Niat Ihram Umrah hendaklah di Miqat (Miqat
Makani iaitu sempadan tempat berniat ihram) iaitu di Zul Hulaifah (ذو الحليفة) atau dipanggil juga
dengan nama Bir Ali/Abyar Ali (بئر علي/أبيار علي) jikalau jemaah datang dari
arah Madinah al-Munawwarah. Atau Miqat Qarnu Manazil (قرن المنازل) jikalau dari KL - Jeddah - Mekah. Selain itu pakej menyediakan
Umrah dari Miqat Hudaibiyah (الحديبية) dan Ja’ranah (الجعرنة).
Lafaz niat:
نَوَيْتُ
الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا ِللهِ تَعَالَى.
Ertinya: Sahaja aku mengerjakan umrah dan
berihram dengannya kerana Allah Taala.
Bila sudah berniat Ihram maka jemaah akan
tertakluk kepada pantang larang dalam ihram. Jikalau melanggarnya dengan
sengaja maka akan dikenakan dam (denda).
Ketua rombongan akan membaca lafaz niat umrah
secara beramai-ramai, sebagai tanda kita berniat. Namun niat yang sebenarnya
hendaklah diucapkan sendiri dalam hati masing-masing.
Dan sunat sepanjang perjalanan memperbanyakkan
lafaz Talbiah. Mulakan dengan:
لَبَّيْكَ
اللَّهُمَّ عُمْرَةً
Ertinya: Hamba-Mu telah datang menyahut
panggilan-Mu menunaikan Umrah.
Kemudian teruskanlah dengan bertalbiah:
لَبَّيْكَ
اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ، إِنَّ الْحَمْدَ
وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ، لاَ شَرِيْكَ لَكَ.
Ertinya:
Hamba-Mu telah datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah! Hamba datang menyahut
panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu, hamba-Mu datang menyahut
panggilan-Mu, sesungguhnya segala pujian, nikmat dan kekuasaan adalah
kepunyaan-Mu, tiada ada sekutu bagi-Mu.