500 Gagal Dapat Visa Terbang


Kuala Lumpur: Kira-kira 500 jemaah wanita yang dijadual mengerjakan umrah sehingga 28 Februari depan tidak dapat berlepas ke Tanah Suci berikutan arahan terbaru kerajaan Arab Saudi yang mahu mereka ditemani mahram sendiri.

Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan Dan Pengembaraan Bumiputra Malaysia (Bumitra) Mohd Ayub Hassan berkata, semua jemaah itu membuat persediaan sejak tahun lalu terpaksa membatalkan hasrat mereka di saat akhir kerana gagal mendapat visa.

“Setiap tahun dianggarkan lebih 5,000 wanita tempatan yang mengerjakan umrah tanpa mahram sendiri dan apabila penguatkuasaan arahan ini dibuat sejak awal tahun, ramai juga yang merasa kesannya.

“Sedikit sebanyak ia turut merumitkan pihak kami yang perlu mengurus urusan dokumentasi di kedutaan dan pastikan jemaah tidak bermasalah dalam mendapatkan kelulusan visa.

“Atas sebab itu kami sangat berharap Kedutaan Arab Saudi di Malaysia dapat memberi kelonggaran kepada jemaah wanita Malaysia, sekurang-kurangnya menurunkan had umur mereka yang boleh ke Tanah Suci tanpa mahram.

“Ketika ini memang ada kelonggaran kepada kumpulan wanita berusia 45 tahun ke atas mengerjakan umrah tanpa mahram. Kita harap had umur kumpulan ini diturunkan sekurang-kurangnya ke 40 tahun atau 35 tahun,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Akhbar semalam, melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, mulai tahun ini wanita tempatan perlu mempunyai mahram sendiri untuk mengerjakan umrah.

Beliau berkata, arahan itu bukan dikeluarkan kepada jemaah Malaysia saja, bahkan semua negara baru-baru ini dipercayai bertujuan mengurangkan beban di peringkat kerajaan Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Mohd Ayub berkata, pihaknya sudah mengemukakan dua surat ke kedutaan untuk mengadakan pertemuan dan berbincang mengenai perkara itu.

“Kami memang sangat berharap isu ini dapat diselesaikan dengan baik. Lagipun jemaah Malaysia sangat berdisiplin dan tidak mempunyai masalah sepanjang berada di Tanah Suci.

“Berdasarkan perkara itu, kita mahu berjumpa dan berbincang supaya diberi sedikit kelonggaran dalam hal ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

0 comments