Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali Ke-26



TAJUK 1: Pemerkasaan Hidup Kerohaniaan Dalam Masa Melaksanakan Ibadat Haji

1. Dicadangkan sebagai bahan bacaan tambahan dalam membincangkan falsafah haji dan juga dicadangkan supaya ditambah sebagai satu tajuk khas dalam kursus haji.

2. Pembimbing ibadat Haji hendaklah menyedari dirinya sebagai muallim yang menyampaikan ilmu yang betul, muaddib yang mendidik adab dengan halus dan murabbi yang meningkatkan peribadi anak didiknya.

TAJUK 2: Wakalah Haji dan Umrah, Korban serta Permasalahannya

1. Perkara yang boleh diwakilkan dalam kerja haji dan umrah ialah melontar jamrah dan pelaksanaan dam. Perkara-perkara lain yang tidak boleh diwakilkan adalah seperti niat ihram, tawaf, saie, wukuf dan mabit.

2. Wakalah korban hanya boleh dilakukan bagi orang yang masih hidup dengan izinnya.

3. Korban untuk si mati hanya boleh dilakukan apabila diwasiatkan. Manakala qurban untuk si mati tanpa diwasiatkan boleh dilakukan dengan niat berkongsi pahala dengannya.

4. Perbelanjaan Badal Haji Wajib tidak terbatas kepada 1/3 jumlah harta peninggalan si mati.

TAJUK 3: Baik Buruk Petugas Haji Yang Tidak Melaksanakan Haji Semasa Bertugas Di Tanah Suci

1. Petugas Haji yang bertugas di Tanah Suci hendaklah digalakkan supaya menunaikan ibadat haji. Tugas tidak menghalang untuk mereka beribadat seperti jemaah yang lain.

TAJUK 4: Larangan Ihram: Kefahaman Maksud Pemakaian Selipar (Kasut) Yang Menampakkan Semua Jari Kaki Atau Tidak

1. Selipar yang mesti dipakai oleh jemaah haji lelaki semasa dalam ihram hendaklah mengeluar dan menzahirkan semua hujung jari jemari kakinya dan kesemua tumit.

TAJUK 5: Permasalahan Pilihan Musim Haji 1430 Hijrah

1. Jemaah yang memakai beg kolostomi (beg najis) dikategorikan sebagai orang yang mengalami masalah darurat dan tidak dianggap sebagai menanggung najis. Wuduk yang diambil oleh pesakit harus digunakan untuk melaksanakan semua ibadat termasuk menunaikan solat fardhu sehingga wuduk tersebut terbatal. Walau bagaimanapun semasa di Tanah Suci dinasihatkan agar dia mengosongkan beg tersebut apabila hendak menunaikan solat di masjid atau tawaf kerana dibimbangi jika terlalu banyak takungan ia menjadi berat dan berkemungkinan pecah atau tiris dalam masjid semasa tawaf atau solat.

TAJUK 6: Haid dan Permasalahan Jemaah Haji Wanita Dari Perspektif Perubatan

1. Adalah lebih baik bagi jemaah wanita yang tidak menghadapi sebarang masalah haid menghindari daripada mengambil pil menahan haid.

2. Jika terdapat permasalahan haid hendaklah dirujuk kepada pakar sakit puan sebaik-baiknya tiga bulan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Sumber:
Utusan Malaysia. Selasa 16 Mac 2010.

0 comments