Seperti diceritakan
oleh Pengerusi Hasanah Travel &Tours Sdn. Bhd. (019-308 0385), Haji Akashab
bin Hussain, 61, kepada wartawan eksekutif Mastika, Kairul Anwar Yusop.
Ibadah haji yang
pernah saya laksanakan dahulu menyimpan pelbagai kisah untuk dikongsi bersama.
Bagi saya kisah ini banyak memberi pengajaran dan pedoman kepada kita yang masih
hidup. Pada tahun 1972, saya menjadi tetamu Allah dan berpeluang menunaikan
ibadah haji. Ketika itu, rombongan kami seramai 400 jemaah termasuk lelaki dan
wanita, merupakan jemaah pertama dari Malaysia ke Tanah Suci menggunakan kapal
terbang. Sebelum itu, semua jemaah yang pergi haji menggunakan kapal laut. Kami
berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang ke Jeddah.
Penerbangan kami selamat mendarat di Jeddah dan kami bermalam sehari di sana.
Esoknya barulah jemaah berangkat ke Mekah menggunakan bas. Sebaik sampai di
sempadan Mekah, sesuatu yang tak diduga terjadi. Seorang jemaah lelaki bernama
Razak tiba-tiba meracau dan terlolong-lolong. Tidak lama selepas itu, Razak
pengsan. Saya dan beberapa jemaah lain yang melihat kejadian itu membantu
Razak. Saudaranya bernama Hamdan turut sama. Tidak lama kemudian, pihak
pengurusan telah membawa kembali Razak ke sebuah hospital di Jeddah.
Kami pula
meneruskan perjalanan ke Mekah. Bagaimana keadaan Razak dan apakah penyakitnya
tiada siapa yang tahu. Peliknya semasa kami berbual-bual dalam kapal terbang,
Razak yang berusia 40-an sihat walafiat. Razak yang ditemani Hamdan merupakan kakitangan
kerajaan dan berjawatan sebagai pegawai tanah di sebuah negeri di selatan tanah
air. Setelah hampir seminggu di Mekah, saya berpeluang berbual-bual dengan Hamdan
ketika waktu makan. “Macam mana keadaan Razak. Sakit lagikah. Di mana dia
sekarang?”
“Razak ada di
Jeddah. Dia tak boleh masuk Mekah,” beritahu Hamdan.
“Tak boleh masuk
Mekah?” soal saya ingin kepastian. “Memang tak boleh!” jawab Hamdan.
Menurut Hamdan,
setiap kali Razak sampai saja di sempadan Mekah dia akan jatuh pengsan. Begitulah
keadaan Razak setiap kali hendak ke Mekah. “Tapi bila dibawa balik ke Jeddah,
sihat pulak. Tak ada apa-apa penyakit,” jelas Hamdan. Saya yang mendengar
cerita itu tergamam. Kenapa jadi begitu? Berdasarkan cerita Hamdan, apa yang
berlaku mungkin disebabkan kesilapan Razak dulu. Razak yang bekerja sebagai
pegawai tanah, sering mengambil rasuah semasa meluluskan sesuatu permohonan.
“Mungkin duit
dia datang ke Mekah ini pun guna duit rasuah. Kalau bukan semua, sebahagian.
Ada duit tak berkat. Jadi Allah tak benarkan Razak masuk ke Tanah Suci ni,”
sambung Hamdan lagi sedih. Benar, selepas selesai ibadah haji kami kembali ke
Jeddah untuk pulang ke tanah air. Di sana barulah kami bertemu semula dengan
Razak. Keadaannya sihat walafiat. Tiada langsung tanda-tanda dia sakit. Bila
berbual-bual Razak ketawa berdekah-dekah. Razak mengakui dia langsung tidak
berpeluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci apatah lagi menunaikan Rukun Islam
kelima itu. Razak hanya menghabiskan masa di Jeddah menunggu kepulangan kami.
Begitulah Allah
memperlihatkan kekuasaannya memelihara Tanah Suci. Kisah Razak itu mengingatkan
saya kepada Mak cik KaIsom, seorang penjual kain di kampung saya yang turut
serta dalam rotnbongan haji pada tahun yang sama. Semasa di Mekah, Mak cik
KaIsom yang umurnya lingkungan 50-an, tiba-tiba jatuh sakit. Mak cik KaIsom
jadi macam orang hilang akal dan sering meracau-racau. Bukan setakai itu saja,
fikiran Mak cik KaIsom juga bertukar seperti orang tua nyanyuk. Semasa di Mekah,
Mak cik Kalsom juga kerap terkencing dan terberak di dalam kain ihramnya. Habis
kain ihramnya kotor akibat terkena air kencing atau najisnya. Maklumlah ketika
itu sekitar Kaabah belum dipasang marmar lagi. Lantainya hanya pasir. Jadi
melekatlah segala jenis kotoran pada ihramnya. Oleh kerana saya orang muda dan
kenal Mak cik Kalsom, saya telah diarahkan jemaah lain untuk menjaganya. Saya
perhatikan sikap Mak cik Kalsom pelik.
