KUALA LUMPUR:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini memperkenalkan ‘Pengeluaran
Haji’ yang membolehkan ahli KWSP mengeluarkan simpanan mereka sehingga
RM3,000 daripada Akaun 2 bagi membiayai kos ibadah haji berkuat kuasa 1 Januari
ini.
Timbalan Ketua
Pegawai Eksekutif Operasi KWSP, Datuk Ibrahim Taib berkata, permohonan mudah
tanpa perlu mengisi borang itu boleh dibuat ahli berumur kurang 55 tahun dengan
syarat mereka sudah menerima surat tawaran menunaikan haji daripada Lembaga
Tabung Haji (LTH).
“Bagaimanapun
ahli diingatkan pengeluaran ini hanya boleh dibuat sekali seumur sehidup dan
hanya layak bagi mereka yang tidak mempunyai simpanan yang cukup di LTH,”
katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Untuk membuat
permohonan pengeluaran haji itu, Ibrahim berkata ahli yang layak boleh
berkunjung ke mana-mana cawangan KWSP dengan mengemukakan kad pengenalan, surat
tawaran LTH dan buku akaun simpanan LTH yang sudah dikemaskini.
“Ahli juga
diingatkan supaya mengemukakan permohonan haji selewat-lewatnya tiga hari
bekerja sebelum tarikh akhir menjawab pengesahan menunaikan haji seperti
ditetapkan LTH bagi memudahkan proses permohonan mereka,” katanya.
Untuk
mendapatkan maklumat lanjut, beliau berkata, ahli yang berminat boleh mengunjungi
laman web myEPF di www.kwsp.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di
talian 03-8922 6000.
0 comments