Menziarahi makam Rasulullah SAW
adalah salah satu usaha untuk membina hubungan yang intim dengannya. Tidak
wajar sekiranya pergi ke Makkah dan Madinah tanpa menziarahi Masjid Nabawi dan
makam Baginda SAW. Menziarahi Masjid Nabawi dan makam Baginda SAW yang terletak
di masjid tersebut mampu menyuburkan rasa kasih dan cinta kepada Rasulullah
SAW.
Menurut Ustaz Mohd Uda Kassim,
menziarahi makam Rasulullah SAW adalah salah satu usaha untuk membina hubungan
yang intim dengan Rasulullah SAW.
“Cinta pada Rasulullah SAW
adalah dalil atau bukti seseorang itu beriman. Kalau kita tidak mahu menziarahi
makam Rasulullah SAW, mana cinta kita terhadapnya? Menziarahi makam Rasulullah
SAW tidak ada khilafnya,” tegas beliau.
Bagi sesiapa yang tidak
berkemampuan untuk pergi berziarah, beliau berpesan agar menanamkan azam dan
cita-cita untuk pergi ke sana suatu hari nanti bukan semata-mata untuk merebut
ganjaran pahala yang ditawarkan, tetapi untuk menyuburkan perasaan cinta kepada
Rasulullah SAW.
Katanya lagi, apabila berziarah
ke Makam Rasulullah SAW, seseorang itu perlu memasang niat bahawa ziarahnya
kerana Allah SWT sebab ia merupakan suatu ibadat. Di samping itu, kita perlu
berselawat dan dilarang melakukan perkara-perkara bidaah semasa ziarah
tersebut.
“Janganla kita meletakkan ziarah
makam Rasulullah SAW perkara utama. Perkara utama yang perlu kita tanamkan
dalam diri ialah bersembahyang di Masjid Nabi dan di samping itu barulah
berziarah ke makam Baginda SAW,” jelasnya.
Seribu Kali Lebih Baik
Di samping berziarah dan
bersembahyang di Masjid Nabawi, umat Islam juga digalakkan untuk pergi berziarah
ke Masjidil Haram di Makkah dan Masjidil Aqsa di Baitul Muqaddis, Palestin.
Beliau memetik maksud hadis daripada riwayat al-Bazzar dan ad-Daruqatni yang
mengatakan bahawa: “Jangan kamu bermusafir untuk menziarah masjid kecuali tiga
masjid iaitu Masjidil Haram, Masjid Nabi dan Masjid Aqsa.”
Umat Islam digalakkan untuk
pergi ke ketiga-tiga masjid tersebut kerana setiap satunya mempunyai kelebihan
yang tersendiri. Bagi yang bersembahyang di Masjid Nabawi, bergembiralah dengan
ganjaran pahala yang diperoleh.
Jelasnya, ganjaran pahala yang
ditawarkan oleh Allah SWT sangat hebat iaitu 1000 kali lebih baik daripada
bersembahyang di masjid lain, seperti yang terdapat dalam sebuah hadis:
Sekali solat di masjidku ini adalah
seribu kali lebih afdal daripada solat di masjid lain kecuali di Masjidil Haram
dan sekali solat di Masjidil Haram 100,000 kali lebih afdal daripada masjid-masjid
lain.
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
- Majalah Anis Januari 2013
0 comments