Setahu saya ketika
di kampung dulu, Mak cik Kalsom sihat sahaja. Tak pernah dengar dia sakit
begitu. Fikirannya juga waras. Semasa di kampung semua orang kenal Mak cik
Kalsom selalu jual kain. Hampir setiap hari dia berkunjung ke rumah orang
kampung jual pelbagai jenis kain. Mak cik Kalsom memang sihat. Peliknya mengapa
sehari selepas berada di Mekah, Mak cik Kalsom menunjukkan sikap peliknya. Kali
ini duit yang tersimpan di dalam uncang yang dibawanya ditabur-tabur ke tanah.
Pantang ada duit
di tangannya habis semua dibuang. Setiap kali Mak cik Kalsom buang duit, sayalah
tukang kutip. Bila saya kira, memang banyak. Lebih kurang seribu ringgit lebih.
Kelakuan Mak cik Kalsom terus-menerus begitu sehinggalah orang tua itu tidak
dapat menyempurnakan ibadahnya. Kelakuan peliknya menabur duit berterusan
hinggalah kami semua pulang ke tanah air. Peliknya, apabila berada di tanah
air, perangai Mak cik Kalsom kembali elok. Mak cik Kalsom tidak lagi nyanyuk,
buang najis dalam kain atau tabur duit seperti di Mekah. Bila saya
fikir-fikirkan, barulah saya faham. Mungkin benarlah apa yang diperkatakan
beberapa jemaah yang kenal dengan Mak cik Kalsom. Kata mereka, Mak cik Kalsom
jadi begitu mungkin berpunca dari duit yang digunakannya untuk ke Mekah. Memang
benar Mak cik Kalsom cari rezeki menjual kain. Tapi caranya salah.
Contohnya, harga
kain berharga RM10. Sekiranya orang kampung beli secara tunai, harganya lebih
kurang RM12. Untungnya cuma dua ringgit. Tapi, jika berhutang, harga kain itu
akan jadi berlipat kali ganda. Biasalah, orang kampung mana ada duit. Suka
berhutang. Jadi kesempatan itu digunakan Mak cik Kalsom untuk mengaut
keuntungan lebih. Jika orang kampung minta bayar tiga kali, harganya dua kali ganda.
Jadi dalam hasil jualan kain Mak cik Kalsom itu ada unsur riba. Duit itu tak
berkat. Sebab itulah ketika di Mekah, Mak cik Kalsom jadi gila dan sering buang
duit merata-rata.
Selain dua
kisah tadi, kisah terakhir yang hendak saya ceritakan ini berIaku ketika ibadah
haji pada tahun yang sama. Kali ini akibat berlaku curang, seorang isteri telah
jadi gila dan meninggal dunia. Wanita ini ke Tanah Suci tanpa ditemani
mahramnya. Semasa di Mekah, wanita ini jadi perhatian pak Arab. Maklumlah
wanita ini berdarah kacukan Arab. Wajahnya iras wanita Arab, cantik,
kulit putih melepak dan namanya juga Syarifah. Jadi memang berkenanlah pak Arab
ini. Selama di sana boleh dikatakan setiap hari bersilih ganti pak Arab datang
mengambilnya. Hari ini orang lain, esok orang lain. Ke mana mereka pergi dan
apa mereka buat tiada siapa yang tahu. Saya mendapat tahu wanita ini menjalinkan
hubungan dengan pak Arab. Sejauh mana kecurangan wanita ini menduakan suaminya
tidak pula saya tahu.
Dengan takdir
Allah, semasa hendak melakukan wukuf di Padang Arafah, wanita ini tiba-tiba
meracau dan hilang ingatan. Keadaannya berterusan sehinggalah kami semua pulang
ke tanah air. Tiga tahun berlalu, saya berjumpa dengan adik wanita ini ketika
pulang ke kampung. “Macam mana kakak. Dah sihat?” soal saya. “Sejak balik dari
Mekah penyakit kakak tak sembuh-sembuh. Kakak baru meninggal dunia,” beritahu
adiknya pada saya. Saya yang mendengar kisah sedih itu hanya mampu mengucap
panjang. Mungkin itu balasan Allah di dunia buatnya. Pesan saya kepada jemaah
yang hendak ke Mekah persiapkanlah diri, jagalah kelakuan semasa di sana. Gunakanlah
duit dari hasil yang halal dan diredhai Allah. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui apa saja yang kita kerjakan di dunia ini.
- Mastika Disember 2010
0 comments