Penyangak Umrah: Jalan Mudah Jadi Jutawan

Berita pakej umrah diniagakan untuk jadi kaya raya bukan isu baharu. Tiap kali umat Islam berfikir mengenai Tanah Suci dan hajat menunaikan Umrah – penyangak pun berfikir hal yang sama. Mereka terbayangkan Kaabah dan hati pun menjerit: “Wang! Wang! Wang! Ayuh Jual Mekah!”

Berita bakal jemaah umrah ditipu dan diperkena hidup-hidup oleh agen umrah bukan isu baharu. Ratusan jemaah ditipu tiap tahun. Termasuk yang diam dan meredhakan saja syaitan yang menipu mereka – jumlah sebenar beribu-ribu orang banyaknya.

Ini kejahatan tahap syaitan. Penipuan pakej umrah membiar bersama tumbuhnya syarikat agensi umrah yang bercambah macam rebakan kanser. Justeru, penyangak pun turut berniaga dalam pakej umrah. Itu belum lagi agen yang bersepah macam sampah.

Semakin tinggi kesedaran umat Islam untuk menunaikan umrah - semakin bertambah jumlah syaitan yang menjual Mekah.

Kes di Terengganu paling klasik. 4,800 bakal jemaah umrah ditipu. Tempoh penipuan hanya dalam 48 bulan. Cara menipu pula: Bakal jemaah bayar separuh, penaja tanggung separuh. Orang pun suka, ke Mekah ditaja!

Jumlah RM14.2 juta wang yang ditipu satu bukti: Menyangak melalui pakej umrah satu kerja mewah!

Pada masa ini, kisah diskaun umrah lagi banyak dari kisah diskaun pasaraya. Orang jadi histeria tiap kali dengar kisah pakej umrah murah.

Kesedaran agama yang tinggi serta kerinduan terhadap Mekah membuatkan umat Islam jadi tidak keruan apabila mendengar adanya pakej umrah murah. Sampai sekarang pun, selepas berita skandal penipuan pakej umrah terbesar di Besut didedahkah – percayalah, ia takkan melunturkan semangat orang kita nak ke Mekah secara mudah dan murah.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman, kes penipuan pakej umrah di Terengganu kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Hasil serbuan di premis yang terletak di Besut itu juga kita turut merampas beberapa barang kes termasuk 18 pasport, komputer riba, dua unit telefon bimbit dan beberapa dokumen.

“Hasil pemeriksaan di dalam satu akaun milik anak syarikat itu pihak polis mengesan terdapat kemasukan wang sebanyak RM14.2 juta ke dalam akaun tersebut,” katanya dalam satu sidang media.

Sebenarnya sukar untuk kita kenal pasti siapa penyangak dalam urusan umrah. Agensi muncul dengan wajah para ustaz, artis malah tokoh agama. Ini modus operandi (MO) yang efisien untuk menipu bakal jemaah. Umrah akan lebih glamor kalau bersama artis dan agamawan terkenal.

Manakala MO kedua ialah pakej murah: “Kita dipilih Allah dengan ada yang membantu jalan ke Mekah.” Ini dialog klise dalam menipu bakal jemaah.

Hati-hati. Nampaknya: Syaitan mengubah arah. Perniagaan terbaik sekarang ialah menjual Mekah!

Kepada bakal jemaah, sila berhati-hati. Fakta membuktikan: Banyak syaitan bertopengkan pakej umrah murah ke Mekah! 

Sumber: Mynewshub

0 comments