Jenazah Al-Marhum Syeikh Tantawi Selamat Di Kebumikan

Almarhum Syeikh Tantawi ketika tawaf bersama Al-Malik Abdullah dan Syeikh Ali Juma’ah.



Jenazah Syeikhul Azhar, Dr. Muhammad Sayyid Tantawi selamat di kebumikan di perbukuran Baqi’ (مقبرة بقيع) di Madinatul Munawwarah semalam (petang Rabu) sesuai dengan permintaan kaum keluarganya. Jenazah Almarhum diimamkan oleh Syeikh Dr. Ali Abdul Rahman al-Huzaifi (الشيخ الدكتور علي بن عبد الرحمن الحذيفي), Imam Besar Masjid Nabawi selepas solat Isyak yang dimakmumkan hampir 10 ribu orang. Di Mesir solat Ghaib dilaksanakan selepas solat Jumaat dan pada khutbah Jumaat kedua diceritakan jasa pengorbanan Syeikh Tantawi.


Menurut adat kebiasaan institusi agama tertinggi di Mesir, Syeikhul Azhar seterusnya akan diganti oleh Mufti Mesir iaitu Dr. Ali Juma’ah (د. علي جمعة) - berumur 58 tahun. Akan tetapi beliau tidak lulusan Azhar sepenuhnya kerana sebelum ke Universiti Al-Azhar beliau terlebih dahulu menghabiskan pelajarannya di Universiti ‘Ain Shams pada tahu 1973 dalam Kuliah Ekonomi. Seterusnya bermula dari B.A sampai ke Ph.D di Universti Al-Azhar dengan mendapat kepujian dalam jurusan Usul Fiqh.

Calon lain yang war-warkan sebagai Syeikhul Azhar ialah Dr. Ahmad Tayyib (د. أحمد الطيب) - Rektor al-Azhar dan bekas Mufti Mesir (berumur 63 tahun) dan beliau dikatakan lebih dekat dengan parti pemerintah.

Calon ketiga ialah Dr. Ahmad ‘Umar Hashim (د. أحمد عمر هاشم) - bekas Rektor al-Azhar dan Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Agama Parlimen Mesir (berumur 69 tahun). Beliau merupakan pakar Hadith dan seorang pengkhutbah yang hebat. Calon keempat ialah Dr. Mahmud Hamdi Zaqzuq (د. محمود حمدي زقزوق) - Menteri Wakaf Mesir. Beliau berumur 77 tahun. Dan calon terakhir ialah Dr. Nasr Farid Wasil (د. نصر فريد واصل) - bekas Mufti Mesir, berumur 65 tahun.

Apa-apa pun semoga Al-Azhar terus harum dan terus kukuh sebagai benteng umat Islam.

0 comments