masjid ini adalah sama taraf. Maka tiada faedah untuk bersusah payah bermusafir
ke masjid selain tiga masjid ini hanya untuk menunaikan solat. Manakala
masjid-masjid yang tiga ini, ia mempunyai kelebihan yang tersendiri seperti
yang diketahui ramai.
Persoalan kubur
tidak termasuk di dalam hadis ini, maka menjatuhkan hukum haram menziarahi
kubur Nabi SAW dengan hadis ini dikira sebagai suatu pendustaan terhadap
baginda.
æ Utusan Malaysia.
11/09/2012.
0 comments