Miqat:
Mīqāt (ميقات) kata jamaknya ialah mawāqīt (مواقيت). Bermaksud ketentuan tempat atau masa untuk berniat Ihram Haji atau Ihram Umrah. Mīqāt terbahagi kepada dua:
1) Mīqāt Zamanī (ميقات زمني) iaitu ketentuan masa. Mīqāt Zamanī Haji bagi orang yang berniat ihram haji dan tidak sah haji kecuali dilakukan pada bulan-bulan haji sahaja. Bulannya ialah bermula 1 Syawal hingga seketika sebelum terbit fajar Subuh pada hari 10 Zulhijjah.
Firman Allah SWT:
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَعْلُومَاتٌ سورة البقرة: 197
Ertinya: (Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi (Syawal, Zulkaedah dan Zulhijjah).
Adapun Mīqāt Zamanī Umrah ialah sepanjang masa selain daripada masa ia sedang berihram haji menurut syarat-syaratnya.
2) Mīqāt Makānī (ميقات مكاني) iaitu ketetapan atau ketentuan tempat bagi haji dan umrah (تتفق فيها العمرة والحج). Tempatnya ialah:
- Zulḥulaifah (ذو الحليفة) atau juga dikenali dengan nama Bir ‘Alī (بئر علي) atau Abyār ‘Ali (أبيار علي). Mīqāt bagi penduduk Madinah dan sekitarnya lebih kurang 10 km dari Madinah.
- Al-Juḥfah (الجحفة). Mīqāt bagi penduduk Syam, Mesir, Maghribi, Sepanyol dan negera-negera dari arahnya. Jaraknya dengan Mekah sekitar 187 km.
- Qarnul Manāzil (قرن المنازل). Mīqāt bagi penduduk Kuwait, Najd dan bagi bakal haji yang datang dengan kapal terbang melalui ruang angkasanya. Jaraknya dengan Mekah 94 km. Jemaah Malaysia yang pergi dengan kapal terbang dan melalui udara Saudi (Najd) hendaklah berniat ihram dengan Mīqāt Qarnul Manāzil.
- Yalamlam (يلملم). Mīqāt bagi penduduk Yaman, India dan negera-negara sebelah timur termasuk Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia yang datang dengan kapal laut. Jaraknya dengan Mekah 89 km.
- Zātu ‘Irqin (ذات عرق). Mīqāt bagi penduduk Iraq. Jaraknya dengan Mekah 94 km. Mīqāt ini tidak thabit dari Rasulullah SAW akan tetapi ditetapkan melalui ijtihad Saidina Umar al-Khattab r.a.
Pada masa kini, hanya ada dua miqat sahaja yang dilalui oleh jemaah haji dari Malaysia iaitu:
- Qarnul Manāzil: Bagi yang dijadualkan terus masuk ke Mekah dari tanah air.
- Zulḥulaifah: Bagi yang dijadualkan menziarahi Madinah terlebih dahulu.
Sumber:
1. Ibadat Haji, Umrah Dan Ziarah. 2008. Lembaga Tabung Haji Malaysia.
2. Aḥmad ‘Abd Ghafūr ‘Aṭṭar. قاموس الحج والعمرة . 1979/1399. Dār al-‘Ilmi lil malāyīn, Beirut.
0 comments