KUALA LUMPUR 19 Okt. - Seorang anggota Dewan Rakyat hari ini mendesak pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) mengubah sistem pemilihan bakal haji berasaskan kuota kerana ia menimbulkan banyak masalah, selain terlalu berorientasikan perniagaan.
Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan) yang membangkitkan isu itu berkata, sistem kuota berkenaan telah menyebabkan ketidakadilan berlaku apabila ada pencarum mendakwa tidak diberi peluang sama rata untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.
“Jadi orang Sabah kata, ini Barisan Nasional (BN) mahu masuk syurgapun ada kuota... dalam Islam kita tahu antara syaratnya (masuk syurga) ialah naik haji... jadi bila mereka tidak boleh naik haji kerana di‘control’ oleh kerajaan... siapa yang mahu tanggung dosa?
“Dalam televisyen kita nampak ramai rakyat diberi peluang untuk bersuara mengatakan mereka sudah empat, lima, enam kali naik haji... mereka ini tak pakai kuotakah?” katanya ketika membahaskan Bajet 2011 di Parlimen hari ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya TH mengamalkan sistem tidak akan menawarkan peluang sama kepada individu yang telah mengerjakan haji di bawah TH dalam tempoh lima tahun, bagi membolehkan kuota itu diberikan kepada mereka yang tidak pernah menerima tawaran tersebut.
Sumber: Utusan Malaysia. Selasa. 19/10/2010.
0 comments