Bakal Haji Diminta Jaga Disiplin Di Mekah




KUALA LIPIS 1 Okt. - Semua bakal haji di kawasan Parlimen Lipis diminta mematuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa Arab Saudi dan menjaga disiplin semasa berada di negara berkenaan.

Ketua UMNO Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, ia amat penting bagi mengekalkan reputasi baik Malaysia yang disegani kerana jemaah haji yang berdisiplin dan berakhlak mulia.

“Bakal haji dari kawasan Lipis dan negeri ini amnya wajar mematuhi peraturan ditetapkan oleh Tabung Haji.

“Harapan kita adalah bakal jemaah haji dari Lipis diharap terus mengekalkan rekod terbaik itu demi menjaga nama Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang disegani di peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika beramah mesra dan menyampaikan sumbangan wang tunai RM100 seorang dan kain pelikat/batik kepada seramai 66 orang bakal haji kawasan Parlimen Lipis sempena rumah terbuka Aidilfitri anjuran UMNO Lipis dan pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku, di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Lipis, Datuk Dr. Mohamad Shahrom Osman; Timbalan Ketua UMNO Lipis, Datuk Suhaimi Ibrahim; Ketua Pemuda Pahang, Abu Jimi Samat dan Ketua Polis Lipis, Supritendan Abdul Razak Hassan.

Menurut beliau, kumpulan itu harus sentiasa bersabar dan tidak terikut dengan budaya masyarakat negara lain.

“Saya juga berharap, bakal haji di sini wajar menjaga kesihatan masing-masing semasa berada di tanah suci Mekah dan berdoa agar mereka memperoleh haji mabrur,” katanya.

Terdahulu, ketika berucap di majlis rumah terbuka Aidilfitri, beliau memuji Polis Diraja Malaysia (PDRM) Lipis kerana berjaya mengurangkan kadar jenayah di daerah Lipis.

“Di bawah pengurusan ketua polis daerah dengan bantuan serta kerjasama anggota PDRM di sini, kadar jenayah dapat dibendung dan penduduk di sini boleh hidup lebih selesa dan aman,” katanya.

Justeru katanya, penduduk diminta berganding bahu dengan polis bagi mengekalkan keamanan sejajar dengan peranan dan kegiatan di bawah Rakan Cop.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku menjelaskan, keamanan menerusi usaha dan tanggungjawab PDRM membolehkan penduduk melaksanakan kegiatan harian lebih selesa termasuk kemeriahan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Sumber: Utusan Malaysia. 2/10/2010.

0 comments