Lihat Beruk Menyeringai Depan Pintu Masjidil Haram


{Seperti diceritakan oleh Ustaz Omar Sulaiman, 57, mutawif haji dan umrah kepada wartawan eksekutif Mastika, Kairul Anwar Yusop.}

KALAU saya beritahu ada jemaah mengadu nampak beruk depan Masjidilharam, tentu pembaca mengatakan cerita ini mengarut. Sebenarnya kisah inilah yang hendak saya ceritakan, melibatkan seorang jemaah wanita yang berlaku lebih kurang lima tahun lalu ketika saya bertugas sebagai mutawif di Syarikat KSB Travel.

Sebenamya saya terlibat dalam pengurusan haji atau sebagai mutawif sudah berbelas tahun. Namun kisah jemaah wanita lain daripada yang lain. Sejak hari pertama tiba di Mekah lagi, wanita ini yang saya panggil Mak cik Jamilah tidak berapa sihat dan sayalah turut menolak kerusi roda untuk memudahkan dia pergi ke sana ke mari. Selepas beberapa hari di Tanah Suci, beberapa orang jemaah wanita datang berjumpa saya memberitahu Mak cik Jamilah sakit. Namun Jemaah itu tidak pasti penyakit apa yang dialami wanita berusia 60-an itu.


Selepas diberitahu rakan sebiliknya, saya terus berjumpa Mak cik Jamilah. Sebaik tiba di biliknya, saya Iihat kelakuan jemaah ini begitu pelik. Lagak Mak cik Jamilah seperti berada dalam keadaan ketakutan. Matanya melilau-lilau memerhati sekitar bilik seperti ternampak sesuatu. Mukanya pula pucat seperti sedang takut. Saya cuba bertanya Mak cik Jamilah, apakah perkara yang ditakutinya tapi Jemaah ini diam membisu. Kemudian saya tanya pula pada rakan sebiliknya, kenapa Mak cik Jamilah jadi begitu? Rakan jemaah memberitahu sejak tiba di Tanah Suci terutamanya ketika mula-mula sampai ke Masjidilharam, Mak cik Jamilah mula takut.

“Sejak tiba, Mak cik Jamilah belum lagi dapat menjejakkan kaki di dalam Masjidilharam apatah lagi melihat Kaabah. Setiap kali sampai depan pintu masuk Masjidilharam, Jamilah mula cemas, takut dan menggigil badannya,” cerita salah seorang rakan sebiliknya. Ada kalanya Mak cik Jamilah menjerit-jerit seperti menghalau sesuatu, kemudian bertegas mahu balik ke bilik penginapan. Kata mereka, kelakuan Mak cik Jamilah itu seolah-olah dia ternampak sesuatu yang amat menakutkan di depan pintu masuk Masjidilharam.

Disebabkan itu, banyak masanya hanya dihabiskan di bilik saja. Bila berada di dalam bilik pula ada antara mereka lihat jubah yang dipakai Mak cik Jamilah tiba-tiba terbonjol sana, berbonjol sini seperti ada sesuatu objek yang bergerak-gerak di dalam jubahnya. Cerita mereka, objek yang tidak diketahui itu sentiasa bergerak ke sana ke mari seperti kita meletakkan anak kucing di dalam baju. Pergerakan objek itu boleh dilihat jemaah lain. Peliknya bila diselak jubah Mak cik Jamilah, tidak ada apa-apa pula yang mereka jumpai. Sebaik mendengar pelbagai cerita tentangnya, saya yakin pasti ada yang tidak kena dengan Mak cik Jamilah. Mungkin ada silapnya di masa lalu?

Peliknya bila saya tanya, Mak cik Jamilah tidak mahu bercerita masalahnya. Setelah beberapa hari kemudian, barulah saya tahu punca Mak cik Jamilah takut untuk masuk ke dalam Masjidilharam. Akibat tak tahan, akhirnya Mak cik Jamilah cerita kepada rakan sebilik tentang musibah yang dihadapinya sebelum rakannya memberitahu saya. Rupa-rupanya selama ini setiap kali Mak cik Jamikah tiba di depan pintu masuk Masjidilharam, dia ternampak banyak beruk yang begitu besar dan garang sedang menanti kedatangannya. Di mana saja pintu Masjidilharam yang cuba dimasukinya, pasti ada beruk yang menanti dan mahu menerkamnya. Walhal orang lain tidak pemah nampak seekor beruk pun, hanya Mak cik Jamilah seorang saja yang melihatnya.

