KUALA LUMPUR | Pengarah dan pelakon Sabri Yunus bakal muncul dengan drama bersiri Pok Ya Cong Codei selepas telefilemnya yang disiarkan di saluran Astro Citra Exclusive dan Mustika HD pada 20 Januari lalu menjadi tular dalam kalangan peminat.
Kata Sabri, 57, populariti dalam telefilem itu juga memberi limpahan rezeki apabila beliau banyak menerima tawaran termasuk daripada sebuah agensi umrah yang menawarkan untuknya mengerjakan ibadah umrah.
Lebih istimewa, katanya, tawaran itu hadir dengan menawarkan beliau untuk menginap di Hotel Concorde Mekah dan Madinah.
“Alhamdulillah, saya sendiri tidak sangka telefilem Pok Ya Cong Codei diterima begitu hebat seperti ini. Jadi untuk itu saya akan kembali dengan drama bersiri dan Pok Ya Cong Codei versi tayangan Hari Raya Aidilfitri.
“Bagi perancangan versi drama pula, ia akan disiarkan sebanyak 13 episod. Bagaimanapun, segalanya masih dalam perancangan kerana buat masa ini saya dalam proses menghasilkan Pok Ya Cong Codei untuk siaran Aidilfitri,” ujarnya ketika ditemui di Studio TVKosmo! selepas siaran langsung program bual bicara Jangan Ingat Kami Tak Kisah semalam.
Sumber: Kosmo
Sumber: Kosmo
0 comments