Alhamdulillah,
daku panjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepadaMu, ya Allah di atas segala
anugerahMu. Sesungguhnya tiada hari yang lebih indah dalam hidup Mama melainkan
pada hari ini.
Ketika matahari
Isnin, 19 November 2012 memancarkan cahayanya memberikan tenaga kehidupan
kepada seluruh makhluk di muka bumi ini, hati Mama disinari oleh kejayaan Along
mendapat 5A dalam keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).
Pembaca budiman sekalian…
Along adalah antara anak anugerah Mama yang terawal di Mahligai Kaseh. Kehidupan
Alang semasa usia kanak-kanak dilingkari kesusahan dan kepedihan. Alang tinggal
di sebuah kampung setinggan di Nilai, Negeri Sembilan. Alang masih kanak-kanak ibunya
meninggal dunia. Namun untungnya Alang mempunyai Ateh, abangnya yang sentiasa
mengambil erat akan diri Alang.
Jadi Alang
dibesarkan oleh ibu saudaranya bersama Ateh. Makciknya hanya orang biasa
sahaja. Pernah sekali Alang kelaparan ketika sedang berteduh daripada hujan lebat.
Ateh menarik tangan Alang untuk mencari tin kosong dan menjualnya kepada
pembeli besi buruk. Hasil daripada jualan itulah digunakan Ateh untuk
membelikan Alang sebuku roti untuk adik kesayangannya. Dan roti itu pula
dikerat dua, satu bahagian Alang dan satu bahagian lagi untuk Ateh.
Betapa sayunya
hati Mama dengan kehidupan yang Ateh dan Alang lalui ketika mereka herdua masih
kanak-kanak. Apa pun Allah menganugerahkan Ateh dan Alang akal yang bergeliga.
Cuma sayangnya kehidupan mereka berdua yang tidak seperti anak-anak bertuah lain
yang mempunyai ibu dan bapa mendapat kemudahan hidup dan pembelajaran yang
sempurna.
Takdir Allah,
Mama telah dipertemukan Allah dengan Ateh dan Alang. Biarkan Mama membersihkan
tubuh Ateh dan Alang dengan tangan Mama sendiri. Biarpun kadangkala Ateh dan
Alang nakal dan liat hendak mandi. Kini Mama telah aturkan jadual hidup Ateh dan
Alang. Bila masanya untuk makan, bila masanya untuk bersolat, bila masanya
untuk mendengar nasihat Mama.
Bila waktunya
kita sesuai untuk bermain. Bila ketikanya tubuh kita perlu beristirehat.
Semuanya Mama sudah sediakan. Biarpun Ada kalanya Ateh dan Alang mahu mengutip
tin-tin kosong seperti dulu.
Maafkan Mama!
Mama tidak izinkan Ateh dan Alang berbuat demikian. Sekarang Ateh dan Alang
jadi anak Mama, bukan anak yang tinggal dalam kedaifan dan persekitaran kampung
setinggan lagi.
Tak usah Ateh
dan Alang kotorkan tangan dengan kuman lagi mengutip tin-tin kosong semata-mata mahu membeli sebuku
roti. Mama akan belikan roti yang terbaik untuk Ateh dan Alang nikmati, biar
sihat dan cukup karbohidrat. Mama sediakan susu dan milo yang segar untuk
pembesaran tubuh kalian berdua. Mama sediakan sayur-mayur dan diet pemakanan
yang sesuai untuk Ateh dan Alang. Mama akan pakaikan baju yang baik kainnya
buat melindungi tubuh kalian berdua daripada panas siang hari dan dingin di
malam sunyi. Pendek kata biarlah Mama sediakan semuanya untuk Alang dan Ateh.
Sudah jadi
tanggungjawab Mama untuk menyediakan semua keperluan asas itu. Jadi, tak
perlulah lagi Ateh dan Alang pergi mencari tin-tin kosong di merata ceruk lagi.
Dengarkan Mama sayang! Ateh dan Alang kini di bawah jagaan Mama. Tapi ini
bukanlah bermaksud Mama hendak mempergunakan Ateh dan Alang untuk kepentingan
Mama. Mama mengambil Ateh dan Alang adalah semata-mata kerana Allah yang telah
mencampakkan rasa sayang dan kasih Mama terhadap anak-anak. Mama yakin, setiap
anak-anak berhak mendapat kehidupan yang sempurna. Wajar mendapat pendidikan
yang sebaik mungkin. Tiada anak-anak yang dilahirkan ke dunia ini harus dihina
dan disisihkan. Setiap insan sewajarnya berpeluang dididik menjadi insan
berguna.
