Ziarah Masjid Nabawi Ada Tiga Bahagian


Para ulama membahagikan kepada 3 bahagian, ada ziarah syar’iyyah (الشرعية), ziarah bid’iyyah (البدعية) dan ziarah syirkiyyah (الشركية).


Ziarah Syar’ie:

Masuk ke masjid dengan kaki kanan dan mengucapkan doa masuk masjid. Solat tahiyatul masjid, sebaik-baiknya di kawasan Raudhah. Kemudian menziarahi maqam Rasulullah SAW dan mengucapkan salam ke atas baginda, Abu Bakar r.a dan Umar r.a. Ucapkanlah dengan suara yang penuh beradap.

ما من أحد يسلم علي إلا رد الله علي روحي حتى أرد عليه السلام.
[رواه أبو داود]
Tiada seorang muslim yang mengucapkan salam ke atasku kecuali Allah kembalikan rohku hingga aku menjawab salamnya.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَنْ تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنْتُمْ لا تَشْعُرُونَ (٢)
[سورة الحجرات:2]
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.

Kemudian masuk semula ke kawasan Raudhah jikalau ingin memperbanyak ibadah dan berdoa. Sebelum berdoa selawatlah dahulu kerana dalam Hadith SAW;
الدعاء محجوب حتى يصلي الداعي على النبي.
[رواه الطبراني]
Doa itu terhalang sehinggalah yang berdoa itu mengucapkan selawat ke atas Nabi SAW.

Ziarah Bid’ah:

Seperti datang ke maqam Rasul SAW dan berkata;
السلام عليك يا صاحب القبر، اللهم إني أسألك أن تغفر لي بجاه صاحب هذا القبر وبحرمته.
Salam ke atasmu wahai penghuni kubur ini, Ya Allah aku bermohon padamu, ampuni dosaku dengan kelebihan dan kebesaran penghuni kubur ini.

Berkata Imam Ghazali dalam Iyā’ (إحياء علوم الدين):
مس المشاهد وتقبليها عبادة النصارى واليهود.
Mengusap dan mencium binaan kubur dengan bertujuan mendapat barakah adalah salah satu cara ibadat Nasrani dan Yahudi.

Perbuatan sebegitu tiada dalam amalan salafus soleh. Keberkatan dan rahmat akan turun apabila kita banyak berselawat kepada Rasulullah SAW bukannya dengan mencium atau mengoles minyak atar pada binaan kubur, memeluk mimbar dan sebagainya. Keharuman tidak akan dapat dicapai jikalau kita balik ke kampung, kita tetap tidak melakukan amalan sunnah Rasulullah SAW. Melaksanakan perintah Rasul adalah sebenar-benar tanda kasihnya kita pada Rasulullah SAW, bukan dengan mengusap binaan kubur.

من صلى علي صلاة واحدة صلى الله عليه بها عشرا.
[روا مسلم وأحمد]
Barangsiapa berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan mengucapkan selawat atasnya 10 kali.

Namun begitu dalam perkara hal bid’ah ini ada banyak khilaf dikalangan ulama’. Seharusnya kita merujuk kepada para ulama’ sebelum melakukan sesuatu amalan.

Ziarah Syirik:

Menziarahi maqam dengan melakukan perbuatan yang melampau atau ghuluw (غلو), berlebih-lebihan menyayangi orang soleh sehingga sampai ke peringkat menyembah dan melebihi makhluk dari Khaliq. Perbuatan sedemikian seperti amalan orang kafir iaitu apabila tokoh agama mereka mati, mereka menjadikan kubur-kubur sebagai tempat sembahan baru. Mereka mencampakkan kertas kecil yang ditulis hajat mereka dengan harapan permintaan mereka dikabulkan.
Sesungguhnya jikalau mahu meminta, berdoa di kawasan Raudhah dengan menghadap kiblat dan pohonlah pada Allah dengan khusyuk dan tawadhu’. Kerana Raudhah adalah tempat yang mustajab doanya.

ما بين بيتي ومنبري روضة من رياض الجنة، ومنبري على حوضي.
[رواه الشيخان]
Diantara rumahku dan mimbarku adalah satu taman dari taman-taman syurga dan mimbarku di atas telagaku.

Maksud taman syurga disini ialah turunnya rahmat dan berhasilnya kebahagiaan bagi yang melakukan ibadat di situ.

وَقَالُوا لا تَذَرُنَّ آلِهَتَكُمْ وَلا تَذَرُنَّ وَدًّا وَلا سُوَاعًا وَلا يَغُوثَ وَيَعُوقَ وَنَسْرًا (٢٣)
[سورة نوح:23]
Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, Suwā’, Yaghūth dan Ya’ūq, serta Nasr.

Ini adalah kisah umat Nabi Nuh. Kata Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Wadd, Suwā’, Yaghūth, Ya’ūq dan Nasr adalah orang soleh di zaman mereka. Kemudian menjadikan sebagai sembahan. Oleh itu marilah kita perbetulkan akidah tauhid kita.
Sabda Rasul SAW;
اللهم لا تجعل قبري وثنا يعبد، اشتد غضب الله على قوم اتخذوا قبور أنبيائهم مساجد.
[رواه مالك في الموطاء]
Ya Allah jangan jadikan kuburku sebagai tempat sembahan, Allah amat murka pada golongan yang menjadikan kubur nabi-nabi meraka sebagai masjid yakni sebagai tempat sembahan.

Begitu juga tawaf di sekeliling maqam. Tawaf hanya berlangsung di Kaabah bukan di maqam Rasulullah SAW.
Semoga dengan penerangan ringkas ini mendapat manfaat. Wallahua’lam.

Sumber:
al-Afrīkī, ‘Abdul Ramān bin Yūsuf. توضيح الحج والعمرة كما جاء في الكتاب والسنة . 1428. Maktabah al-Malik Fahd al-Waaniyyah: Riyadh, Saudi.
al-Sadlān, alih Qhanim. آداب وأحكام زيارة المدينة المنورة .1419. Dār al-Balansiyah: Riyadh, Saudi.

0 comments