Sepang: Kumpulan
pertama seramai 317 daripada lebih 28,000 jemaah Malaysia selamat tiba di tanah
air, malam tadi.
Mereka tiba di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat
penerbangan khas Saudi Airlines SV5410, jam 10.10 malam selepas bertolak dari
Lapangan Terbang Raja Abdul Aziz pada jam 7 pagi waktu tempatan.
Ketibaan mereka
disambut dengan air mata kegembiraan oleh ahli keluarga, sahabat handai dan
kenalan masing-masing.
Bersyukur Selamat
Tiba
Jemaah dari
Bachok, Kelantan, Rohana Othman, 53, berkata beliau bersyukur kerana selamat
tiba di tanah air selepas mengerjakan haji bersama suaminya, Wan Abdullah Wan
Daud, 63 tahun.
“Saya dan suami
bersyukur kerana selamat tiba di tanah air dan dapat bertemu anak yang sekian
lama terpisah.
“Walaupun
menghadapi pelbagai masalah kesihatan dan sudah tiga hari tidak dapat
melelapkan mata kerana tidak sabar bertemu ahli keluarga, kami bersyukur dapat
pulang dan menunaikan haji dengan sempurna” katanya di KLIA, malam tadi.
Sementara itu,
jemaah dari Johor, Abdul Rahman Ahmad, 70, berkata walaupun sudah dua kali
menunaikan haji, beliau dan isteri, Fatimah Othman, 62, berhasrat berbuat
demikian sekali lagi jika dipanjangkan umur.
“Walaupun baru
kembali dari Makkah dan sudah dua kali ke sana, saya berhasrat berbuat demikian
sekali lagi atau sekurang-kurangnya mengerjakan umrah, pada masa depan,”
katanya.
Sementara itu,
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata 132
jemaah haji Malaysia menerima rawatan di Tanah Suci termasuk 15 mendapat
rawatan intensif di hospital Kerajaan Arab Saudi.
Katanya, keadaan
jemaah berkenaan dipantau teliti oleh doktor serta pegawai Tabung Haji (TH) dan
mereka akan dibenarkan pulang apabila kesihatan masing-masing mengizinkan.
117 Dirawat
“Seramai 117
jemaah kita ditempatkan di tiga hospital TH di Makkah dan Madinah, 15 lagi di
hospital Kerajaan Arab Saudi yang lebih lengkap. Rata-rata mereka mengalami
masalah jantung.
“Berdasarkan
pengalaman lalu, jika keadaan jemaah tak berat (sakit), kita akan bawa pulang
sekali dengan penerbangan yang dijadualkan,” katanya kepada media sejurus tiba
di KLIA semalam, selepas menunaikan ibadat haji.
Jamil Khir
berkata, selain 31 jemaah haji yang meninggal dunia, jumlah mereka yang
menerima rawatan di hospital tahun ini berkurangan berbanding 200 orang tahun
lalu.
Katanya,
penerbangan pulang kumpulan terakhir jemaah ialah 29 November ini.
Selain itu,
beliau berkata, kemampuan Malaysia menguruskan jemaah haji melalui TH terus
dikagumi dan beberapa negara di Eropah serta Amerika Syarikat, Kanada dan
Afrika sudah menyatakan minat untuk mempelajarinya.
- Berita Harian.
0 comments