Akibat kejadian itu, beberapa hari kemudian akhirnya Mak cik Jamilah jadi hilang kewarasannya. Mak cik Jamilah tidak dapat buat ibadah. Kadang-kadang Mak cik Jamilah jadi seperti orang gila. Selepas dua minggu, jemaah ini langsung tak menunjukkan tanda-tanda akan pulih. Akhirnya pihak kami terpaksa menghantamya pulang ke tanah air. Anehnya, sebaik tiba di tanah air, saya diberitahu Jamilah pulih seperti sediakala. Dia tak gila lagi. Saya juga diberitahu rakannya, selama di Tanah Suci hanya sekali Mak cik Jamilah berjaya masuk ke dalam Masjidilharam. Itu pun selepas dipujuk dan dipaksa oleh rakan-rakan sebilik. Ketika di dalam masjid pun Mak cik Jamilah masih takut sebab matanya sentiasa nampak beruk yang mahu menerkamnya.

Bila pihak kami risik-risik, kami dapat tahu Mak cik Jamilah ini sebenarnya seorang bidan kampung. Kononnya dia juga ada membela jin untuk membantu kerja-kerja perbidanannya. Jadi disebabkan amalan-amalan karut yang dipelajarinya, semasa di Mekah, Mak cik Jamilah sering ternampak beruk dan akalnya hilang kewarasan. Dia juga gagal buat ibadah umrah.

“Ceh, macam rumah pelacur”

SELAIN kisah Mak cik Jamilah tadi, ada lagi satu kisah be, saya ceritakan berkat angkara mulut celupar. Kisah melibatkan seorang jemaah lelaki. Jemaah ini merupakan seorang pesara tentera dan semasa khidmat dia berpangkat juga. Begini ceritanya. Semasa di Mekah semuanya berjalan lancar. Jemaah ditempatkan sebuah apartmen yang mempunyak beberapa buah bilik dan satu bilik tamu.

Walau bagaimanapun kemudahan itu dikira selesa kepada semua jemaah tetapi tidak kepada lelaki bekas pesara askar ini. Selepas sepuluh hari menginap di apartmen itu, jemaah ini tak puas hati dengan tempat kami sediakan. Jemaah lelaki ini mula marah dengan mengeluarkan pelbagai kata-kata kesat. Antara perkataan bekas pesara askar ini cakap mengatakan terasa macam duduk dekat rumah pelacur. Betul. Saya dengar sendiri dia berkata begini: “Ceh, aku rasa macam duduk kat rumah pelacur.”

Ingat, jangan cakap sebarangan, kalau tidak suka atau berpuas hati. Gunakan yang betul. Buat aduan kepada pihak Tabung Haji atau agensi yang terlibat. Ini tidak, terus cakap yang bukan-bukan menyamakan kediaman di Tanah Suci dengan tempat pelacuran. Akibat tak menjaga mulut, bekas pesara askar ini tiba-tiba saja hilang sehingga beberapa hari kemudian. Kehadirannya tak waras lagi sehingga mengganggu ibadah hajinya. Pada mulanya kami menyangka, setelah dirawat di hospital keadaannya akan pulih, tapi jemaah ini tetap begitu. Fikirannya belum waras. Selepas pelbagai ikhtiar dilakukan, akhirnya kami terpaksa menghantar jemaah ini pulang ke tanah air lebih awal sebab takut mengganggu ibadah haji jemaah lain. Akibat keceluparannya itu, sia-sia sajalah jemaah ini pergi ke Tanah Suci. Duit habis, ibadah haji yang hendak dilakukan tidak sempat ditunaikan. Semuanya angkara mulut celupar.

Sebab itulah, ketika mengajar bakal-bakal haji, saya selalu berpesan, ketika di Mekah jaga kelakukan, jaga percakapan dan apa yang kita dapat, terima dengan hati terbuka dan sentiasa ingat itu semua ujian-Nya. Seperti berlaku kepada pesara tentera tadi dia mengatakan tempat tinggal dengan menyamakannya seperti rumah pelacuran iaitu tempat yang kotor dan jijik. Ingat bila dia kata begitu, seolah-olah dia menghina atas nikmat yang kurniakan untuknya.

Di Tanah Suci tak mustahil Allah akan ‘bayar cash’ segala dosa kita dan tarik nikmat yang dipinjamkan kepada kita serta-merta. Satu lagi pesan saya, kalau terasa diri banyak buat dosa jangan takut nak buat haji. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun. Allah dah janji Dia akan ampunkan segala dosa hamba-Nya walau seluas lautan dan setinggi gunung sekalipun asalkan kita benar-benar bertaubat nasuha kecuali dosa syirik. Jadi kalau ada bakal-bakal jemaah yang melakukan perbuatan syirik, tinggalkanlah, bertaubatlah dulu di tanah air, nanti takut jadi seperti Mak cik Jamilah ngeri hendak masuk Masjidilharam.

ø Mastika, Januari 2012.

0 comments