Jemaah Haji Ditawar Panggilan Termurah




PETALING JAYA 15 Okt - Rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji, kini boleh menghubungi ahli keluarga mereka di tanah air pada kadar yang terendah.

Panggilan yang dikenakan pada kadar RM1.35 seminit berbanding RM6.90 kadar biasa, ditawarkan oleh agensi pelancongan TRAVELNEEDS2U.

Perkhidmatan yang paling menjimatkan dikenali sebagai GSP Mekah, amat sesuai untuk jemaah haji kerana mereka boleh berhubung dengan saudara mara di Malaysia pada kadar bayaran lima kali ganda lebih murah.

Produk yang pertama kali diperkenalkan ini mempunyai kelainan kerana bayaran hanya dikenakan kepada pemanggil sahaja dan berbanding perkhidmatan sedia ada yang mengenakan bayaran kepada pemanggil dan penerima panggilan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Azrin Mohd Noor berkata, sistem yang digunakan GSP Mekah menyamai sistem syarikat telefon mudah alih tempatan yang mana mereka hanya perlu membeli kad sim GSP Mekah dan menggunakannya pada telefon mudah alih seperti biasa apabila tiba di Arab Saudi.

Beliau berkata, TRAVELNEEDS2U menawarkan perkhidmatan itu dengan kerjasama syarikat telekomunikasi terkemuka Arab Saudi iaitu Zain.

“Kad sim GSP Mekah menggunakan sistem prabayar dan jemaah haji boleh menambah nilai dengan mudah ketika berada di Mekah dan Madinah kerana kemudahan yang ditawarkan Zain amat popular serta meluas di sana.

“Kadar penjimatan yang ditawarkan membantu golongan berpendapatan rendah dan memudahkan jemaah haji dan ahli keluarga berhubungan pada bila-bila masa,” kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini.

Azrin berkata, pada masa ini, produk kad sim GSP Mekah hanya dijual di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya, Petaling Jaya dan bagi jemaah lain yang berminat untuk membelinya melalui dalam talian menerusi laman web kami iaitu TRAVELNEEDS2U.com.

“Bagi jemaah yang membelinya melalui dalam talian, kami menyediakan perkhidmatan menghantar kad sim tersebut kepada mereka sebaik sahaja mereka tiba di Arab Saudi nanti berdasarkan butir-butir peribadi yang diberikan.

“Setiap kad sim tersebut akan berfungsi selama 120 hari selepas diaktifkan dan jemaah tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menggunakannya.

“Setibanya di Mekah, kad sim tersebut terus boleh digunakan dan ini amat sesuai untuk golongan berumur yang sukar untuk menguruskan pendaftaran talian telco,” kata beliau.

Perkhidmatan yang ditawarkan oleh TRAVELNEEDS2U mendapat sokongan dan kerjasama daripada Lembaga Tabung Haji kerana boleh membantu mereka dalam menjalankan operasi mengesan jemaah haji apabila tiba di Mekah.

Kad sim GSP Mekah dijual dengan harga RM60 sahaja dan stok yang ditawarkan amat terhad.

Panggilan dari Mekah ke Malaysia dikenakan bayaran sebanyak RM1.35, khidmat pesanan ringkas (SMS) RM0.45 manakala panggilan sesama jemaah haji yang menggunakan sistem yang sama dikenakan bayaran sebanyak RM0.22 dan SMS RM0.50.

Sumber: Utusan Malaysia. Sabtu. 16/10/2010.

0 comments