Lebih 5,000 Mohon Kerja Di Hotel Baharu TH


PETALING JAYA | Lebih 5,000 pencari kerja pelbagai lapisan umur menghadiri temu duga terbuka pelbagai jawatan di hotel milik Lembaga Tabung Haji (TH), Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA di Kelana Jaya, pagi ini.

Walaupun kaunter pendaftaran hanya dibuka pada jam 9 pagi, namun orang ramai membanjiri perkarangan kompleks Tabung Haji Kelana Jaya seawal jam 7 pagi.

Syazwan Mohd Salleh, 23, berkata dia tiba sekitar jam 6.50 pagi, namun terkejut apabila melihat ratusan pencari kerja sudah beratur panjang.

Lulusan Kolej Profesional MARA dalam jurusan Diploma Pendidikan Bahasa Inggeris dari Muar, Johor, itu, mendapat tahu mengenai temu duga terbuka berkenaan daripada seorang ahli keluarganya.

"Saya baru menamatkan pengajian diploma Disember lalu dan ingin mencuba nasib untuk jawatan Pengurus Koordinasi.

"Sebelum ini, ada beberapa temu duga sudah dihadiri, namun masih tiada jawapan dan berharap kali ini rezeki menyebelahi saya," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA, Hairul Maharis Mohamad berkata, temu duga terbuka peringkat awal itu bersempena prapembukaan hotel berkenaan yang dijangka Jun depan.

Katanya, untuk peringkat awal, sebanyak 255 jawatan di pelbagai bahagian akan ditawarkan kepada orang ramai.

"Sambutan diterima begitu menggalakkan dan sehingga jam 10.30 pagi tadi, sebanyak 5,000 borang sudah diagihkan kepada orang ramai.

"Temu duga terbuka diadakan selama dua hari dan jika tidak berkesempatan hari ini, peluang temu duga masih dibuka pada esok bermula jam 9 pagi hingga 6 petang," katanya.

Hairul Maharis berkata, temu duga peringkat awal merangkumi lima sesi tapisan termasuk ujian bahasa Inggeris sebelum dipanggil ke peringkat seterusnya.

"Ada pencari kerja baru tamat pengajian dan ada juga yang sudah memiliki pekerjaan, namun ingin bertukar angin.

"Meskipun ia milik penuh Tabung Haji, namun kami membuka peluang pekerjaan di hotel ini kepada semua rakyat Malaysia tidak kira kaum atau agama, " katanya.

Sumber: BHarian



0 comments