Raja Perlis Nasihat Bakal Haji Tidak Boros




KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, menasihati bakal haji supaya tidak boros berbelanja ketika berada di tanah suci sebaliknya menumpukan perhatian kepada ibadah itu.

Titah baginda, setiap hari umat Islam berbelanja berjuta ringgit ketika mereka berada di Tanah Suci dalam setiap musim haji sehingga ada yang kelihatan lebih banyak masa mereka berada di tempat beli-belah.

“Sebenarnya apa yang dibeli di Tanah Suci kebanyakannya dikeluarkan oleh negara lain dan bukan keluaran Tanah Suci itu,” titah baginda ketika merasmikan Kursus Perdana Haji peringkat negeri Perlis di Institut Latihan Perindustrian (ILP) di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIP).

Menurut Raja Perlis, apa yang perlu diamalkan umat Islam ketika berada di tanah suci ialah bersikap sederhana dalam segala aspek bukan sahaja dalam soal berbelanja, tetapi juga dalam amal ibadat khususnya mengerjakan umrah sebelum tiba masa untuk mengerjakan haji.

Titah baginda, disebabkan salah faham dan kurang bimbingan, ada jemaah haji Malaysia lebih memberi tumpuan kepada mengerjakan umrah kerana yakin bahawa tujuh kali melakukan umrah, pahalanya sama seperti sekali mengerjakan haji sehingga akhirnya kesihatan mereka terjejas sebelum mengerjakan fardu Haji.

Baginda berharap setiap jemaah haji yang masih meragui tentang sesuatu amalan semasa di tanah suci supaya mendapatkan tunjuk ajar daripada pegawai-pegawai Tabung Haji supaya setiap yang dikerjakan tidak sia-sia.

Titah Raja Perlis, rakyat Malaysia harus bersyukur kerana mereka mempunyai Tabung Haji yang banyak memberi bimbingan tentang cara sebenar mengerjakan haji sedangkan banyak negara tidak ada khidmat sedemikian menyebabkan ada di kalangan jemaah mereka tidak mempunyai panduan tepat dalam melaksanakan amalan itu.

Sebelum itu Menteri Besar, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu, menasihati bakal-bakal jemaah terbabit sentiasa menjaga nama baik negara ketika berada di tanah suci tanpa terpengaruh kepada sebarang kegiatan yang bercanggah dengan peraturan kerajaan Arab Saudi.

Sebanyak 367 umat Islam Perlis terpilih menunaikan fardu Haji musim ini. - BERNAMA

Sumber: Berita Harian. 2/10/2010

0 comments