Anakku sayang.
Dalam kehidupan kita pada masa kini yang menjadikan kita berguna kepada
masyarakat dan negara ialah pendidikan. Jika kita tidak berpendidikan, diri
kita umpama tin kosong yang Ateh dan Alang pernah kutip di suatu ketika dahulu.
Mama tidak mahu
Ateh dan Alang seumpama tin-tin kosong di jalan. Nilainya tidak sama sewaktu tin
itu masih berisi dan diletakkan di rak-rak kedai. Nilainya kini hanya
bergantung pada ukuran berat kilo dan kati.
Cubalah renung
anak anak-anakku. Sementara tin kosong itu dijumpai pencari tin, manalah tahu
nasibnya bukan. Manalah tahu disepak orang yang lalu-lalang di jalanan. Berdentung-denting
terpelanting kena tubir jalan. Alangkah sedihnya mengenang nasib tin-tin kosong
itu.
Bagaimana pula
tin-tin kosong yang berkarat dan terdampar di celahan rumput atau tin yang terbenam
dalam lumpur dalam longkang? la langsung tidak bernilai lagi apabila sudah
berkarat! Bahkan ia menjadi sarang kuman tetanus membiak dan menanti untuk
lukakan kaki manusia.
Begitulah
keadaannya seseorang yang tidak berpendidikan. Sama seperti tin-tin kosong yang
rendah nilainya atau langsung tiada nilainya. Mama tidak mahu Ateh dan Alang
menjadi seperti tin kosong, seperti kata bijaksana orang-orang tua kita.
Simpulan bahasa, ‘tin kosng’ bermakna orang yang bercakap berdegar-degar tanpa
ada ilmu dalam percakapannya hanya menurut emosi dan kebodohan dirinya sendiri.
Sudahlah bodoh. Angkuh pula. Inilah yang Mama tidak mahu berlaku ke atas diri anak-anak
Mama.
Alhamdulillah,
Ateh dan Alang dapat mengikuti jadual kehidupan yang Mama aturkan. Lihatlah berkat
ketekunan. Ateh berjaya memperoleh keputusan 5A dalam UPSR. Dan tambah
meyakinkan Mama atas kebesaran Allah, Alang juga dapat mengikut jejak Ateh mendapat
keputusan 5A. Jadi Ateh dan Alan sudah membuktikan kepercayaan dan mengukuhkan
keyakinan di hati Mama bahawa anak-anak anugerah Mama ini juga boleh setaraf dengan
puluhan ribu anak-anak lain yang berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam
peperikaan.
Mama yakin,
kejayaaan Alang dan Ateh ini sebahagian daripada keberkatan kalian berdua
menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama Mama ketika dahulu. Doa Mama sudah Allah
kabulkan. Semoga Program Umrah Cinta Tanpa Sempadan yang Mama anjurkan pada
bulan April dan Mei tahun 2013 ini akan mendapat sambutan dan penyertaan masyarakat
di luar sana.
Ateh dan Alang
ibarat mestika di langit hati Mama, memberikan Mama kekuatan terus-menerus
untuk mendidik dan rnembesarkan anak-anak Mama yang lain. Pertahankan potensi
dan kejayaan ini. Kekalkan akhlak mulia. Jadilah contoh kepada adik-adik yang
juga anak-anak Mama yang lain.
Semoga Ateh berjaya
mencapai cita-cita menjadi arkitek terulung mereka bentuk bangunan terbaik di
dunia dan Alang berjaya terbang tinggi menjadi juruterbang profesional merentasi
benua suatu masa nanti Insya Allah. Kini Mama mahu mendoakan agar Ateh dan
Alang menjadi bintang pula di langit negara kita di Tanah Suci Mekah dalam
Program Umrah Cinta Tanpa Sempadan 2013. Kabulkanlah doaku ya Allah. Amin ya
Rabbul Alamin.
*Mestika - Batu
sakti, batu permata dan sesuatu atau seseorang yang amat disayangi sepenuh jiwa
raga.
Untuk
maklumat lanjut berkenaan Program Umrah Bersama Norlina Alawi dan anak-anak
anugerah terpilih yang akan diadakan pada bulan April dan Mei tahun 2013. Penyertaan pembaca amat dialu-alukan dalam membantu
anak-anak anugerah ini untuk lebih berjaya di masa depan. Amin!
- Mastika
Januari 2013
0 comments