TH Sewa 11 Bangunan Baru


Tampung Penginapan 28,000 Jemaah Haji Tahun Ini

Makkah: Lembaga Tabung Haji (TH) menyewa 11 bangunan tidak lebih satu kilometer dari Masjidil Haram untuk menampung keperluan penginapan 28,000 jemaah haji Malaysia pada musim haji kali ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor, berkata usaha mendapatkan lokasi semua bangunan dalam lingkungan jarak itu sememangnya amat mencabar, namun usaha gigih petugas TH dengan kerjasama baik pihak Arab Saudi membolehkan ia menjadi kenyataan.

Cari Bangunan Baru

Katanya, TH perlu mencari beberapa bangunan baru pada musim haji ini kerana ada bangunan yang pernah disewa pada musim haji lalu sudah dirobohkan pihak berkuasa Arab Saudi untuk memberi laluan kepada kerja-kerja pembangunan projek perluasan ruang Masjidil Haram dan Kota Makkah.

Dalam satu sidang media, di sini, beliau berkata, TH sememangnya berhasrat untuk mencari bangunan besar yang boleh memuatkan lebih ramai jemaah haji di satu tempat bagi memudahkan aspek pengurusan jemaah dan juga petugas, namun ia bergantung kepada penawaran.

Abi Musa berada, di sini, untuk lawatan kerja bagi meninjau perkembangan operasi TH musim ini, dan Rabu lepas beliau mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Haji Arab Saudi untuk membincangkan persediaannya.

Katanya, pelaksanaan projek perluasan ruang sekitar Masjidil Haram dan kawasan sekelilingnya, yang pesat ketika ini mungkin akan memberi kesan terhadap keselesaan jemaah haji dari seluruh dunia, termasuk dari Malaysia dan semua jemaah diminta faham dengan keadaan itu.

“Pihak Arab Saudi turut mengarahkan supaya semua kerja-kerja pembinaan itu dihentikan selama empat bulan mulai Ramadan nanti untuk memberi laluan kepada urusan ibadat haji demi keselesaan jemaah dan semua pihak harus faham bahawa apa yang dilakukan kerajaan Arab Saudi adalah untuk keselesaan jemaah haji pada masa akan datang,” katanya.

Projek perluasan Masjidil Haram dilancarkan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz pada Ogos 2011 membabitkan kos kira-kira SR80 bilion (Saudi Riyal), projek perluasan yang terbesar dalam sejarah tempat suci itu.

Masalah Kuota

Abi Musa berkata, Malaysia sama seperti negara Islam lain setiap tahun, memohon supaya kuota haji dinaikkan, namun kerajaan Arab Saudi perlu bertegas mengenai perkara itu kerana mengambil kira banyak aspek, termasuk soal keselesaan dan keselamatan jemaah haji, di samping kemampuan pengurusannya dalam mengurus jumlah jemaah yang ramai.

Kuota Satu Peratus

Kerajaan Arab Saudi ketika ini menetapkan kuota hanya satu peratus daripada jumlah penduduk sesebuah negara, yang dibenarkan untuk mengerjakan ibadah haji setiap tahun.

Ia menyaksikan kira-kira 28,000 jemaah haji dari Malaysia menunaikan ibadah itu tahun lalu dengan jumlah jemaah dari seluruh dunia yang mengerjakan haji pada tahun itu menjangkau hampir empat juta.

Sementara itu, Abi Musa menasihatkan jemaah yang ingin mengerjakan haji supaya hanya berurusan dengan agensi yang diberi lesen oleh TH bagi mengelak daripada ditipu agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan beliau kerana setiap tahun ada kes membabitkan jemaah yang tertipu, sedangkan senarai agensi berlesen untuk urusan pakej haji boleh didapati dari laman web TH, di samping sudah diiklankan di akhbar untuk kemudahan orang ramai memeriksanya. Katanya, tahun ini TH memberi lesen kepada 20 agensi untuk menguruskan pakej haji dan TH sentiasa memastikan mereka memberikan perkhidmatan terbaik sebagaimana yang dijanjikan.

Sehubungan itu, Abi Musa meminta supaya jemaah haji membuat persiapan secukupnya dan persediaan lebih rapi tahun ini kerana musim haji pada tahun ini dan juga beberapa tahun akan datang berada dalam waktu keadaan cuaca amat panas di Arab Saudi.

0 comments