Cepatkan Operasi Penerbangan Antarabangsa




KEMAMAN 1 Okt. - Kerajaan negeri berharap Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mempercepatkan pelaksanaan operasi penerbangan antarabangsa ke negeri ini selaras dengan status Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) yang bertaraf antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan mengadakan rundingan dengan DCA serta Malaysia Airport Berhad (MAB) termasuk menerima kemasukan penerbangan antarabangsa ke LTSM.

Beliau memberitahu, buat permulaan, lapangan terbang yang bakal menjadi pintu masuk utama pelancong ke Pantai Timur itu akan memberi tumpuan untuk menarik penerbangan dari rantau Asia Tenggara merangkumi Selatan China, Selatan Indo China dan Thailand.

“Kita akan berunding terlebih dahulu dengan pihak Malaysia Airport (MAB) dan DCA mengenai perkara itu. Kita harap pihak berkenaan dapat percepatkan kemasukan penerbangan antarabangsa ke sini (LTSM),” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu selepas majlis Meraikan Bakal Jemaah Haji 1431 Hijrah Daerah Kemaman yang dihadiri seramai 316 jemaah dari sekitar daerah ini di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di sini hari ini. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Ahmad diminta mengulas mengenai bila LTSM akan mula beroperasi setaraf dengan statusnya sebagai sebuah lapangan terbang bertaraf antarabangsa.

Selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan negeri di Kuala Terengganu Rabu lalu, beliau mengumumkan kelulusan kerajaan pusat untuk menaik taraf lapangan terbang berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, kerajaan negeri juga bergantung kepada hasil perbincangan antara kerajaan negeri dengan MAB dan DCA termasuk keperluan untuk menambah fasiliti sedia ada di LTSM.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, tahun ini, sebanyak tujuh penerbangan akan membawa para jemaah haji dari negeri ini untuk menunaikan ibadat haji di Mekah.

“Sebenarnya, kita mengemukakan permohonan untuk mendapatkan 10 penerbangan tetapi kerajaan Arab Saudi hanya meluluskan tujuh daripadanya,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia. 2/10/2010.

0 comments