PAN Pertikai Haji Mabrur

PETALING JAYA | Amanah hari ini mempertahankan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempertikaikan mabrur ibadat haji, memandangkan ia berkaitan dengan pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kepulauan Cayman, “pusat terkenal simpanan wang judi, dadah dan kongsi gelap”.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata rakyat berhak tahu adakah peserta program haji 1MDB dibiaya dengan wang daripada sumber yang halal dan bersih.

“Adakah sumber wang ini digunakan untuk membiaya haji oleh 1MDB? Bagaimanapun, menteri di jabatan perdana menteri tidak memberi jawapan yang jelas selain daripada menyatakan ‘ianya adalah pelaburan jangka masa pendek'”.

“Kalau perbuatan itu haram ia tetap haram walaupun untuk jangka masa pendek kerana ada banyak lagi pilihan lain yang halal,” kata pemimpin parti Islam itu dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjawab Datuk Asyraf Wajdi Dusuki yang dilaporkan berkata hanya Tuhan yang boleh menentukan mabrur ibadah haji peserta program 1MDB.

Asyraf mengkritik Dr Mahathir yang mendakwa ibadah haji tidak mabrur jika menggunakan wang program khas perdana menteri-Yayasan 1MDB, kerana ia mungkin berpunca daripada wang yang dikatakan dicuri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman menjelaskan pemberi wang dan sumber wang pemberi tidak menentukan mabrur ibadah haji penerima.

Oleh itu, Amanah meminta kedua-dua agamawan menjelaskan kewajaran melaburkan wang 1MDB di Kepulauan Cayman.

“Soalan ini dikemukakan semasa perbahasan akta pengubahan wang haram agar kerajaan memberi penjelasan kerana bumi Allah ini luas dan banyak lagi tempat lain boleh kita melabur.

“Jangan mengamalkan budaya pilih kasih hingga hanya nampak kuman di seberang lautan tetapi gajah di depan mata tidak pula nampak,” katanya.

Sumber: FreeMalaysiaToday

0 comments