Sejarah Pembinaan Masjid Nabawi


Pembinaan asas Masjid Nabawi adalah daripada Nabi Muhammad SAW. Bercerita mengenai sejarah pembinaannya, Mudir Maahad Dakwah Wa Irsyad Mohd AI-Fateh, Ustaz Mohd Uda Kassim berkata ketika Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah al-Munawwarah, Baginda melihat tiada tempat untuk orang Islam beribadat.

“Antara tujuan Nabi Muhammad SAW berhijrah adalah membina masjid kerana tiada masjid di Makkah ketika itu. Apabila Makkah tiada masjid, bagaimana Nabi hendak mendidik para Sahabat? Dengan kuasa politik yang ada, Nabi Muhammad SAW terus membina masjid tersebut sebaik tiba di Madinah,” jelas beliau yang juga merupakan pendakwah bebas.

Masjid Nabawi terus menerima penambah baikkan daripada hanya dibangunkan menggunakan pelepah-pelepah kurma, kini cantik seiring penambahan umat Islam.

Menurutnya, tanah bagi tapak masjid tersebut dibeli daripada penduduk Madinah dan di situ juga terdapatnya pohon-pohon kurma, kubur-kubur kaum Musyrikin dan tempat-tempat penyembahan.

Ketika mengambil alih tanah tersebut, pohon-pohon kurma ditebang manakala kubur-kubur kaum Musyrikin digali dan dikebumikan di tempat lain. Tempat-tempat penyembahan pula dibersihkan.

“Kemudian, terbinalah Masjid Nabawi seluas tujuh hasta kerana pada masa itu jumlah orang Islam tidak begitu ramai. Ketika itu, Nabi Muhammad SAW sekadar menggunakan batang-batang daripada pohon kurma untuk dijadikan tiang utama dan atapnya diambil daripada pelepah-pelepah kurma. Lantainya pula hanyalah pasir yang diletakkan tikar ketika bersembahyang,” ujarnya.

Pada tahun ketujuh Hijrah, orang Islam mula bertambah kerana rombongan-rombongan daripada orang Kristian dan Yahudi datang ke Madinah untuk mempelajari Islam.

Ketika itu, sambutan terhadap Islam begitu hebat dan pertambahan penduduk semakin meningkat. Jadi, Nabi Muhammad SAW mengambil keputusan untuk memperluaskan lagi masjid tersebut sesuai dengan pertambahan umat Islam di Madinah ketika itu.

Bermulanya Usaha Penambahbaikkan

Ketika Nabi Muhammad SAW wafat, keluasan Masjid Nabawi sudah menjangkau 70 hasta. Kemudian, pada zaman pemerintahan Sayidina Abu Bakar, beliau tidak melakukan apa-apa projek pembesaran masjid tersebut kerana beliau berdepan dengan masalah orang Islam yang murtad dan banyak lagi masalah-masalah dalaman.

Selain itu, ia juga dikenali sebagai zaman fitnah dan kemudian disibukkan pula dengan kerja-kerja peperangan. Oleh sebab masalah-masalah tersebut, Sayidina Abu Bakar tidak dapat menumpukan pada pembesaran Masjid Nabawi. Mungkin juga binaannya masih lagi elok,” katanya.

Pembesaran bermula pada zaman Sayidina Umar bin al-Khattab. Pada zaman ini, empayar Islam mula meluas lagi apabila ramai orang Iran memeluk Islam. Ujar Ustaz Mohd Uda lagi, Sayidina Umar mula membeli batu-batu daripada Iran dan Ethiopia untuk menambah baik Masjid Nabawi.

“Sayidina Umar adalah orang pertama yang membeli batu-batu untuk membina Masjid Nabawi. Sejak itu, dinding Masjid Nabawi sudah mula berbatu dan berukir. Boleh dikatakan, setiap kerajaan Islam yang memerintah selepas itu melakukan projek-projek pembesaran Masjid Nabawi,” ujarnya.

Kubah Hijau

Usaha-usaha memperbesar dan mencantikkan Masjid Nabawi ini berlanjutan sehingga ke era pemerintahan kerajaan Bani Umaiyah dan Bani Abbasiyah. Seiring dengan peningkatan pengetahuan terhadap seni bina, kubah mula dibina pada zaman pemerintahan kerajaan Mamalik. Ustaz Mohd Uda berkata, pada peringkat permulaan, ia dibina menggunakan jerami-jerami gandum yang ditumbuk dan dicampur bersama tanah liat.

“Ketika awal Rasulullah SAW membina Masjid Nabawi, kubah tidak dibangunkan. Ia mula dibangunkan oleh kerajaan Mamalik untuk melindungi makam Rasulullah SAW daripada terkena hujan dan panas,” jelasnya.

Sesuai dengan perubahan pemodenan, kubah mula digantikan dengan simen dan akhirnya dicat pada zaman Uthmaniyah. Semenjak itulah, terbinanya kubah yang berwarna hijau seperti yang dilihat sekarang. Sehingga kini, usaha-usaha pembesaran masih diteruskan oleh kerajaan Saudi. Pembesaran demi pembesaran yang dilakukan oleh kerajaan-kerajaan memerintah akhirnya membawa kebaikan kepada Masjid Nabawi.

“Hikmah apabila bertukar-tukar kerajaan ialah apabila masing-masing cuba menampakkan kepada umat Islam bahawa mereka boleh mengurus masjid tersebut dengan balk. la memberi kebaikan kepada masjid sendiri,” ujarnya.

- Majalah Anis Januari 2013

0 comments